Tuesday, 28 May 2013

TENTANG BLOG

Blog ini dihasilkan bagi memenuhi permintaan pensyarah subjek Karya Agung, iaitu Dr. Hj. Mohd Rashid B. Md idris dan juga merupakan salah satu tugasan untuk subjek tersebut. Blog ini dikendalikan oleh 4 orang blogger, iaitu Wan Nur Safira, Noor Ibadah, Noorhidayah dan JulaihamKami berharap agar segala maklumat yang terkandung dalam blog ini mampu memberi manfaat kepada sesiapa yang memerlukannya.
Sekian, wassalam. :)

     Menurut kamus dewan ‘karya’ merupakan kerja, buatan atau ciptaan, manakala ‘agung’ pula merupakan besar, terutama, teristimewa. Oleh yang demikian, karya agung merupakan karya yang istimewa yang mana memaparkan pemikiran bangsa Melayu zaman dahulu. secara umumnya karya agung bersifat karya sastera sejarah. Hal ini demikian kerana sifat karya agung tersebut yang terdiri daripada kisah zaman pemerintahan raja-raja yang sememangnya tercatat dalam sejarah disamping turut terselit unsur mitos, lagenda mahupun humor dalam karya agung tersebut.

       Berdasarkan karya Sulalatus Salatin yang juga turut dikenali sebagai Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Karya ini bersifat sastera sejarah kerana terdapat unsur mitos, lagenda, tiada tarikh dan sebagainya. Selain itu, secara keseluruhannya, karya Sulalatus Salatin ini menceritakan mengenai tampuk pemerintahan zaman kesultanan Melaka, pembukaan negeri, kepahlawanan pendekar Melayu serta turut menceritakan mengenai ketatanegaraan. Konsep waad dalam karya ini juga menjadikan teras dalam pemerintahan kesultanan Melayu ketika itu, yang mana rakyat wajib mentaati raja, manakala raja harus adil dan saksama. Hal ini kerana, berdasarkan waad tersebut yang telah di perkenalkan oleh demang lebar daun, rakyat yang tidak patuh akan raja akan mendapat tulah misalnya atap rumah ke bawah, tiang ke atas. Manakala bagai raja yang zalim pula turut akan mendapat musibah misalnya keruntuhan kerajaan yang dimilikinya. Hal ini dapat di lihat dalam petikan yang berikut:

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Baiklah tuanku,tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku.” Maka titah Seri Teri Buana, “baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu.” Maka baginda pun bersumpah-sumpahanlah dengan  Demang Lebar Daun. Titah Baginda “barang siapa hamba Melayu derhaka mengubah perjanjiannya, di balikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas.” Maka sembah Demang Lebar daun, “Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, binasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya.”
(Sulalatus Salatin: 26)

Manakala antara contoh mitos yang terdapat dalam karya agung Sulalatus Salatin seperti penceritaan asal usul Puteri Tanjung Buih yang di ceritakan dalam petikan :
Sebermula pada suatu hari, hanyut buih dari hulu terlalu besar, maka di lihat orang dalam buih itu ada seorang budak perempuan, terlalu baik rupanya. Maka di persembahkan oranglah kepada Seri Teri Buana, maka di suruh baginda ambil; maka di namai baginda akan budak itu Puteri Tanjung Buih, di angkat baginda anak terlalulah baginda dua laki isteri akan Puteri Tanjung Buih itu.
(Sulalatus salatin:27)

       Manakala berdasarkan karya agung Bustan al-Katibin pula, menurut Dr Jelani Harun dalam bukunya Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu, kitab Bustan Al-Salatin ini tergolong sebagai sebuah karya saduran kerana banyak pengaruh Arab dan Parsi yang sama ada dicedok atau diambil oleh Sheikh Nuruddin menjadi kandungan kitab ini.

         Manakala RO Winstedt mengkelaskan kitab ini sebagai sastera sejarah kerana pengkisahan sejarah yang terdapat di dalam kitab ini boleh dikatakan lengkap terutama dari segi sejarah kesultanan Melayu khususnya kerajaan Melayu Melaka dan Acheh tetapi sarjana tempatan memikirkan kitab ini lebih sesuai dikategorikan sebagai sastera ketatanegaraan atau sastera adab, yakni hasil penulisan yang boleh dijadikan petunjuk kepada raja-raja dan pemerintah dalam mentadbir negeri.

         Daripada sudut karya pula Kitab Bustan Al-Salatin ini terdiri daripada 7 bab tetapi bilangan fasalnya mempunyai pelbagai versi. Winstedt menyatakan ada 40 fasal manakala Raffles pula menyatakan hanya 60 fasal. Hal ini demikian berlaku kerana kitab yang lengkap tidak pernah ditemui sebaliknya cebisan kitab yang telah tercerai-cerai. Namun begitu isi kandungannya tidak jauh berbeza. Semua versinya membicarakan perkara pokok yang sama.

          Mengikut Winstedt dalam bab satu terdiri daripada 10 fasal yang menerangkan mengenai  tujuh petala langit dan bumi, Nur Muhammad, Luh Mahfuz, kalam arsy dan sebagainya. Berdasarkan bab ini, Sheikh Nuruddin membuat huraian tentang penciptaan alam yang bermula daripada fasal kejadian nur Muhammad, Lohmahfuz, Fasal Arasy, Fasal Qalam, Fasal Kejadian-Kejadian Malaikat, Sidratul Muntaha, Syurga dan Neraka, Kaabah, Matahari, Bintang dan sebagainya . Kandungannya banyak persamaan dengan kisah penciptaan alam yang terkandung dalam Qisas al-Anbiya yang bersumber daripada Ibnu Abbas, Kaab Ahbar, Wahb ibn Munabbih dan Abdullah ibnu Salam.

Falsafah dalam Karya Tuhfat al-Nafis


Tuhfat al-Nafis dikarang pada 3 Syaaban 1282H, iaitu bersamaan 1865M. Tuhfat al-Nafis dapat dikatakan sebagai lanjutan daripada Salasilah Melayu dan Bugis. Tuhfat al-Nafis merupakan naskhah yang paling terkenal daripada semua karangan Raja Ali Haji. Kandungannya dimulakan dengan menjelaskan sejarah Singapura, Melaka dan Johor yang kemudian dilanjutkan tentang Riau yang dikalahkan oleh Belanda. Selain itu, Tuhfat al-Nafis menghuraikan secara terperinci akan kejadian-kejadian bersejarah mulai tahun 1677M hingga ke tahun disusunnya naskhah itu (1282H/1865M).

Dipaparkan dengan hebat kisah datuknya Raja Haji, iaitu putera Opu Daeng Cellak sehingga beliau mangkat di Teluk Ketapan, Melaka. Naskhah Tuhfat al-Nafis pernah diterbitkan oleh R. O. Winstedt dalam tahun 1932, dimuat dalam JMBRAS, dalam tahun 1965 oleh Malaysia Publication di Singapura dengan edisi tulisan Rumi/Latin, dan Tuhfat Al-Nafis Sejarah Melayu-Islam merupakan transliterasi oleh Virginia Matheson Hooker diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1991. Bagaimanapun, ada sarjana yang berpendapat kitab Tuhfat al-Nafis bukan hasil penulisan Raja Ali Haji tetapi hasil penulisan ayahnya Raja Haji Ahmad yang terkenal itu.

