Tuhfat al-Nafis dikarang pada 3 Syaaban 1282H, iaitu bersamaan
1865M. Tuhfat al-Nafis dapat dikatakan sebagai lanjutan daripada Salasilah Melayu
dan Bugis. Tuhfat al-Nafis merupakan naskhah yang paling terkenal daripada
semua karangan Raja Ali Haji. Kandungannya dimulakan dengan menjelaskan sejarah
Singapura, Melaka dan Johor yang kemudian dilanjutkan tentang Riau yang dikalahkan
oleh Belanda. Selain itu, Tuhfat al-Nafis menghuraikan secara terperinci akan kejadian-kejadian
bersejarah mulai tahun 1677M hingga ke tahun disusunnya naskhah itu
(1282H/1865M).
Dipaparkan dengan hebat kisah
datuknya Raja Haji, iaitu putera Opu Daeng Cellak sehingga beliau mangkat di
Teluk Ketapan, Melaka. Naskhah Tuhfat al-Nafis pernah diterbitkan oleh R. O.
Winstedt dalam tahun 1932, dimuat dalam JMBRAS, dalam tahun 1965 oleh Malaysia
Publication di Singapura dengan edisi tulisan Rumi/Latin, dan Tuhfat Al-Nafis
Sejarah Melayu-Islam merupakan transliterasi oleh Virginia Matheson Hooker
diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1991. Bagaimanapun, ada sarjana
yang berpendapat kitab Tuhfat al-Nafis bukan hasil penulisan Raja Ali Haji
tetapi hasil penulisan ayahnya Raja Haji Ahmad yang terkenal itu.
Falsafah Keislaman
Ramai ahli sejarah bersetuju yang agama Islam telah diperkenalkan
di Nusantara melalui perdagangan. Peranan pedagang Islam terutama di zaman
permulaan Islam di Nusantara amat penting sekali. Para pedagang dari Arab,
India, dan Parsi telah menumpukan kegiatan perdagangan di rantau ini semenjak
abad ke-8 atau ke-9 lagi. Manakala menurut catatan China, pedagang-pedagang
Islam sudah ada di kawasan perairan Melayu semenjak pertengahan abad ke-7 lagi.
Di antara barang-barang tersebut ialah lada, rempah, kemenyan dan terutamanya
kapur barus. Khusus tentang kapur barus, ia pernah dianggap sebagai punca yang
membawa orang-orang Arab ke Nusantara sejak awal lagi. Sebenarnya barang-barang
ini bukan sahaja dikehendaki oleh orang-orang Arab bahkan juga orang-orang
Barat.
Buku Tuhfat al-Nafis hasil karya
Raja Ali Haji turut menyentuh mengenai unsur-unsur keislaman terutamanya dalam
golongan pemerintah. Apabila unsur-unsur keislaman itu wujud dalam sesebuah
karya agung itu, secara tidak langsung memaparkan kepada pembaca akan pengaruh
agama Islam mula wujud dan seterusnya mempengaruhi penulisan pada ketika itu.
Pengarang menyatakan Raja Kecil Besar adalah raja Melayu yang pertama memeluk
agama Islam dan digambarkan Raja Kecil Besar mendapat hidayah ketika dalam
tidur dan apabila bangun dari tidur baginda mendapati zakarnya telah
dikhatankan.
“Syahadan apabila mangkatlah Raja Besar Muda itu maka menggantikan
puteranya yang bernama Raja Tengah. Syahadan apabila mangkatlah Raja Tengah itu
maka menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Kecil Besar. Syahadan
kata sahibul hikayat inilah raja yang adil lagi saksama pada zaman itu, dan
ialah Raja Melayu yang mula-mula masuk ugama Islam, yang bermimpikan berjumpa
hadrat Nabi kita Muhammad salla Allahu ‘alaihi wasallam, yang diajar oleh
Rasulullah salla Allahu ‘alaihi wasallam, dengan mengucap dua kalimat syahadat,
iaitu: asyhadu al la ilaha illa’llahu, wa asyhadu anna Muhammadan Rasulu’llahi:
serta terkejut daripada tidurnya, dilihatnya zakarnya sudah terkhatan.”
