Tuesday, 28 May 2013

Falsafah dalam Karya Sulalatus Salatin


Sulalatus Salatin juga dikenali sebagai Sejarah Melayu.  Karya ini telah dikarang oleh Tun Sri Lanang ketika beliau menjadi Bendahara paduka Johor bermula tahun 1580 hingga 1615. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Karya ini bergenre sejarah yang mengandungi lima belas bab kesemuanya. Karya agung ini menceritakan tentang perihal zaman kesultanan Melayu Melaka yang dikatakan di bawa dari Goa. Hal ini dapat dibuktikan dalam ayat berikut :

“Pada antara itu ada seorang Orang Besar,  terlebih mulianya dan terlebih besar martabatnya daripada yang lain. Maka berkata ia kepada fakir, “ Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan adatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian dari kita…”

Karya ini mempunyai banyak versi antaranya versi W. G  Shellabear, Munshi Abdullah dan versi Raffles MN. Karya ini mengisahkan tentang zaman pemerintahan raja terdahulu seperti zaman pemerintahan kesultanan Melayu Melaka.  Pelbagai kisah yang boleh dijadikan tauladan kepada masyarakat pada hari ini. Walaupun karya ini berkisarkan tentang zaman pemerintahan raja-raja, karya ini tetap boleh dijadikan panduan hidup serta mendidik masyarakat pada hari ini. Pelbagai nilai Melayu yang tergambar dalam karya ini  seperti nilai estetika yang menjadi keutamaan dalam karya Melayu iaitu estetika dari segi adab dan adatnya, estetika dari segi retoriknya dan sebagainya. Selain itu terdapat juga nilai Melayu yang melihat tentang etika dan kepimpinan dalam Masyarakat Melayu.
Masyarakat Melayu digambarkan sebagai masyarakat yang bijak mendidik serta mementingkan keagamaan. Hal ini menyebabkan lahirnya pelbagai bentuk sastera. Selain sastera sejarah terdapat juga sastera lipur lara, undang-undang, epik, mitos, dan agama. Melalui penelitian terhadap karya agung Sulalatus Salatin Sejarah Melayu pelbagai falsafah melayu yang digarap dalam penceritaan ini. Hal ini merupakan salah satu sebab mengapa Sulalatus Salatin diangkat sebagai karya agung. Antara bentuk falsafah Melayu yang terkandung dalam karya ini seperti falsafah nilai dan etika, kepimpinan, waad, estetika, bahasa, agama dan banyak lagi. Namun hanya sebahagian falsafah Melayu sahaja yang akan dikupas dalam penelitian terhadap falsafah Melayu dalam karya agung Sulalatus Salatin ini.  

Falsafah Nilai dan Etika dalam Sulalatus Salatin

Ilmu etika melihat tingkah laku manusia dari sudut yang baik dan yang buruk. Perkataan etika berasal daripada perkataan ethos yang ditakrifkan sebagai adat kebiasaan atau perlakuan yang lazim bagi sesuatu kelompok. Manakala dalam bahasa Latin ethos disebut sebagai mores iaitu ‘moral’ yang mempunyai perbezaannya dengan etika.  Kehidupan setiap manusia, sememangnya mempunyai tanggapan yang baik dan buruk. Oleh hal yang demikian, terdapat peraturan dan pegangan yang boleh mengawal setiap tingkah laku manusia. Etika merupakan ilmu tentang falsafah moral yang berkaitan dengan nilai dan pemikiran. Bidang ilmu etika ini menyentuh tentang kebaikan dan kejahatan serta sifat-sifat yang berkaitan dengannya. Menurut Mana Sikana, 1996 Ilmu etika dalam ajaran Islam dibentuk oleh rukun iman dan rukun islam melalui proses ihsan, ikhlas dan takwa.
Menurut mana Sikana ilmu etika boleh dibahagikan kepada dua, pertamanya falsafah iaitu nilai buruk dan baik ditentukan oleh pertimbangan manusia sendiri. Kedua bercorak agama iaitu melihat hubungan manusia dengan tuhannya dan manusia dengan manusia. Nilai pahala dan dosa dijadikan sebagai pengukur akhak. Bidang falsafah etika  yang melihat tentang tingkah laku manusia ini terkandung dalam hasil penulisan masyarakat terdahulu. Nilai tingkah laku ini dapat dilihat dalam naskhah karya agung Sulalatus Salatin yang banyak menceritakan tentang perihal kepimpinan masyarakat dahulu. Karya ini ada menyebut tentang tingkah laku manusia dari sudut yang baik hingga ke sudut yang lebih buruk. Hal ini dapat dibuktikan dalam petikan ayat yang berikut :