Falsafah Keislaman
Ramai ahli sejarah bersetuju yang agama Islam telah diperkenalkan di Nusantara melalui perdagangan. Peranan pedagang Islam terutama di zaman permulaan Islam di Nusantara amat penting sekali. Para pedagang dari Arab, India, dan Parsi telah menumpukan kegiatan perdagangan di rantau ini semenjak abad ke-8 atau ke-9 lagi. Manakala menurut catatan China, pedagang-pedagang Islam sudah ada di kawasan perairan Melayu semenjak pertengahan abad ke-7 lagi. Di antara barang-barang tersebut ialah lada, rempah, kemenyan dan terutamanya kapur barus. Khusus tentang kapur barus, ia pernah dianggap sebagai punca yang membawa orang-orang Arab ke Nusantara sejak awal lagi. Sebenarnya barang-barang ini bukan sahaja dikehendaki oleh orang-orang Arab bahkan juga orang-orang Barat.

Buku Tuhfat al-Nafis hasil karya Raja Ali Haji turut menyentuh mengenai unsur-unsur keislaman terutamanya dalam golongan pemerintah. Apabila unsur-unsur keislaman itu wujud dalam sesebuah karya agung itu, secara tidak langsung memaparkan kepada pembaca akan pengaruh agama Islam mula wujud dan seterusnya mempengaruhi penulisan pada ketika itu. Pengarang menyatakan Raja Kecil Besar adalah raja Melayu yang pertama memeluk agama Islam dan digambarkan Raja Kecil Besar mendapat hidayah ketika dalam tidur dan apabila bangun dari tidur baginda mendapati zakarnya telah dikhatankan.

“Syahadan apabila mangkatlah Raja Besar Muda itu maka menggantikan puteranya yang bernama Raja Tengah. Syahadan apabila mangkatlah Raja Tengah itu maka menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Kecil Besar. Syahadan kata sahibul hikayat inilah raja yang adil lagi saksama pada zaman itu, dan ialah Raja Melayu yang mula-mula masuk ugama Islam, yang bermimpikan berjumpa hadrat Nabi kita Muhammad salla Allahu ‘alaihi wasallam, yang diajar oleh Rasulullah salla Allahu ‘alaihi wasallam, dengan mengucap dua kalimat syahadat, iaitu: asyhadu al la ilaha illa’llahu, wa asyhadu anna Muhammadan Rasulu’llahi: serta terkejut daripada tidurnya, dilihatnya zakarnya sudah terkhatan.” 
                                                                                                                                                                                     (Tuhfat al-Nafis, 1982: 4-5)
Selain itu juga, pengaruh Islam turut dipengaruhi oleh kehadiran pedagang-pedagang luar seperti dari negara Arab. Pada waktu dahulu, kapal-kapal dagangan bebas membawa barang-barang dagangannya dan berlabuh di pelabuhan yang ada. Kesempatan berdagang inilah digunakan oleh pedagang untuk melebar luaskan pengaruh atau fahaman mereka. Kehadiran pedagang dari luar yang secara tidak langsung melebar luaskan pengaruh Islam turut diselitkan oleh pengarang dalam Tuhfat al-Nafis. Misalnya:

“Maka pada pagi hari ia berangkat ke pantai melihat kapal datang dari Jeddah. Maka turunlah orangnya sembahyang di tepi pantai itu dilihatnya seperti yang di dalam mimpinya. Maka raja itu pun menderumkan gajahnya lalu diambilnya orang yang sembahyang itu dibawanya naik ke atas gajahnya, iaitu Syekh Makhdum namanya, lalulah dibawanya masuk ke dalam kotanya. Maka belajarlah ia akan ugama Islam. Maka masuk Islam segala orang besar-besarnya dan segala isi negeri Melaka itu. Maka baginda itu pun bergelarlah Sultan Muhammad Syah.”    
                                                                                                                                                                                           (Tuhfat al-Nafis, 1982: 5)
Petikan di atas menunjukkan kepada pembaca bagaimana permulaan agama Islam masuk ke Alam Melayu dan seterusnya tersebar luas. Pembaca juga dapat mengetahui bahawa pada mulanya agama Islam berkembang dalam golongan atasan atau istana dan barulah merebak pada rakyat tempatan. Di sinilah peranan pengarang dapat dilihat dalam menyampaikan maklumat akan kehadiran agama Islam pada ketika itu melalui karya Tuhfat al-Nafis. Agama Islam pada ketika itu menunjukkan pengaruh yang kuat di mana pihak pemerintah, iaitu raja atau sultan bertindak membanteras golongan yang membawa ajaran sesat pada ketika itu. Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud di negeri Lingga, telah muncul seorang lebai dari Minangkabau, iaitu Lebai Tamat. Pada mulanya Sultan Mahmud menerima kehadiran lebai itu kerana menganggap lebai tersebut akan menyampaikan ajaran Islam.

“…maka datang seorang lebai orang Minangkabau ke negeri Lingga, namanya Lebai Tamat. Maka mengaku dirinya orang alim pada ilmu hakikat mengajarlah ia akan sesetengah orang Lingga akan ilmu hakikat, dinamakan ilmunya itu ‘Isa’ konon, dan banyaklah perkataan syathiyat, hingga akhir-akhirnya pekerjaannya jatuhlah seperti i’tiqad mulhid mengaku dirinya Allah taala. Maka banyaklah murid mengikut i’tiqad…”       
                                                                                                                                                                         (Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)
Namun, pada ketika itu Sultan Mahmud tidak mengetahui akan perkara tersebut berlaku dalam negerinya. Pegawai-pegawai negeri Lingga telah menyampaikan masalah tersebut pada adinda Sultan Mahmud, iaitu Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar.

“…datanglah segala pegawai-pegawai negeri Lingga itu memaklumkan kepada Yang Dipertuan Muda, maka murkalah Yang Dipertuan Muda. Maka lalu Lebai Tamat itu dengan segala murid-muridnya ditaubatkan serta ditakzir digondolkan kepalanya. Kemudian daripada itu, maka lebai itu pun keluarlah dari Lingga…”    
                                                                                   (Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)
Namun perkara tersebut tidak berhenti di situ sahaja, Lebai Tamat telah pergi ke Lampung dan membawa ajaran sesat yang sama. Perkara tersebut telah dapat dihidu oleh Sultan Mahmud lalu baginda mengarahkan adindanya Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar membunuh lebai tersebut dengan mengadakan perancangan yang strategik.

“Maka sampailah khabar itu kepada Sultan Mahmud, maka bertambah-tambah murka baginda itu akan lebai itu. Maka lalu baginda berkirim surat kepada paduka adinda Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar minta bunuh juga Lebai Tamat itu.”     
                                                                                                                                                                                                            (Tuhfat al-Nafis, 1982: 262)
Raja Jaafar telah mengikut perancangan yang dilakukan oleh Sultan Mahmud untuk menangkap Lebai Tamat dan menjatuhkan hukuman bunuh kerana menyebarkan ajaran songsang di serata tempat.

“Maka apabila hampir ke darat maka ditangkaplah oleh orang yang disuruh Yang Dipertuan Muda itu lalu diikat dan didepangkan tangannya. Kemudian lalulah disuruh bunuh dikerat kepalanya dikirimkan kepada Sultan Mahmud di Lingga. Maka habislah kisah Lebai Tamat yang tersebut itui intiha.”    
                                                                                              (Tuhfat al-Nafis, 1982: 263)
Petikan dari naskhah Tuhfat al-Nafis itu telah menunjukkan bahawa pemerintah pada ketika itu amat mementingkan pegangan agama. Dapat dilihat bagaimana Sultan Mahmud dan Yang Dipertuan Muda berusaha untuk membanteras kegiatan ajaran sesat dan bagaimana tindakan yang diambil bagi menangani masalah tersebut. Baginda pada mulanya menggunakan cara yang lembut dengan meminta golongan tersebut bertaubat dan keluar dari negeri Lingga akan tetapi golongan tersebut masih meneruskan kegiatan seperti itu di tempat lain dan akhirnya baginda telah mengambil tindakan yang sewajarnya iaitu menjatuhkan hukuman bunuh kepada pembawa ajaran sesat tersebut. 