(Tuhfat
al-Nafis, 1982: 4-5)
Selain itu juga, pengaruh Islam turut
dipengaruhi oleh kehadiran pedagang-pedagang luar seperti dari negara Arab. Pada
waktu dahulu, kapal-kapal dagangan bebas membawa barang-barang dagangannya dan
berlabuh di pelabuhan yang ada. Kesempatan berdagang inilah digunakan oleh
pedagang untuk melebar luaskan pengaruh atau fahaman mereka. Kehadiran pedagang
dari luar yang secara tidak langsung melebar luaskan pengaruh Islam turut
diselitkan oleh pengarang dalam Tuhfat al-Nafis. Misalnya:
“Maka pada pagi hari ia berangkat ke pantai melihat kapal datang
dari Jeddah. Maka turunlah orangnya sembahyang di tepi pantai itu dilihatnya
seperti yang di dalam mimpinya. Maka raja itu pun menderumkan gajahnya lalu
diambilnya orang yang sembahyang itu dibawanya naik ke atas gajahnya, iaitu
Syekh Makhdum namanya, lalulah dibawanya masuk ke dalam kotanya. Maka
belajarlah ia akan ugama Islam. Maka masuk Islam segala orang besar-besarnya
dan segala isi negeri Melaka itu. Maka baginda itu pun bergelarlah Sultan
Muhammad Syah.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 5)
Petikan di atas menunjukkan kepada
pembaca bagaimana permulaan agama Islam masuk ke Alam Melayu dan seterusnya
tersebar luas. Pembaca juga dapat mengetahui bahawa pada mulanya agama Islam berkembang
dalam golongan atasan atau istana dan barulah merebak pada rakyat tempatan. Di
sinilah peranan pengarang dapat dilihat dalam menyampaikan maklumat akan
kehadiran agama Islam pada ketika itu melalui karya Tuhfat al-Nafis. Agama
Islam pada ketika itu menunjukkan pengaruh yang kuat di mana pihak pemerintah,
iaitu raja atau sultan bertindak membanteras golongan yang membawa ajaran sesat
pada ketika itu. Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud di negeri Lingga, telah
muncul seorang lebai dari Minangkabau, iaitu Lebai Tamat. Pada mulanya Sultan
Mahmud menerima kehadiran lebai itu kerana menganggap lebai tersebut akan
menyampaikan ajaran Islam.
“…maka datang seorang lebai orang Minangkabau ke negeri Lingga,
namanya Lebai Tamat. Maka mengaku dirinya orang alim pada ilmu hakikat
mengajarlah ia akan sesetengah orang Lingga akan ilmu hakikat, dinamakan
ilmunya itu ‘Isa’ konon, dan banyaklah perkataan syathiyat, hingga
akhir-akhirnya pekerjaannya jatuhlah seperti i’tiqad mulhid mengaku dirinya
Allah taala. Maka banyaklah murid mengikut i’tiqad…”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)
Namun, pada ketika itu Sultan Mahmud
tidak mengetahui akan perkara tersebut berlaku dalam negerinya. Pegawai-pegawai
negeri Lingga telah menyampaikan masalah tersebut pada adinda Sultan Mahmud,
iaitu Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar.
“…datanglah segala pegawai-pegawai negeri Lingga itu memaklumkan
kepada Yang Dipertuan Muda, maka murkalah Yang Dipertuan Muda. Maka lalu Lebai
Tamat itu dengan segala murid-muridnya ditaubatkan serta ditakzir digondolkan
kepalanya. Kemudian daripada itu, maka lebai itu pun keluarlah dari Lingga…”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)
Namun perkara tersebut tidak
berhenti di situ sahaja, Lebai Tamat telah pergi ke Lampung dan membawa ajaran
sesat yang sama. Perkara tersebut telah dapat dihidu oleh Sultan Mahmud lalu
baginda mengarahkan adindanya Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar membunuh lebai
tersebut dengan mengadakan perancangan yang strategik.
“Maka sampailah khabar itu kepada Sultan Mahmud, maka
bertambah-tambah murka baginda itu akan lebai itu. Maka lalu baginda berkirim
surat kepada paduka adinda Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar minta bunuh juga
Lebai Tamat itu.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 262)
Raja Jaafar telah mengikut perancangan
yang dilakukan oleh Sultan Mahmud untuk menangkap Lebai Tamat dan menjatuhkan
hukuman bunuh kerana menyebarkan ajaran songsang di serata tempat.