“...maka ada seorang dayang-dayang raja, orang yang keluar masuk, bukan orang yang tetap di dalam, bermukah dengan Hang Tuah. Maka diketahui oleh Sultan Mansyur Syah; baginda pun terlalu murka. Hang Tuah disuruh baginda bunuh kepada Seri Nara Diraja..”    
(Sulalatus Salatin: 130)   
Petikan ayat di atas diambil daripada peristiwa hang tuah dihukum bunuh dalam bab keenam. Hang Tuah digambarkan seorang yang sangat patuh kepada Sultan. Malangnya setelah Hang Tuah dituduh bermukah atau berzina dengan seorang dayang, Sultan terus menjatuhkan hukuman bunuh tanpa menyiasatnya dahulu. Hang Tuah tetap akur walaupun beliau tidak bersalah. Hal ini menunjukkan karya ini memperlihatkan nilai etika dalam kalangan masyarakat terdahulu mengenai konsep perlakuan buruk dan baik akan dipertimbangkan oleh manusia itu sendiri .

 Falsafah Estetika dalam Sulalatus Salatin
Estetika merupaka ilmu yang memperkatakan tentang nilai keindahan. Penelitian terhadap nilai estetika dalam sesebuah karya sememangnya luas. Keindahan bukan sekadar tercipta melalui bahasanya, malah keindahan boleh dilihat dalam adat dan budaya, tingkah laku, gambaran watak dan sebagainya. Persoalan tentang nilai estetika ini banyak diutarakan dalam sesebuah karya sastera terutamanya dalam puisi-puisi Melayu.  Falsafah estetika meliputi nilai-nilai keindahan dan seni, nilai retorik, suasana hati dan pelbagai lagi yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan nilai kecantikan. Masyarakat Melayu sangat menitikberatkan nilai estetika terutamanya daripada aspek pertuturan kemudian digarap dalam bentuk penulisan. Hampir setiap karya mempunyai nilai estetika yang tersendiri.
Mana Sikana, 1996 menyatakan orang Yunani Purba menganggap keindahan itu sebagai sejenis perasaan, yang hanya akan dapat dinikmati oleh rohani. Islam juga melihat alam sebagai unsur keindahan. Manusia akan terpesona dengan keindahan alam yang mampu menenangkan jiwa dan sesungguhnya keindahan ini adalah hakikat daripada kekuasaan Tuhan. Hal ini menunjukkan takrifan mengenai nilai ‘estetika’ sangat luas. Pelbagai pandangan yang diberikan mengenai nilai estetika. Dalam konsep penghasilan sesuatu karya sastera, nilai estetika dapat dilihat melalui kepelbagaian bentuk bahasa yang digunakan seperti penggunaan bahasa asing dan puisi dalam karya. Masyarakat dahulu sememangnya terkenal dengan nilai estetika dalam penggunaan bahasa.
Berdasarkan penelitian terhadap karya agung Sulalatus Salatin, nilai estetika dapat dilihat berdasarkan penggunaan puisi dalam karya ini. Terdapat beberapa puisi Melayu tradisional yang terkandung dalam penulisan karya ini. Antaranya dalam bab kesepuluh, dalam peristiwa  Tun Mutahir dijadikan Bendahara, halaman 207. Selain itu, penggunaan puisi tradisional ini juga dapat dilihat dalam bab yang sama dalam peristiwa Meminang “Puteri Gunung Ledang”. Penggunaan bait-bait puisi dapat dilihat dalam contoh yang berikut:
            Kuning Ledang bagai dikarang,                                                         Riang-riang disambar wakab; Hairan memandang dunia sekarang,                                    Bayang-bayanghendak ditangkap.      
(Sulalatus Ssalatin: 214)                                   
Petikan puisi tradisional di atas telah diungkapkan bunga telipuk semasa peristiwa Tun Mamad hendak meminang Puteri Gunung Ledang  untuk sultan Mahmud Syah. Keagungan bahasa Melayu klasik ditandai dengan bahasa yang mempunyai nilai estetika. Bahasa yang dituturkan bukan sekadar dituturkan dalam bentuk kebiasaan, malah masyarakat dahulu juga menggunakan pelbagai puisi seperti pantun, seloka, syair dan sebagainya untuk menyampaikan sesuatu maklumat. Hal ini memperlihatkan nilai estetika dalam sesuatu karya.

