Karya
Sejarah Melayu dianggap sebagai
sebuah karya sejarah yang universal bagi masyarakat Melayu tradisi, khususnya
yang berpusat pada Empayar Melayu Melaka. Karya ini menggambarkan alam
masyarakat Melayu tradisi pada ketika itu, iaitu alam yang merangkumi bidang
politik, ekonomi, masyarakat dan juga agama. Dalam lingkungan itu, aspek yang
paling penting ialah orang Melayu atau orang Melaka dengan raja-rajanya,
peristiwa yang berlaku dan tindakan yang dilakukan di sekitar ketokohan serta
alam persekitaran mereka.
Nilai-nilai Feudal
Dalam
Sejarah Melayu ada menceritakan
amalan feudalisme Melayu. Feudalisme Melayu mengamalkan berbagai-bagai pantang
larang untuk mengingatkan rakyat tentang kerendahan martabat mereka (W.G.
Shellabear 1975: 74). Raja pada zaman itu sangat zalim manakala rakyat sangat
setia kepada rajanya. Malahan ada anak-anak bangsawan memeras wang daripada
rakyat (W.G. Shellabear 1975: 62).
Terdapat satu peristiwa yang
menunjukkan betapa seorang raja itu membenci teguran-teguran ke atas
tindak-tanduknya. Apabila raja berkenaan membunuh seorang hamba Allah tanpa
sebab-sebab yang munasabah, dengan halus Seri Bija Diraja membayangkan perasaan
tidak puas hati. Kemudiannya, raja berkenaan telah membunuh Seri Bija Diraja
atas alasan-alasan yang tipis. Salah satu daripadanya ialah Seri Bija Diraja
lambat datang menyembah raja pada Hari RAYA (W.G. Shellabear 1975: 180, 194,
195). Selain itu, tiadanya sikap toleransi dapat dilihat dalam peristiwa Tun
Kadim. Apabila Inderapura dilanggar todak, Tun Kadim berjaya mengatasi masalah
tersebut (W.G. Shellabear 1975: 67; Kassim Ahmad 1966: 416 dalam Mohd. Affandi
1994: 62, 63). Walau bagaimanapun, kejayaannya membawa maut apabila Raja
membunuhnya kerana dia dianggap terlalu cerdik dan mungkin kelak menggugat
kedudukan raja (W.G. Shellabear 1975: 68).
Dalam karya ini juga terdapat banyak
contoh raja yang zalim. Misalnya Sultan Ahmad menghadapi persaingan dalam usaha
menawan hati seorang gadis. Dia menyelesaikan masalah dengan memerintahkan
seorang pengikutnya membunuh saingannya (W.G. Shellabear 1975: 186, 187).
Unsure-unsur kezaliman ini juga terdapat dalam kisah Sultan Mahmud dan Tun
Fatimah. Apabila Sultan Mahmud melihat Tun Fatimah buat pertama kali, dia
menaruh dendam terhadap Bendahara Mutahir, bapa Tun Fatimah kerana tidak
mempersembahkan Tun Fatimah kepadanya sebelum menjodohkannya dengan lelaki
lain. Sultan Mahmud mengambil kesempatan apabila Bendahara Mutahir difitnahkan
hendak menderhaka. Dia menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Bendahara Mutahir,
suami Tun Fatimah, dan kesemua anggota keluarga Bendahara Mutahir. Kemudian,
Sultan Mahmud mengahwini Tun Fatimah (W.G. Shellabear 1975: 246, 247, 252,
253).
Sikap Bendaharan mutahir sebelum
menjalani hukuman menjadi teladan nilai-nilai feudal. Apabila ahli keluarganya
cuba membantah dan menentang, dia melarang dan memarahi merela, sejajar dengan
sikap taat setia tanpa berbelah bahagi yang dianjurkan oleh fahaman feudal. Dia
menegur anaknya, “Hai Hassan, hendak membinasakan nama orang tua-tua kitakah?
Kerana adat Melayu, tiada pernah derhaka.” (W.G. Shellabear 1975: 253).
Kesan perendahan kemanusiaan Melayu
oleh mitos feudal dapat juga dilihat dalam individu-individu yang berjiwa takut
dan khuatir. Ketakutan dan kekhuatiran yang menyelubungi jiwa mereka begitu
mendalam dan hebat sehingga ada yang sanggup membunuh diri kerana merasakan
akan hilang pengikhtirafan raja ke atasnya. Contoh ketakutan dan kekhuatiran
yang amat patologikal ini dapat dilihat pada peribadi Bendahara Seri Wak Raja.
Pada suatu hari, beliau datang lewat ke istana. Sejurus hendak masuk, pintu
istana secara kebetulan tertutup di hadapannya. Dia dengan salah merumuskan
bahawa raja tentu marah padanya, lalu membunuh diri (Othman Puteh (1994: 248).
Itulah yang digambarkan bahawa raja
pada zaman dahulu berlaku zalim terhadap rakyat-rakyatnya. Amalan feudal juga
telah menjadi satu amalan yang wajib bagi masyarakat pada zaman dahulu. Rakyat
yang tidak mengamalkannya pasti akan dibunuh terutamanya apabila melanggar
titah raja atau para pemimpin.
Nilai Pendidikan
Menurut Laurent Metzger (2007: 76), satu contoh telah
membuktikan bahawa kepandaian atau kepintaran kanak-kanak tidak disanjung
tinggi malah kadang-kadang pula ditakuti. Pada awal karya ini diceritakan
serbuan ikan todak di Singapura. Kemudian para pembaca diberitahu bahawa orang
tempatan cuba menghalang kemasukan ikan todak itu dengan badan mereka. Namun
mereka tidak berjaya sehingga seorang kanak-kanak mencadangkan mereka
menggunakan batang pisang sebagai tembok supaya ikan todak tidak dapat masuk.
Cadangan ini diterima dan memang berjaya menghalang kemasukan ikan tersebut ke
Pulau Singapura.
Walau bagaimanapun, budak itu yang
begitu pintar tidak dihormati akan tetapi dibunuh serta-merta oleh kerana
beliau dikatakan terlalu pandai dan boleh mengancam kedudukan raja dan para
pemimpin Singapura pada waktu itu. Jadi jikalau terdapat seorang yang pintar
orang itu ditakuti dan dibunuh. Hal ini menunjukkan bahawa kebijaksanaan dan
kepintaran kanak-kanak pada masa itu tidak dipedulikan kerana raja dan
pemimpinlah yang paling berkuasa dan tiada seorang pun rakyat yang boleh
menandinginya.
No comments:
Post a Comment