“Maka apabila hampir ke darat maka ditangkaplah oleh orang yang
disuruh Yang Dipertuan Muda itu lalu diikat dan didepangkan tangannya. Kemudian
lalulah disuruh bunuh dikerat kepalanya dikirimkan kepada Sultan Mahmud di
Lingga. Maka habislah kisah Lebai Tamat yang tersebut itui intiha.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 263)
Petikan dari naskhah Tuhfat al-Nafis
itu telah menunjukkan bahawa pemerintah pada ketika itu amat mementingkan
pegangan agama. Dapat dilihat bagaimana Sultan Mahmud dan Yang Dipertuan Muda
berusaha untuk membanteras kegiatan ajaran sesat dan bagaimana tindakan yang
diambil bagi menangani masalah tersebut. Baginda pada mulanya menggunakan cara
yang lembut dengan meminta golongan tersebut bertaubat dan keluar dari negeri
Lingga akan tetapi golongan tersebut masih meneruskan kegiatan seperti itu di
tempat lain dan akhirnya baginda telah mengambil tindakan yang sewajarnya iaitu
menjatuhkan hukuman bunuh kepada pembawa ajaran sesat tersebut.
Falsafah
Adat Istiadat
Adat merupakan peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam
sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum yang harus dipatuhi. Perkataan adat
berasal daripada bahasa Arab bermaksud kebiasaan. Kedatangan Islam ke Alam Melayu
membawa konsep ini dengan makna yang lebih luas dan mendalam sehingga
merangkumi keseluruhan cara hidup yang kini ditakrif sebagai kebudayaan,
undang-undang, sistem masyarakat, upacara, dan segala kebiasaan yang sering
dilakukan, seperti cara makan atau cara duduk.
Selain itu juga adat istiadat
merupakan bahagian adat yang mengatur segala macam upacara dan kegiatan suci
yang perlu menerima penghormatan awam. Adat istiadat berlaku kerana diamalkan
dan dijaga sebaiknya. Jika ditinggalkan, adat istiadat akan pupus. Namun adat
istiadat juga tertakluk pada prinsip perubahan melalui muafakat dan perundingan
ataupun kesan pengaruh dari luar. Ini banyak kelihatan dalam peringkat upacara
edaran hidup manusia. Pengarang Tuhfat al-Nafis, iaitu Raja Ali Haji turut
menyelitkan akan kemunculan adat-adat Melayu pada ketika itu. Beliau menyatakan
bahawa, Sultan Muhammad Syah merupakan raja Melayu yang pertama memperkenalkan
adat-adat dalam masyarakat Melayu.
“Syahadan baginda Sultan Muhammad Syah inilah Raja Melayu mula-mula
meletakkan adat-adat Melayu seperti kekuningan yang tertentu kepada raja jua,
melainkan kekuningan itu jika diambilkan baju dan kain dan destar maka tiga
perkara itu boleh. Dan demikian lagi larangan membuat rumah beperangin dan
tiang beralas tidak terletak ke tanah dan rumah berpebalaian dan berpelantaran.
Dan perahu larangan juga seperti perahu bertingkap dan berpengadapan. Dan
berlarang juga bergelang kaki emas keroncong kepala perak sekalipun tiada dapat
orang keluaran memakainya, jika kaya sekalipun melainkan dengan anugerah raja
jua maka boleh. Dan lainnya daripada adat yang tentu kepada raja-raja dan
kepada anak-anak raja jua. Dan jika mengadap raja di balairung, jika Raja Muda
duduklah di seri balai, demikian lagi Bendahara dan Temenggung dan Indera Bungsu
dan segala menteri-menteri daripada raja-raja di seri balailah kedudukannya.
Dan lagi beberapa adat istiadat yang tersebut pada siarah yang
panjang-panjang.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 5)
Petikan di atas menunjukkan kepada
pembaca akan punca bagaimana tercetusnya adat istiadat dalam golongan diraja
seperti penggunaan warna kuning yang dikhususkan untuk golongan diraja dan
penggunaan balairung dan seri balai ketika mengadap sultan dan raja muda. Apa
yang hendak disampaikan oleh pengarang adalah supaya pembaca melihat dan
mengetahui akan adat istiadat dan seterusnya memberi gambaran bahawa terdapat
keistimewaan tersendiri bagi golongan atasan atau raja pada ketika itu.
Falsafah Etika
Etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan
tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan. Etika adalah bukan yang
bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan suatu falsafah
moral yang mengambil kira tindakan atau tingkah laku manusia. Etika juga
merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah
moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul.