Falsafah Adat Istiadat 
Adat merupakan peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum yang harus dipatuhi. Perkataan adat berasal daripada bahasa Arab bermaksud kebiasaan. Kedatangan Islam ke Alam Melayu membawa konsep ini dengan makna yang lebih luas dan mendalam sehingga merangkumi keseluruhan cara hidup yang kini ditakrif sebagai kebudayaan, undang-undang, sistem masyarakat, upacara, dan segala kebiasaan yang sering dilakukan, seperti cara makan atau cara duduk.

Selain itu juga adat istiadat merupakan bahagian adat yang mengatur segala macam upacara dan kegiatan suci yang perlu menerima penghormatan awam. Adat istiadat berlaku kerana diamalkan dan dijaga sebaiknya. Jika ditinggalkan, adat istiadat akan pupus. Namun adat istiadat juga tertakluk pada prinsip perubahan melalui muafakat dan perundingan ataupun kesan pengaruh dari luar. Ini banyak kelihatan dalam peringkat upacara edaran hidup manusia. Pengarang Tuhfat al-Nafis, iaitu Raja Ali Haji turut menyelitkan akan kemunculan adat-adat Melayu pada ketika itu. Beliau menyatakan bahawa, Sultan Muhammad Syah merupakan raja Melayu yang pertama memperkenalkan adat-adat dalam masyarakat Melayu.

“Syahadan baginda Sultan Muhammad Syah inilah Raja Melayu mula-mula meletakkan adat-adat Melayu seperti kekuningan yang tertentu kepada raja jua, melainkan kekuningan itu jika diambilkan baju dan kain dan destar maka tiga perkara itu boleh. Dan demikian lagi larangan membuat rumah beperangin dan tiang beralas tidak terletak ke tanah dan rumah berpebalaian dan berpelantaran. Dan perahu larangan juga seperti perahu bertingkap dan berpengadapan. Dan berlarang juga bergelang kaki emas keroncong kepala perak sekalipun tiada dapat orang keluaran memakainya, jika kaya sekalipun melainkan dengan anugerah raja jua maka boleh. Dan lainnya daripada adat yang tentu kepada raja-raja dan kepada anak-anak raja jua. Dan jika mengadap raja di balairung, jika Raja Muda duduklah di seri balai, demikian lagi Bendahara dan Temenggung dan Indera Bungsu dan segala menteri-menteri daripada raja-raja di seri balailah kedudukannya. Dan lagi beberapa adat istiadat yang tersebut pada siarah yang panjang-panjang.”     
                                                                                                                                                   (Tuhfat al-Nafis, 1982: 5)
Petikan di atas menunjukkan kepada pembaca akan punca bagaimana tercetusnya adat istiadat dalam golongan diraja seperti penggunaan warna kuning yang dikhususkan untuk golongan diraja dan penggunaan balairung dan seri balai ketika mengadap sultan dan raja muda. Apa yang hendak disampaikan oleh pengarang adalah supaya pembaca melihat dan mengetahui akan adat istiadat dan seterusnya memberi gambaran bahawa terdapat keistimewaan tersendiri bagi golongan atasan atau raja pada ketika itu. 

Falsafah Etika 
Etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan. Etika adalah bukan yang bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan suatu falsafah moral yang mengambil kira tindakan atau tingkah laku manusia. Etika juga merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul.

Raja yang berjiwa rakyat merupakan salah satu tingkah laku yang merujuk kepada etika atau perilaku seseorang. Raja yang berjiwa rakyat merupakan raja yang sangat dihormati dan disayangi oleh rakyat jelata. Hal ini demikian kerana, raja yang merupakan golongan yang mempunyai darjat yang tinggi sanggup melupakan darjatnya dan ‘turun padang’ melihat kehidupan yang dilalui rakyatnya. Raja yang berjiwa rakyat ini turun ditonjolkan dalam karya Tuhfat al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ali Haji. Contohnya adalah seperti berikut:

“Syahadan apabila mangkatlah Sultan Mansur Shah ini maka menggantikan kerajaannya puteranya Sultan Alauddin Riayat Syah. Adalah baginda itu sangat suka mengawali negeri pergi sambang malam dengan dirinya sendiri, dan beberapa kali ia membunuh penyamun dan pencuri dengan tangannya sendiri dan menghukumkan dengan adil dan bencikan orang yang jahat-jahat serta memeliharakan harta benda orang.”    
                                                                                                                                                               (Tuhfat al-Nafis, 1982: 7)
Pengarang memaparkan kepada pembaca akan sikap seorang raja pada ketika itu yang suka melakukan kerja-kerja menjaga keselamatan rakyat tanpa bantuan orang lain. Selain itu, pengarang turut menyelitkan corak pemerintahan yang dibawa pada ketika itu merupakan corak pemerintahan yang adil yang diterajui oleh Sultan Alauddin Riayat Syah yang digambarkan oleh pengarang sebagai raja yang berjiwa rakyat dan mempunyai etika atau tingkah laku yang baik dan seharusnya dicontohi oleh pemimpin pada zaman sekarang yang mengutamakan rakyat daripada kepentingan peribadi.

Selain memaparkan tingkah laku seorang raja yang berjiwa rakyat, raja yang adil dan benci akan perbuatan yang melanggar norma hidup manusia, karya yang dikarang oleh Raja Ali Haji, iaitu Tuhfat al-Nafis pengarang turut menyelitkan akan tingkah laku seseorang kerabat diraja yang melanggar norm atau etika sebagai seorang manusia. Contohnya:

“Maka itu Sultan Pahang bernam Sultan Mansur Syah kerabat baginda itu juga. Maka tiada beberapa lama di Pahang pindahlah pula ia ke Johor, lalu membuat negeri di Johor. Syahadan puteranya Sultan Ahmad itu murah perangainya, akan tetapi tidak suka akan orang tua-tua serta dihina-hinakannya segala orang besar-besar, serta dilakukannya pekerjaan-pekerjaan yang bukan-bukan patut atas orang tua-tua dan orang besar-besar itu. Maka Sultan Mahmud pun murka lalu diracunnya puteranya itu, maka mangkatlah Sultan Ahmad Syah itu. Maka jadilah enam keturunan Raja-raja Melayu kerajaan di dalam negeri Melaka.”                                                                                          
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 8-9)
Melalui petikan di atas, pengarang ingin pembaca berfikir dan membuat perbandingan antara dua etika, iaitu etika yang baik dan etika yang buruk. Petikan di atas menujukan kepada pembaca akan sikap yang dibawa atau ditunjukkan oleh Sultan Ahmad Syah yang mempunyai tingkah laku yang buruk dan sering menindas golongan yang berada di bawahnya. Sikap yang ditunjukkan oleh Sultan Ahmad telah membuatkan ayahandanya berasa kurang senang dan menimbulkan kemarahan baginda lalu baginda Sultan Mahmud mengambil tindakan dengan memberi racun kepada anakandanya sendiri.


Di sini jelas menunjukkan bahawa pemimpin yang memiliki sikap yang burut dan tidak beretika akan membuatkan orang di sekelilingnya berasa kurang enak dan seterusnya akan ditolak bukan sahaja oleh keluarga sendiri malahan oleh orang di sekelilingnya. Petikan ini menunjukkan perbezaan antara dua kerabat diraja yang memiliki sikap atau etika yang berbeza dan pengarang menunjukkan bagaimana penerimaan orang lain terhadap sikap yang dibawa oleh seseorang individu itu.