Falsafah Waad dalam Sulalatus Salatin
Waad merupakan sebuah perjanjian yang dibuat antara rakyat dan pembesar dan antara pembesar dengan susur galur keturunannya. Masyarakat dahulu mempercayai bahawa pelanggaran waad akan memberi kesan yang buruk kepada pihak yang memungkirinya.  Sulalatus Salatin merupakan karya yang berbentuk historikal. Bentuk penceritaan banyak mengisahkan tentang pemerintahan raja-raja terdahulu. Perjanjian waad ini sering digunakan sebagai satu kaedah berteguh janji antara dua pihak. Waad ini bukan merupakan suatu perjanjian yang biasa. Masyarakat dahulu percaya bahawa, sesiapa yang melanggar waad ini akan menerima akibat daripada perjanjian tersebut. Terdapat juga perjanjian pemindahan kuasa antara Sultan dengan jurai keturunan dibawahnya.
Waad merupakan sesuatu yang lazim bagi masyarakat  pada zaman dahulu. Hal ini dapat dibuktikan dalam beberapa peristiwa yang melibatkan perjanjian antara dua pihak . Hal ini dapat dilihat dalam bab kedua  dalam peristiwa bersumpah berteguh janji antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Jika ada antara dua pihak yang melanggar perjanjian ini, dipercayai akan memperolehi musibah. Hal ini dapat dibuktikan dalam petikan ayat yang beriku:

“Barang siapa hamba Melayu derhaka mengubahkan perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “ Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, binasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya.”   
                                                                (Sulalatus Salatin: 26)                                                    
Petikan ayat di atas memperlihatkan waad yang telah dibuat antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana. Terdapat juga waad lain yang terkandung dalam karya Sulalatus Salatin ini seperti dalam peristiwa wasiat Bendahara Paduka Raja dan wasiat Sultan Muzaffar Syah.  Hal ini memperlihatkan masyarakat dahulu mempercayai kesan pelanggaran waad terhadap sesuatu perjanjian yang dibuat.

Falsafah Kepimpinan dalam Sulalatus Salatin
Nilai kepimpinan dapat ditonjolkan dalam karya-karya prosa Melayu tradisional. Buktinya, selain wujud kelompok sastera sejarah, undang-undang, keagamaan dan lipur lara dalam perkembangan era kesusasteraan Melayu juga telah wujud sastera epik iaitu karya yang mengagungkan kepahlawanan seseorang. Contohnya sastera epik seperti Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Hang Tuah dan sebagainya. Masyarakat dahulu menganggap bahawa keagungan pahlawan biasanya dapat dilihat melalui kegagahannya serta kehebatan yang luar daripada kebiasaan. Selain itu, kepahlawanan juga dapat dinilai melalui kepimpinan seseorang dalam memerintah sesebuah kerajaan. Perihal kepimpinan golongan pemerintah ini dapat dilihat dalam karya Sulalatus Salatin yang banyak menceritakan tentang kepimpinan raja-raja dahulu bermula daripada kepimpinan yang adil sehingga pemerintahan yang kejam. Kepimpinan yang adil dapat dilihat dalam petikan ayat yang berikut:

“...demikian istiadat dahulukala, jangankan di dalam negeri Melaka itu akan dapat membunuh tiada dengan setahu raja, jika pada negeri lain sekalipun, lamun takluk Melaka, tiada dapat membunuh…”    
(Sulalatus Salatin: 185)                                                                                                                                                    
Petikan di atas diambil pada zaman pemerintahan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah atau gelarannya ketika usia kecil Raja Ahmad. Beliau dikatakan seorang pemimpin yang adil. Kepimpinan yang adil ini wujud dalam kelompok  falsafah Melayu. Hal ini juga dapat dibuktikan  melalui karya-karya Melayu yang bayak menceritakan tentang kepimpinan yang adil dan bertanggungjawab. Petikan di atas menunjukkan bahawa Sultan Alau’d-Din Riayat Syah merupakan pemerintah yang adil kerana sangat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya  dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap hal ehwal negerinya. Selain itu, nilai kepimpinan Sultan Alau’d-Din juga dapat dilihat sebelum beliau mahu menghembuskan nafas yang terakhir melalui wasiat yang diberikan kepada anaknya:

“Hei anakku, adapun engkau hendaklah banyak-banyak sabar, ampunpu akan segala hamba sahayamu, dan baik-baik memelihara akan dia...Dan segala anak Melayu baginda pun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampaikan kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah;..Jikalau engakau bunuh ia tiada dengan dosanya, bahawa kerajaanmu binasa.”     
(Sulalatus Salatin: 186-187)                                                                                                                                

Petikan di atas menunjukkan wasiat yang berunsur nasihat mengenai kepimpinan dalam pemerintahan. Beliau telah menasihati anaknya Raja Mamat supaya menjadi seorang pemimpin yang adil, pengampun dan memelihara kerajaan dengan baik. Beliau juga meminta Raja Mamat supaya tidak mengaibkan rakyat yang melakukan kesalahan serta tidak menghukum rakyat yang tidak bersalah. Hal ini jelas menunjukkan terdapat nilai kepimpinan agung, adil, dan  berjiwa rakyat dalam Sulalatus Salatin sejarah Melayu.   

No comments:

Post a Comment