Hikayat Hang Tuah (HHT) ialah sebuah epik kepahlawanan yang merentasi sepanjang zaman naik turun
kerajaan Empayar
Melaka. Hikayat ini
dipercayai mula ditulis sekitar 1700 (Leiden manuscript Cod.Or.1762.), tetapi
manuskrip lengkap adalah bertarikh 1849. HHT
mengandungi cerita-cerita tentang kepahlawanan Hang Tuah atau perbuatan handal
tokoh-tokoh Melayu yang lain. Dalam HHT ini, terdapat banyak nilai Melayu atau
ilmu pengetahuan orang Melayu mengenai hal yang di luar alam biasa atau tidak
kelihatan.
Menurut Mohd Affandi Hassan et. al (1994:
45), pemikiran dan nilai-nilai dua wira feudal, iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat
sangat mempengaruhi pemikiran golongan tertentu dalam masyarakat Melayu.
Menurut HHT, raja dianggap sebagai keturunan raja keinderaan (Kassim Ahmad
1966: 1 dalam Mohd. Affandi (1994: 45) ). Menurut seorang pedagang, “Barang
siapa melihat rupa raja itu ia bertemu dengan Allah Taala, demikianlah.” Mereka
mempercayai bahawa raja itu dilantik terus oleh Allah.
Menurut Mohd. Affandi (1994: 47),
Hang Tuah hanya mentafsir agama Islam mengikut aliran yang menyokong
kepentingan golongan pemerintah feudal tempat dia berkhidmat. Hang Tuah pernah
berkata bahawa “Raja itu tidak dapat ditahani; barang kehendaknya itu berlaku
atas segala hambanya, kerana raja itu ganti Allah Taala di dalam dunia ini.”
(Kassim Ahmad 1966: 232 dalam Mohd Affandi 1994: 47). Salah satu tugas Hang Tuah di istana adalah menyediakan
tempat-tempat beradu untuk pembesar-pembesar yang menjadi tamu dan menghiburkan
mereka dengan kisah-kisah kehandalannya dalam peperangan sebelum mereka beradu.
Hang Tuah juga melibatkan diri dalam pembinaan
istana kerana membina istana juga merupakan kegemaran raja-raja Melayu pada
zaman feudal (Kassim Ahmad 1966: 53 dalam Mohd. Affandi 1944: 49). Sejarah Melayu ada mengisahkan bagaimana
Bendahara Tun Perak sendiri terpaksa membetulkan kecacatan yang terdapat pada
istana raja (W.G. Shellabear 1975: 133, 134). Menurut Raja Chulan (1966: 92)
dalam Mohd. Affandi 1944: 49, beberapa pegawai terpaksa meletakkan jawatan
kerana gagal membina sebuah istana baru mengikut bentuk yang disukai raja.
Wira-wira feudal hendaklah pandai
melayani kegemaran tuan-tuan mereka dan berburu merupakan salah satu hiburan
kepada raja-raja Melayu pada zaman feudal. Hang Tuah juga sangat dikasihani
raja kerana dia melayani sahaja kehendak raja, misalnya mendapatkan
isteri-isteri dan gundik-gundik. Dalam hal ini, Hang Tuah berpegang teguh
kepada prinsip taat setia membuta tuli walaupun dia dihukum bunuh secara tidak
adil oleh raja kerana beliau dituduh melakukan sumbang bersama-sama gundik raja
di dalam istana. Hang Tuah difitnah oleh pegawai-pegawai istana yang lain
kerana mereka berasa iri hati di atas kasih sayang raja terhadap Hang Tuah.
Mengikut pemikiran Hang Tuah, raja
berhak bertindak sesuka hati kerana raja dianggap sebagai pengganti Allah di
bumi (Kassim Ahmad 1966: 232 dalam Mohd. Affandi 1994: 52). Taat setia kepada
raja itu penting untuk menjaga nama baik seseorang dan merupakan satu syarat
utama untuk ke syurga. Hang Tuah pernah berhujah kepada Hang Jebat: “Adapun
pekerjaanmu derhaka olehmu di dalam akhirat jemah… akan kita diperhamba raja
ini hendaklah pada barang sesuatu pekerjaan itu bicarakan sangat-sangat,
seperti kata orang tua-tua: ‘Baik mati dengan nama yang baik, jangan hidup
dengan nama yang jahat: supaya masuk syurga jemah.’ (Kassim Ahmad 1966: 319,
315 dalam Mohd Affandi 1994: 52).