Falsafah dalam Karya Bustan al-Katibin


Raja Ali Haji merupakan penulis berbakat pada zamannya. Sumbangan beliau dalam bidang bahasa persuratan, sejarah dan agama telah menjadi bahan kajian sarjana dan orientalis. Antara beberapa karya beliau yang penting ialah sebuah karya berjudul Bustanul-Katibin Lissubyanil, Muta’alimi atau dalam bahasa Melayu, Kitab Perkebunan Jurutulis bagi kanak-kanak yang baru hendak mempelajarinya. Hasilnya merupakan karya kritis mengenai nahu bahasa Melayu. Buku ini dikarang oleh beliau pada 20 Syaaban 1273 bersamaan 15 April 1857. Buku ini diusahakan dengan menggunakan cap batu di Penyegat. Karya ini diulas dan diterjemahkan ke dalam bahasa Belanda oleh Van Ronkel dalam Tijdschrift Voor Indische Taal Land.en Volkenkunde pada tahun 1901.

            Buku yang terdiri daripada 10 pasal utama ini dimulai dengan sebuah huraian mukadimah yang menjelaskan tentang kaitan antara bahasa dengan adat, adab, dan budi pekerti. Selain itu, tajuk pemikiran Raja Ali Haji dalam mukadimah berkisar seputar fadhilat (keutamaan) ilmu dan akal untuk menjaga dan meningkatkan kualiti moral dan menjadi insan Kamil sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah. Dalam mukadimah, Raja Ali Haji juga mensyaratkan kepada pembaca dalam memahami buku ini untuk memiliki lima perkara iaitu Al-Himmah (kesungguhan), Al- Mudarasah (analisi), Al-Muhafazah (penghafalan). Al-Mudzakarah (kajian lebih lanjut) dan Al-Muthala’ah (kajian lebih mendalam). Sepuluh pasal yang disusun oleh Raja Ali Haji dalam kitab ini berisi kaedah, prinsip, dan tata cara penulisan bahasa Melayu dalam aksara Jawi yang disesuaikan dengan tatabahasa (Nahu dan Saraf) dalam bahasa Arab.

            Bustanul al-Katibin diakui sebagai karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang dihasilkan oleh pengarang dari Nusantara sehingga membolehkan pembaca mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaannya lagi. Tujuan Raja Ali Haji menghasilkan kitab ini adalah untuk menyebarkan ilmu bahasa dan ilmu tulisan, menghasilkan buku tatabahasa bahasa Melayu serta menerapkan hukum bahasa. Bustan al-Katibin juga mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa dan huraiannya dalam konteks tatabahasa luas dan mendalam.

            Kitab terbabit turut mengandungi perbincangan mengenai aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa Melayu, selain pengajaran Raja Ali Haji dalam ilmu dan akal yang bukan sahaja sesuai untuk pembacaan pada zamannya, bahkan masih lagi bermanfaat untuk diketahui serta dikaji oleh sarjana dan pembaca kini. Raja Ali Haji turut mengemukakan 10 adab berguru yang wajar dijadikan ikutan dan teladan kepada pelajar, sekali gus dianggap menjadi peringatan yang berguna kepada mereka yang sedang menuntut ilmu.

             Dalam Islam, pengajian bahasa khususnya bahasa Arab dan bahasa penganut Islam lain, merupakan ilmu alat untuk mencapai makrifat, iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan, memperteguh keimanan dan ketakwaan, dan menyemai adab kesopanan yang mulia, yang mengandungi antara lain ilmu-ilmu nahu (sintaksis), saraf (morfologi), qawa’id (tatabahasa), mantiq (logik), balaghah (retorik), istidlal (pendalilan), kalam (penghujahan) dan sebagainya. Raja Ali Haji dalam buku beliau telah meletakkan tradisi pengajian bahasa Melayu berdasarkan maksud dan matlamat pengajian bahasa yang digariskan oleh tradisi pengajian Islam.

            Raja Ali Haji dengan lantang dan jelas menyatakan bahawa terdapat perkaitan yang erat antara kebolehan berbahasa dan adab sopan yang mulia dengan ilmu yang tinggi. Tegas beliau dalam Bustan al-Katibin (halaman 3) :

“…adab dan sopan itu daripada tutur kata juga asalnya, kemudian baharulah pada kelakuan. Bermula apabila berkehendak kepada menunturkan ‘ilmu atau berkata-kata yang beradab dan sopan, tak dapat tiada mengetahuilah dahulu ‘ilmu yang dua itu, iaitu ‘ilmu wa al-kalam (pengetahuan dan pertuturan).”
            
Berdasarkan kepada falsafah dan pegangan demikian terhadap peranan dan kedudukan bahasa dalam usaha melahirkan seorang manusia Melayu yang beradab sopan, berakal dan berbudi bahasa yang mulia, dan berilmu tinggi, maka Raja Ali Haji menghasilkan karya Bustan al-Katibin ini. Mengikut Raja Ali Haji, keturunan dan pangkat yang tinggi tanpa ilmu yang sahih, akal budi yang luhur, dan adab sopan yang mulia, menjadi sia-sia belaka. Oleh hal yang demikian, dalam bahagian Mukadimah Bustan Al-Katibin, beliau telah menerangkan dahulu kelebihan-kelebihan ilmu dan akal untuk meletakkan perspektif dan tujuan sebenar dalam pembelajaran bahasa. Ilmu yang paling penting dan pertama yang harus dipelajari oleh orang Islam ialah ilmu agama Islam.

            Oleh itu, semasa beliau menghuraikan tentang bahasa Melayu, terlebih dahulu beliau telah menghuraikan secara terperinci adab dan syarat menuntut ilmu, iaitu merupakan asas kepada psikologi pendidikan yang mampu melahirkan seorang Melayu yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi juga boleh bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mulia. Penyemaian adab dalam diri seseorang merupakan proses pendidikan yang dapat membawa kepada disiplin jasad, akal dan unsur kerohaniannya yang seterusnya akan membolehkan seseorang itu mencari, memperoleh, dan mengamalkan ilmu yang benar. 


Falsafah dalam Bustan Al-Katibin
Ilmu pengetahuan tentang kewujudan Allah S.W.T sebenarnya berkait rapat dan langsung dengan ikrar seorang Muslim dalam kalimah syahadahnya iaitu:

                        “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah”

Oleh itu bagi Raja Ali Haji, ilmu yang utama dan wajib dipelajari ialah ilmu  tentang Allah S.W.T. Matlamat utama dalam pengajian dan pembelajaran bahasa bukan sahaja mengetahui binaan bahasa, bunyi dan ejaannya, perkataan, kosa kata, binaan ayat, klausa dan sebagainya malah lebih daripada itu iaitu mempelajari cara untuk menggunakan bahasa supaya tercapai ilmu yang benar bagi membimbing manusia ke arah keredhaan Allah.

            Di dalam kitab ini juga, Raja Ali Haji mengatakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa umat Islam terulung di Asia Tenggara. Melalui kitab ini, beliau dapat mewujudkan penghuraian tentang bahasa Melayu yang tepat, padat, ringkas, dan rapi dari segi ejaan dan tata bahasanya yang mewakili sistem medan makna yang diberikan takrif yang jelas berdasarkan autoriti al-Quran dan al-Hadith.

            Berdasarkan kepada pandangan dan hujahan beliau di dalam bukunya, jelaslah bahawa pandangan Raja Ali Haji tentang pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu berkait rapat dengan pandangan sejagat beliau sebagai orang Melayu Islam yang melihat hakikat kewujudan dan kejadian alam semesta dan manusia di dalam lingkungan Tuhan. 