Raja yang berjiwa rakyat merupakan
salah satu tingkah laku yang merujuk kepada etika atau perilaku seseorang. Raja
yang berjiwa rakyat merupakan raja yang sangat dihormati dan disayangi oleh
rakyat jelata. Hal ini demikian kerana, raja yang merupakan golongan yang
mempunyai darjat yang tinggi sanggup melupakan darjatnya dan ‘turun padang’
melihat kehidupan yang dilalui rakyatnya. Raja yang berjiwa rakyat ini turun
ditonjolkan dalam karya Tuhfat al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ali Haji.
Contohnya adalah seperti berikut:
“Syahadan apabila mangkatlah Sultan Mansur Shah ini maka
menggantikan kerajaannya puteranya Sultan Alauddin Riayat Syah. Adalah baginda
itu sangat suka mengawali negeri pergi sambang malam dengan dirinya sendiri,
dan beberapa kali ia membunuh penyamun dan pencuri dengan tangannya sendiri dan
menghukumkan dengan adil dan bencikan orang yang jahat-jahat serta memeliharakan
harta benda orang.”
(Tuhfat
al-Nafis, 1982: 7)
Pengarang memaparkan kepada pembaca
akan sikap seorang raja pada ketika itu yang suka melakukan kerja-kerja menjaga
keselamatan rakyat tanpa bantuan orang lain. Selain itu, pengarang turut
menyelitkan corak pemerintahan yang dibawa pada ketika itu merupakan corak
pemerintahan yang adil yang diterajui oleh Sultan Alauddin Riayat Syah yang
digambarkan oleh pengarang sebagai raja yang berjiwa rakyat dan mempunyai etika
atau tingkah laku yang baik dan seharusnya dicontohi oleh pemimpin pada zaman
sekarang yang mengutamakan rakyat daripada kepentingan peribadi.
Selain memaparkan tingkah laku
seorang raja yang berjiwa rakyat, raja yang adil dan benci akan perbuatan yang
melanggar norma hidup manusia, karya yang dikarang oleh Raja Ali Haji, iaitu
Tuhfat al-Nafis pengarang turut menyelitkan akan tingkah laku seseorang kerabat
diraja yang melanggar norm atau etika sebagai seorang manusia. Contohnya:
“Maka itu Sultan Pahang bernam Sultan Mansur Syah kerabat baginda
itu juga. Maka tiada beberapa lama di Pahang pindahlah pula ia ke Johor, lalu
membuat negeri di Johor. Syahadan puteranya Sultan Ahmad itu murah perangainya,
akan tetapi tidak suka akan orang tua-tua serta dihina-hinakannya segala orang
besar-besar, serta dilakukannya pekerjaan-pekerjaan yang bukan-bukan patut atas
orang tua-tua dan orang besar-besar itu. Maka Sultan Mahmud pun murka lalu
diracunnya puteranya itu, maka mangkatlah Sultan Ahmad Syah itu. Maka jadilah
enam keturunan Raja-raja Melayu kerajaan di dalam negeri Melaka.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 8-9)
Melalui petikan di atas, pengarang
ingin pembaca berfikir dan membuat perbandingan antara dua etika, iaitu etika
yang baik dan etika yang buruk. Petikan di atas menujukan kepada pembaca akan
sikap yang dibawa atau ditunjukkan oleh Sultan Ahmad Syah yang mempunyai
tingkah laku yang buruk dan sering menindas golongan yang berada di bawahnya.
Sikap yang ditunjukkan oleh Sultan Ahmad telah membuatkan ayahandanya berasa
kurang senang dan menimbulkan kemarahan baginda lalu baginda Sultan Mahmud
mengambil tindakan dengan memberi racun kepada anakandanya sendiri.
Di sini jelas menunjukkan bahawa
pemimpin yang memiliki sikap yang burut dan tidak beretika akan membuatkan
orang di sekelilingnya berasa kurang enak dan seterusnya akan ditolak bukan
sahaja oleh keluarga sendiri malahan oleh orang di sekelilingnya. Petikan ini
menunjukkan perbezaan antara dua kerabat diraja yang memiliki sikap atau etika
yang berbeza dan pengarang menunjukkan bagaimana penerimaan orang lain terhadap
sikap yang dibawa oleh seseorang individu itu.
No comments:
Post a Comment