Dari segi ini, Hang Tuah menyeleweng
dalam memahami Islam. Islam mengutuk taat setia membuta tuli yang mengatasi
pertimbangan-pertimbangan etika. Sebagai contoh, Nabi Muhammad s.a.w pernah
bersabda: “Mendengar dan mematuhi adalah tanggungjawab seseorang Muslim baik
bersabit perkara-perkara yang disukainya atau tidak, asalkan ia tidak diperintah
melakukan sesuatu perbuatan yang mengingkari Allah, di mana mereka wajib jangan
mendengar dan mematuhi.” Baginda juga bersabda: “Tiada taat setia dalam
perbuatan-perbuatan yang mengingkari Allah; kesetiaan diwajibkan cuma dalam
melaksanakan kebajikan.” (Mishkat
al-Masabih – terjemaham J. Robson 1973: 780, Jilid IV dalam Mohd Affandi
1994: 52)
Dalam hal ini, Hang Tuah sangat berpegang teguh akan
kedaulatan raja dan seterusnya perhambaan tidak berbelah baginya menunjukkan
kesan yang besar mitos feudal ke atas pertumbuhan peribadi Melayu, iaitu
penghancuran mutlak keperibadian insan (Othman Puteh 1994: 250). Seperti Hang
Tuah, Hang Jebat juga merupakan seorang pegawai feudal. Walau bagaimanapun,
berbeza daripada Hang Tuah, pada akhirnya Hang Jebat memberontak menentang
rajanya. Hang Jebat merupakan sahabat Hang Tuah yang paling akrab dan mereka
sering bersama-sama berkhidmat kepada raja. Apabila Hang Tuah dihukum mati buat
kali keduanya, Hang Jebat telah dilantik sebagai laksamana menggantikannya
(Kassim Ahmad 1966: 290 dalam Mohd. Affandi 1994: 53).
Walau
bagaimanapun, Bendahara dengan secara rahsia enggan menjalankan hukuman dan
sebaliknya menyuruh Hang Tuah menyembunyikan diri. Semasa Hnag Tuah tiada di
istana, Hnag Jebat berjaya meningkatkan pengaruhnya. Sangkaan Hang Jebat yang
Hang Tuah telah meninggal dunia membuatnya berasa bongkak dan bebas daripada
batasan dan rintangan. Pada peringkat awal menerima perlantikan sebagai
laksamana, Hang Jebat menjalankan tugas-tugasnya dengan setia. “Maka disuruhnya
raja membaca hikayat… Hang Jebat pun membaca hikayat, terlalu nyaring suaranya
lagi merdu (Kassim Ahmad 1966: 291 dalam Mohd. Affandi 1994: 53). Dia begitu
pandai membaca sehingga para pendengar terpesona dan terus menjadi sedih.
Rupa-rupanya pada waktu tersebut, kepandaian membaca sastera merupakan suatu
keunggulan yang pantas juga disandang oleh seorang panglima perang seperti Hang
Jebat (Othman Puteh, 1994: 219).
Oleh hal yang demikian, dia mula bongkak dan
melarang pegawai-pegawai lain datang ke istana. Dia mula bernafsu untuk
menikmati keistimewaan-keistimewaan raja. “… Dia pun duduk di atas peterena
yang keemasan tempat raja duduk itu. Maka biduan empat itu pun bernyanyilah,
terlalu ramai makan minum dengan segala bunyi-bunyian. Maka Hang Jebat pun mandi
berlangir pada pasu emas tempat raja mandi. Maka ia memakai bau-bauan; maka ia
pun menyuruh mengambil peti pakaian itu. Maka diambilnya kain raja yang
berpermata itu dipakainya. Setelah sudah maka Si Jebat pun duduk di atas
peterena yang keemasan … Hang Jebat pun makanlah seperti kelakuan raja santap;
demikian lakunya. Setelah sudah makan maka Hang Jebat pun tidurlah pada tempat
raja tidur itu.” (Kassim Ahmad 1966: 298 dalam Mohd. Affandi 1994: 54).
Hang Jebat
juga berfoya-foya dengan dayang-dayang istana. Apabila keadaan bertambah buruk,
Bendahara mnededahkan bahawa Hang Tuah masih hidup. Selepas itu Hang Tuah
dijemput kembali untuk membunuh Hang Jebat. Menerusi dialognya dnegan Hang
Tuah, kita dapat memahami perwatakan Hang Jebat. Dia merupakan seorang pemberontak
yang zalim yang bercita-cita menjadi masyhur dalam sejarah. Dia pernah berkata
kepada Hang Tuah, “Hai Laksamana, sekali-kali tiada aku menyesal dan takut akan
mati, tetapi sudah aku tahu akan kematianku ini pada tanganmu di mana dapat
kusalahi lagi? (Kassim Ahmad 1966: 315 dalam Mohd. Affandi 1994: 54).
No comments:
Post a Comment