            Raja Ali Haji dalam kitabnya turut menerangkan kaedah menulis surat kiriman rasmi yang telah menjadi salah satu daripada budaya atau adab orang Melayu Islam. Surat kiriman ini mengukuhkan dan mengesahkan lagi darjat dan martabat ilmu yang membawa kepada kesahihan dan kebenaran ilmu dalam Islam. Beliau dalam tulisannya menerangkan kaedah menulis surat seperti di bawah:


Bermula perkataan pada surat perkiriman itu, maka hendaklah dimulai dengan bismillahirrahman nirrahim dan kemudian Alhamdulillah iaitu memuji-muji Allah Ta’ala mana yang munasabah dan waqi’…kemudian selawatkan Nabi kita serta keluarganya dan sahabatnya, dan kemudian baharulah diiringi dengan salam ta’zim…pada orang-orang yang berkirim dan orang yang dikirim. 

Falsafah dalam Karya Sejarah Melayu


Karya Sejarah Melayu dianggap sebagai sebuah karya sejarah yang universal bagi masyarakat Melayu tradisi, khususnya yang berpusat pada Empayar Melayu Melaka. Karya ini menggambarkan alam masyarakat Melayu tradisi pada ketika itu, iaitu alam yang merangkumi bidang politik, ekonomi, masyarakat dan juga agama. Dalam lingkungan itu, aspek yang paling penting ialah orang Melayu atau orang Melaka dengan raja-rajanya, peristiwa yang berlaku dan tindakan yang dilakukan di sekitar ketokohan serta alam persekitaran mereka.

Nilai-nilai Feudal 
Dalam Sejarah Melayu ada menceritakan amalan feudalisme Melayu. Feudalisme Melayu mengamalkan berbagai-bagai pantang larang untuk mengingatkan rakyat tentang kerendahan martabat mereka (W.G. Shellabear 1975: 74). Raja pada zaman itu sangat zalim manakala rakyat sangat setia kepada rajanya. Malahan ada anak-anak bangsawan memeras wang daripada rakyat (W.G. Shellabear 1975: 62).
            Terdapat satu peristiwa yang menunjukkan betapa seorang raja itu membenci teguran-teguran ke atas tindak-tanduknya. Apabila raja berkenaan membunuh seorang hamba Allah tanpa sebab-sebab yang munasabah, dengan halus Seri Bija Diraja membayangkan perasaan tidak puas hati. Kemudiannya, raja berkenaan telah membunuh Seri Bija Diraja atas alasan-alasan yang tipis. Salah satu daripadanya ialah Seri Bija Diraja lambat datang menyembah raja pada Hari RAYA (W.G. Shellabear 1975: 180, 194, 195). Selain itu, tiadanya sikap toleransi dapat dilihat dalam peristiwa Tun Kadim. Apabila Inderapura dilanggar todak, Tun Kadim berjaya mengatasi masalah tersebut (W.G. Shellabear 1975: 67; Kassim Ahmad 1966: 416 dalam Mohd. Affandi 1994: 62, 63). Walau bagaimanapun, kejayaannya membawa maut apabila Raja membunuhnya kerana dia dianggap terlalu cerdik dan mungkin kelak menggugat kedudukan raja (W.G. Shellabear 1975: 68).
            Dalam karya ini juga terdapat banyak contoh raja yang zalim. Misalnya Sultan Ahmad menghadapi persaingan dalam usaha menawan hati seorang gadis. Dia menyelesaikan masalah dengan memerintahkan seorang pengikutnya membunuh saingannya (W.G. Shellabear 1975: 186, 187). Unsure-unsur kezaliman ini juga terdapat dalam kisah Sultan Mahmud dan Tun Fatimah. Apabila Sultan Mahmud melihat Tun Fatimah buat pertama kali, dia menaruh dendam terhadap Bendahara Mutahir, bapa Tun Fatimah kerana tidak mempersembahkan Tun Fatimah kepadanya sebelum menjodohkannya dengan lelaki lain. Sultan Mahmud mengambil kesempatan apabila Bendahara Mutahir difitnahkan hendak menderhaka. Dia menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Bendahara Mutahir, suami Tun Fatimah, dan kesemua anggota keluarga Bendahara Mutahir. Kemudian, Sultan Mahmud mengahwini Tun Fatimah (W.G. Shellabear 1975: 246, 247, 252, 253).
            Sikap Bendaharan mutahir sebelum menjalani hukuman menjadi teladan nilai-nilai feudal. Apabila ahli keluarganya cuba membantah dan menentang, dia melarang dan memarahi merela, sejajar dengan sikap taat setia tanpa berbelah bahagi yang dianjurkan oleh fahaman feudal. Dia menegur anaknya, “Hai Hassan, hendak membinasakan nama orang tua-tua kitakah? Kerana adat Melayu, tiada pernah derhaka.” (W.G. Shellabear 1975: 253).
            Kesan perendahan kemanusiaan Melayu oleh mitos feudal dapat juga dilihat dalam individu-individu yang berjiwa takut dan khuatir. Ketakutan dan kekhuatiran yang menyelubungi jiwa mereka begitu mendalam dan hebat sehingga ada yang sanggup membunuh diri kerana merasakan akan hilang pengikhtirafan raja ke atasnya. Contoh ketakutan dan kekhuatiran yang amat patologikal ini dapat dilihat pada peribadi Bendahara Seri Wak Raja. Pada suatu hari, beliau datang lewat ke istana. Sejurus hendak masuk, pintu istana secara kebetulan tertutup di hadapannya. Dia dengan salah merumuskan bahawa raja tentu marah padanya, lalu membunuh diri (Othman Puteh (1994: 248).
            Itulah yang digambarkan bahawa raja pada zaman dahulu berlaku zalim terhadap rakyat-rakyatnya. Amalan feudal juga telah menjadi satu amalan yang wajib bagi masyarakat pada zaman dahulu. Rakyat yang tidak mengamalkannya pasti akan dibunuh terutamanya apabila melanggar titah raja atau para pemimpin. 

Nilai Pendidikan
Menurut  Laurent Metzger (2007: 76), satu contoh telah membuktikan bahawa kepandaian atau kepintaran kanak-kanak tidak disanjung tinggi malah kadang-kadang pula ditakuti. Pada awal karya ini diceritakan serbuan ikan todak di Singapura. Kemudian para pembaca diberitahu bahawa orang tempatan cuba menghalang kemasukan ikan todak itu dengan badan mereka. Namun mereka tidak berjaya sehingga seorang kanak-kanak mencadangkan mereka menggunakan batang pisang sebagai tembok supaya ikan todak tidak dapat masuk. Cadangan ini diterima dan memang berjaya menghalang kemasukan ikan tersebut ke Pulau Singapura.
            Walau bagaimanapun, budak itu yang begitu pintar tidak dihormati akan tetapi dibunuh serta-merta oleh kerana beliau dikatakan terlalu pandai dan boleh mengancam kedudukan raja dan para pemimpin Singapura pada waktu itu. Jadi jikalau terdapat seorang yang pintar orang itu ditakuti dan dibunuh. Hal ini menunjukkan bahawa kebijaksanaan dan kepintaran kanak-kanak pada masa itu tidak dipedulikan kerana raja dan pemimpinlah yang paling berkuasa dan tiada seorang pun rakyat yang boleh menandinginya.


Falsafah dalam Karya Hikayat Hang Tuah


Hikayat Hang Tuah (HHT) ialah sebuah epik kepahlawanan yang merentasi sepanjang zaman naik turun kerajaan Empayar Melaka. Hikayat ini dipercayai mula ditulis sekitar 1700 (Leiden manuscript Cod.Or.1762.), tetapi manuskrip lengkap adalah bertarikh 1849. HHT mengandungi cerita-cerita tentang kepahlawanan Hang Tuah atau perbuatan handal tokoh-tokoh Melayu yang lain. Dalam HHT ini, terdapat banyak nilai Melayu atau ilmu pengetahuan orang Melayu mengenai hal yang di luar alam biasa atau tidak kelihatan.
Menurut Mohd Affandi Hassan et. al (1994: 45), pemikiran dan nilai-nilai dua wira feudal, iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat sangat mempengaruhi pemikiran golongan tertentu dalam masyarakat Melayu. Menurut HHT, raja dianggap sebagai keturunan raja keinderaan (Kassim Ahmad 1966: 1 dalam Mohd. Affandi (1994: 45) ). Menurut seorang pedagang, “Barang siapa melihat rupa raja itu ia bertemu dengan Allah Taala, demikianlah.” Mereka mempercayai bahawa raja itu dilantik terus oleh Allah.
            Menurut Mohd. Affandi (1994: 47), Hang Tuah hanya mentafsir agama Islam mengikut aliran yang menyokong kepentingan golongan pemerintah feudal tempat dia berkhidmat. Hang Tuah pernah berkata bahawa “Raja itu tidak dapat ditahani; barang kehendaknya itu berlaku atas segala hambanya, kerana raja itu ganti Allah Taala di dalam dunia ini.” (Kassim Ahmad 1966: 232 dalam Mohd Affandi 1994: 47).      Salah satu tugas Hang Tuah di istana adalah menyediakan tempat-tempat beradu untuk pembesar-pembesar yang menjadi tamu dan menghiburkan mereka dengan kisah-kisah kehandalannya dalam peperangan sebelum mereka beradu.
Hang Tuah juga melibatkan diri dalam pembinaan istana kerana membina istana juga merupakan kegemaran raja-raja Melayu pada zaman feudal (Kassim Ahmad 1966: 53 dalam Mohd. Affandi 1944: 49). Sejarah Melayu ada mengisahkan bagaimana Bendahara Tun Perak sendiri terpaksa membetulkan kecacatan yang terdapat pada istana raja (W.G. Shellabear 1975: 133, 134). Menurut Raja Chulan (1966: 92) dalam Mohd. Affandi 1944: 49, beberapa pegawai terpaksa meletakkan jawatan kerana gagal membina sebuah istana baru mengikut bentuk yang disukai raja.
            Wira-wira feudal hendaklah pandai melayani kegemaran tuan-tuan mereka dan berburu merupakan salah satu hiburan kepada raja-raja Melayu pada zaman feudal. Hang Tuah juga sangat dikasihani raja kerana dia melayani sahaja kehendak raja, misalnya mendapatkan isteri-isteri dan gundik-gundik. Dalam hal ini, Hang Tuah berpegang teguh kepada prinsip taat setia membuta tuli walaupun dia dihukum bunuh secara tidak adil oleh raja kerana beliau dituduh melakukan sumbang bersama-sama gundik raja di dalam istana. Hang Tuah difitnah oleh pegawai-pegawai istana yang lain kerana mereka berasa iri hati di atas kasih sayang raja terhadap Hang Tuah. 
            Mengikut pemikiran Hang Tuah, raja berhak bertindak sesuka hati kerana raja dianggap sebagai pengganti Allah di bumi (Kassim Ahmad 1966: 232 dalam Mohd. Affandi 1994: 52). Taat setia kepada raja itu penting untuk menjaga nama baik seseorang dan merupakan satu syarat utama untuk ke syurga. Hang Tuah pernah berhujah kepada Hang Jebat: “Adapun pekerjaanmu derhaka olehmu di dalam akhirat jemah… akan kita diperhamba raja ini hendaklah pada barang sesuatu pekerjaan itu bicarakan sangat-sangat, seperti kata orang tua-tua: ‘Baik mati dengan nama yang baik, jangan hidup dengan nama yang jahat: supaya masuk syurga jemah.’ (Kassim Ahmad 1966: 319, 315 dalam Mohd Affandi 1994: 52).
            Dari segi ini, Hang Tuah menyeleweng dalam memahami Islam. Islam mengutuk taat setia membuta tuli yang mengatasi pertimbangan-pertimbangan etika. Sebagai contoh, Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: “Mendengar dan mematuhi adalah tanggungjawab seseorang Muslim baik bersabit perkara-perkara yang disukainya atau tidak, asalkan ia tidak diperintah melakukan sesuatu perbuatan yang mengingkari Allah, di mana mereka wajib jangan mendengar dan mematuhi.” Baginda juga bersabda: “Tiada taat setia dalam perbuatan-perbuatan yang mengingkari Allah; kesetiaan diwajibkan cuma dalam melaksanakan kebajikan.” (Mishkat al-Masabih – terjemaham J. Robson 1973: 780, Jilid IV dalam Mohd Affandi 1994: 52)
Dalam hal ini, Hang Tuah sangat berpegang teguh akan kedaulatan raja dan seterusnya perhambaan tidak berbelah baginya menunjukkan kesan yang besar mitos feudal ke atas pertumbuhan peribadi Melayu, iaitu penghancuran mutlak keperibadian insan (Othman Puteh 1994: 250). Seperti Hang Tuah, Hang Jebat juga merupakan seorang pegawai feudal. Walau bagaimanapun, berbeza daripada Hang Tuah, pada akhirnya Hang Jebat memberontak menentang rajanya. Hang Jebat merupakan sahabat Hang Tuah yang paling akrab dan mereka sering bersama-sama berkhidmat kepada raja. Apabila Hang Tuah dihukum mati buat kali keduanya, Hang Jebat telah dilantik sebagai laksamana menggantikannya (Kassim Ahmad 1966: 290 dalam Mohd. Affandi 1994: 53).
 Walau bagaimanapun, Bendahara dengan secara rahsia enggan menjalankan hukuman dan sebaliknya menyuruh Hang Tuah menyembunyikan diri. Semasa Hnag Tuah tiada di istana, Hnag Jebat berjaya meningkatkan pengaruhnya. Sangkaan Hang Jebat yang Hang Tuah telah meninggal dunia membuatnya berasa bongkak dan bebas daripada batasan dan rintangan. Pada peringkat awal menerima perlantikan sebagai laksamana, Hang Jebat menjalankan tugas-tugasnya dengan setia. “Maka disuruhnya raja membaca hikayat… Hang Jebat pun membaca hikayat, terlalu nyaring suaranya lagi merdu (Kassim Ahmad 1966: 291 dalam Mohd. Affandi 1994: 53). Dia begitu pandai membaca sehingga para pendengar terpesona dan terus menjadi sedih. Rupa-rupanya pada waktu tersebut, kepandaian membaca sastera merupakan suatu keunggulan yang pantas juga disandang oleh seorang panglima perang seperti Hang Jebat (Othman Puteh, 1994: 219).
Oleh hal yang demikian, dia mula bongkak dan melarang pegawai-pegawai lain datang ke istana. Dia mula bernafsu untuk menikmati keistimewaan-keistimewaan raja. “… Dia pun duduk di atas peterena yang keemasan tempat raja duduk itu. Maka biduan empat itu pun bernyanyilah, terlalu ramai makan minum dengan segala bunyi-bunyian. Maka Hang Jebat pun mandi berlangir pada pasu emas tempat raja mandi. Maka ia memakai bau-bauan; maka ia pun menyuruh mengambil peti pakaian itu. Maka diambilnya kain raja yang berpermata itu dipakainya. Setelah sudah maka Si Jebat pun duduk di atas peterena yang keemasan … Hang Jebat pun makanlah seperti kelakuan raja santap; demikian lakunya. Setelah sudah makan maka Hang Jebat pun tidurlah pada tempat raja tidur itu.” (Kassim Ahmad 1966: 298 dalam Mohd. Affandi 1994: 54).

 Hang Jebat juga berfoya-foya dengan dayang-dayang istana. Apabila keadaan bertambah buruk, Bendahara mnededahkan bahawa Hang Tuah masih hidup. Selepas itu Hang Tuah dijemput kembali untuk membunuh Hang Jebat. Menerusi dialognya dnegan Hang Tuah, kita dapat memahami perwatakan Hang Jebat. Dia merupakan seorang pemberontak yang zalim yang bercita-cita menjadi masyhur dalam sejarah. Dia pernah berkata kepada Hang Tuah, “Hai Laksamana, sekali-kali tiada aku menyesal dan takut akan mati, tetapi sudah aku tahu akan kematianku ini pada tanganmu di mana dapat kusalahi lagi? (Kassim Ahmad 1966: 315 dalam Mohd. Affandi 1994: 54). 

Falsafah dalam Karya Sulalatus Salatin


Sulalatus Salatin juga dikenali sebagai Sejarah Melayu.  Karya ini telah dikarang oleh Tun Sri Lanang ketika beliau menjadi Bendahara paduka Johor bermula tahun 1580 hingga 1615. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Karya ini bergenre sejarah yang mengandungi lima belas bab kesemuanya. Karya agung ini menceritakan tentang perihal zaman kesultanan Melayu Melaka yang dikatakan di bawa dari Goa. Hal ini dapat dibuktikan dalam ayat berikut :

“Pada antara itu ada seorang Orang Besar,  terlebih mulianya dan terlebih besar martabatnya daripada yang lain. Maka berkata ia kepada fakir, “ Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan adatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian dari kita…”

Karya ini mempunyai banyak versi antaranya versi W. G  Shellabear, Munshi Abdullah dan versi Raffles MN. Karya ini mengisahkan tentang zaman pemerintahan raja terdahulu seperti zaman pemerintahan kesultanan Melayu Melaka.  Pelbagai kisah yang boleh dijadikan tauladan kepada masyarakat pada hari ini. Walaupun karya ini berkisarkan tentang zaman pemerintahan raja-raja, karya ini tetap boleh dijadikan panduan hidup serta mendidik masyarakat pada hari ini. Pelbagai nilai Melayu yang tergambar dalam karya ini  seperti nilai estetika yang menjadi keutamaan dalam karya Melayu iaitu estetika dari segi adab dan adatnya, estetika dari segi retoriknya dan sebagainya. Selain itu terdapat juga nilai Melayu yang melihat tentang etika dan kepimpinan dalam Masyarakat Melayu.
Masyarakat Melayu digambarkan sebagai masyarakat yang bijak mendidik serta mementingkan keagamaan. Hal ini menyebabkan lahirnya pelbagai bentuk sastera. Selain sastera sejarah terdapat juga sastera lipur lara, undang-undang, epik, mitos, dan agama. Melalui penelitian terhadap karya agung Sulalatus Salatin Sejarah Melayu pelbagai falsafah melayu yang digarap dalam penceritaan ini. Hal ini merupakan salah satu sebab mengapa Sulalatus Salatin diangkat sebagai karya agung. Antara bentuk falsafah Melayu yang terkandung dalam karya ini seperti falsafah nilai dan etika, kepimpinan, waad, estetika, bahasa, agama dan banyak lagi. Namun hanya sebahagian falsafah Melayu sahaja yang akan dikupas dalam penelitian terhadap falsafah Melayu dalam karya agung Sulalatus Salatin ini.  

Falsafah Nilai dan Etika dalam Sulalatus Salatin

Ilmu etika melihat tingkah laku manusia dari sudut yang baik dan yang buruk. Perkataan etika berasal daripada perkataan ethos yang ditakrifkan sebagai adat kebiasaan atau perlakuan yang lazim bagi sesuatu kelompok. Manakala dalam bahasa Latin ethos disebut sebagai mores iaitu ‘moral’ yang mempunyai perbezaannya dengan etika.  Kehidupan setiap manusia, sememangnya mempunyai tanggapan yang baik dan buruk. Oleh hal yang demikian, terdapat peraturan dan pegangan yang boleh mengawal setiap tingkah laku manusia. Etika merupakan ilmu tentang falsafah moral yang berkaitan dengan nilai dan pemikiran. Bidang ilmu etika ini menyentuh tentang kebaikan dan kejahatan serta sifat-sifat yang berkaitan dengannya. Menurut Mana Sikana, 1996 Ilmu etika dalam ajaran Islam dibentuk oleh rukun iman dan rukun islam melalui proses ihsan, ikhlas dan takwa.
Menurut mana Sikana ilmu etika boleh dibahagikan kepada dua, pertamanya falsafah iaitu nilai buruk dan baik ditentukan oleh pertimbangan manusia sendiri. Kedua bercorak agama iaitu melihat hubungan manusia dengan tuhannya dan manusia dengan manusia. Nilai pahala dan dosa dijadikan sebagai pengukur akhak. Bidang falsafah etika  yang melihat tentang tingkah laku manusia ini terkandung dalam hasil penulisan masyarakat terdahulu. Nilai tingkah laku ini dapat dilihat dalam naskhah karya agung Sulalatus Salatin yang banyak menceritakan tentang perihal kepimpinan masyarakat dahulu. Karya ini ada menyebut tentang tingkah laku manusia dari sudut yang baik hingga ke sudut yang lebih buruk. Hal ini dapat dibuktikan dalam petikan ayat yang berikut :

“...maka ada seorang dayang-dayang raja, orang yang keluar masuk, bukan orang yang tetap di dalam, bermukah dengan Hang Tuah. Maka diketahui oleh Sultan Mansyur Syah; baginda pun terlalu murka. Hang Tuah disuruh baginda bunuh kepada Seri Nara Diraja..”    
(Sulalatus Salatin: 130)   
Petikan ayat di atas diambil daripada peristiwa hang tuah dihukum bunuh dalam bab keenam. Hang Tuah digambarkan seorang yang sangat patuh kepada Sultan. Malangnya setelah Hang Tuah dituduh bermukah atau berzina dengan seorang dayang, Sultan terus menjatuhkan hukuman bunuh tanpa menyiasatnya dahulu. Hang Tuah tetap akur walaupun beliau tidak bersalah. Hal ini menunjukkan karya ini memperlihatkan nilai etika dalam kalangan masyarakat terdahulu mengenai konsep perlakuan buruk dan baik akan dipertimbangkan oleh manusia itu sendiri .

 Falsafah Estetika dalam Sulalatus Salatin
Estetika merupaka ilmu yang memperkatakan tentang nilai keindahan. Penelitian terhadap nilai estetika dalam sesebuah karya sememangnya luas. Keindahan bukan sekadar tercipta melalui bahasanya, malah keindahan boleh dilihat dalam adat dan budaya, tingkah laku, gambaran watak dan sebagainya. Persoalan tentang nilai estetika ini banyak diutarakan dalam sesebuah karya sastera terutamanya dalam puisi-puisi Melayu.  Falsafah estetika meliputi nilai-nilai keindahan dan seni, nilai retorik, suasana hati dan pelbagai lagi yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan nilai kecantikan. Masyarakat Melayu sangat menitikberatkan nilai estetika terutamanya daripada aspek pertuturan kemudian digarap dalam bentuk penulisan. Hampir setiap karya mempunyai nilai estetika yang tersendiri.
Mana Sikana, 1996 menyatakan orang Yunani Purba menganggap keindahan itu sebagai sejenis perasaan, yang hanya akan dapat dinikmati oleh rohani. Islam juga melihat alam sebagai unsur keindahan. Manusia akan terpesona dengan keindahan alam yang mampu menenangkan jiwa dan sesungguhnya keindahan ini adalah hakikat daripada kekuasaan Tuhan. Hal ini menunjukkan takrifan mengenai nilai ‘estetika’ sangat luas. Pelbagai pandangan yang diberikan mengenai nilai estetika. Dalam konsep penghasilan sesuatu karya sastera, nilai estetika dapat dilihat melalui kepelbagaian bentuk bahasa yang digunakan seperti penggunaan bahasa asing dan puisi dalam karya. Masyarakat dahulu sememangnya terkenal dengan nilai estetika dalam penggunaan bahasa.
Berdasarkan penelitian terhadap karya agung Sulalatus Salatin, nilai estetika dapat dilihat berdasarkan penggunaan puisi dalam karya ini. Terdapat beberapa puisi Melayu tradisional yang terkandung dalam penulisan karya ini. Antaranya dalam bab kesepuluh, dalam peristiwa  Tun Mutahir dijadikan Bendahara, halaman 207. Selain itu, penggunaan puisi tradisional ini juga dapat dilihat dalam bab yang sama dalam peristiwa Meminang “Puteri Gunung Ledang”. Penggunaan bait-bait puisi dapat dilihat dalam contoh yang berikut:
            Kuning Ledang bagai dikarang,                                                         Riang-riang disambar wakab; Hairan memandang dunia sekarang,                                    Bayang-bayanghendak ditangkap.      
(Sulalatus Ssalatin: 214)                                   
Petikan puisi tradisional di atas telah diungkapkan bunga telipuk semasa peristiwa Tun Mamad hendak meminang Puteri Gunung Ledang  untuk sultan Mahmud Syah. Keagungan bahasa Melayu klasik ditandai dengan bahasa yang mempunyai nilai estetika. Bahasa yang dituturkan bukan sekadar dituturkan dalam bentuk kebiasaan, malah masyarakat dahulu juga menggunakan pelbagai puisi seperti pantun, seloka, syair dan sebagainya untuk menyampaikan sesuatu maklumat. Hal ini memperlihatkan nilai estetika dalam sesuatu karya.

Falsafah Waad dalam Sulalatus Salatin
Waad merupakan sebuah perjanjian yang dibuat antara rakyat dan pembesar dan antara pembesar dengan susur galur keturunannya. Masyarakat dahulu mempercayai bahawa pelanggaran waad akan memberi kesan yang buruk kepada pihak yang memungkirinya.  Sulalatus Salatin merupakan karya yang berbentuk historikal. Bentuk penceritaan banyak mengisahkan tentang pemerintahan raja-raja terdahulu. Perjanjian waad ini sering digunakan sebagai satu kaedah berteguh janji antara dua pihak. Waad ini bukan merupakan suatu perjanjian yang biasa. Masyarakat dahulu percaya bahawa, sesiapa yang melanggar waad ini akan menerima akibat daripada perjanjian tersebut. Terdapat juga perjanjian pemindahan kuasa antara Sultan dengan jurai keturunan dibawahnya.
Waad merupakan sesuatu yang lazim bagi masyarakat  pada zaman dahulu. Hal ini dapat dibuktikan dalam beberapa peristiwa yang melibatkan perjanjian antara dua pihak . Hal ini dapat dilihat dalam bab kedua  dalam peristiwa bersumpah berteguh janji antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Jika ada antara dua pihak yang melanggar perjanjian ini, dipercayai akan memperolehi musibah. Hal ini dapat dibuktikan dalam petikan ayat yang beriku:

“Barang siapa hamba Melayu derhaka mengubahkan perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “ Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, binasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya.”   
                                                                (Sulalatus Salatin: 26)                                                    
Petikan ayat di atas memperlihatkan waad yang telah dibuat antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana. Terdapat juga waad lain yang terkandung dalam karya Sulalatus Salatin ini seperti dalam peristiwa wasiat Bendahara Paduka Raja dan wasiat Sultan Muzaffar Syah.  Hal ini memperlihatkan masyarakat dahulu mempercayai kesan pelanggaran waad terhadap sesuatu perjanjian yang dibuat.

Falsafah Kepimpinan dalam Sulalatus Salatin
Nilai kepimpinan dapat ditonjolkan dalam karya-karya prosa Melayu tradisional. Buktinya, selain wujud kelompok sastera sejarah, undang-undang, keagamaan dan lipur lara dalam perkembangan era kesusasteraan Melayu juga telah wujud sastera epik iaitu karya yang mengagungkan kepahlawanan seseorang. Contohnya sastera epik seperti Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Hang Tuah dan sebagainya. Masyarakat dahulu menganggap bahawa keagungan pahlawan biasanya dapat dilihat melalui kegagahannya serta kehebatan yang luar daripada kebiasaan. Selain itu, kepahlawanan juga dapat dinilai melalui kepimpinan seseorang dalam memerintah sesebuah kerajaan. Perihal kepimpinan golongan pemerintah ini dapat dilihat dalam karya Sulalatus Salatin yang banyak menceritakan tentang kepimpinan raja-raja dahulu bermula daripada kepimpinan yang adil sehingga pemerintahan yang kejam. Kepimpinan yang adil dapat dilihat dalam petikan ayat yang berikut:

“...demikian istiadat dahulukala, jangankan di dalam negeri Melaka itu akan dapat membunuh tiada dengan setahu raja, jika pada negeri lain sekalipun, lamun takluk Melaka, tiada dapat membunuh…”    
(Sulalatus Salatin: 185)                                                                                                                                                    
Petikan di atas diambil pada zaman pemerintahan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah atau gelarannya ketika usia kecil Raja Ahmad. Beliau dikatakan seorang pemimpin yang adil. Kepimpinan yang adil ini wujud dalam kelompok  falsafah Melayu. Hal ini juga dapat dibuktikan  melalui karya-karya Melayu yang bayak menceritakan tentang kepimpinan yang adil dan bertanggungjawab. Petikan di atas menunjukkan bahawa Sultan Alau’d-Din Riayat Syah merupakan pemerintah yang adil kerana sangat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya  dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap hal ehwal negerinya. Selain itu, nilai kepimpinan Sultan Alau’d-Din juga dapat dilihat sebelum beliau mahu menghembuskan nafas yang terakhir melalui wasiat yang diberikan kepada anaknya:

“Hei anakku, adapun engkau hendaklah banyak-banyak sabar, ampunpu akan segala hamba sahayamu, dan baik-baik memelihara akan dia...Dan segala anak Melayu baginda pun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampaikan kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah;..Jikalau engakau bunuh ia tiada dengan dosanya, bahawa kerajaanmu binasa.”     
(Sulalatus Salatin: 186-187)                                                                                                                                

Petikan di atas menunjukkan wasiat yang berunsur nasihat mengenai kepimpinan dalam pemerintahan. Beliau telah menasihati anaknya Raja Mamat supaya menjadi seorang pemimpin yang adil, pengampun dan memelihara kerajaan dengan baik. Beliau juga meminta Raja Mamat supaya tidak mengaibkan rakyat yang melakukan kesalahan serta tidak menghukum rakyat yang tidak bersalah. Hal ini jelas menunjukkan terdapat nilai kepimpinan agung, adil, dan  berjiwa rakyat dalam Sulalatus Salatin sejarah Melayu.