PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu
bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain.
Maklumat pula mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) bermaksud makluman,
pemberitahuan dan pengumuman. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa ilmu dan
maklumat itu saling berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu akan menyebabkan kita
menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Maklumat yang
disebarkan mengandung pelbagai fungsi. Antara fungsi sesuatu ilmu itu
disebarkan ialah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara
yang mengandung pelbagai kemusykilan dan lain-lain. Ilmu dan maklumat yang
ingin dikaji berdasarkan karya agung merupakan ilmu perdukunan, ilmu firasat,
ilmu jampi, ilmu pengasih, strata masyarakat Melayu, adat dan istiadat Melayu,
adat Perpatih dan adat Temenggung.
ILMU
PERDUKUNAN
Menurut Kamus Dewan (2010),
menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau
memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan
sebagainya), bomoh, pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud yang
mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang
berkaitan dengan ilmu dukun.
Kepercayaan
masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam
kepercayaan itu mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa
ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada
batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung-gunung dan fenomena lain. Kuasa ghaib
itu tidak boleh dihubungi oleh orang sembarangan, jadi dukun, pawang atau bomoh diperlukan. Usaha ini dianggap berfungsi
mengembalikan keadaan seperti asalnya.
Dukun
atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama
yang liar dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut
dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja
seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya. Di Melaka, terdapat orang yang begitu
arif tentang gajah, bergelar Penghulu Gajah. Antaranya adalah Seri Wak Raja.
Contoh petikan berkaitan dengan ini :
Sekalian
orang pun melihat tahunya Seri Wak Raja; gajah penakut jadi beraninya.
(Sulalatus Salatin : 209)
|
Terdapat
juga golongan istana yang menggunakan dukun atau ahli nujum terutama sebelum
kedatangan Islam atau tahap-tahap awal kemasukannya. Peranan ahli nujum agak
berbeza dengan bomoh. Dia lebih kepada membuat ramalan. Dalam Hikayat Merong
Mahawangsa, keturunan raja Kedah yang memerintah Siam meminta ahli nujumnya
mencari pengganti raja Kedah setelah Raja Bersiung hilang dalam perdu buluh
betung. Ahli nujum itu melepaskan gajah sakti untuk mencari raja yang baru.
ILMU
FIRASAT
Menurut Kamus Dewan (2008),
menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka
(badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau
ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin
Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui
lebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Melalui ilmu firasat juga
seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya
berdasarkan nama, haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan
pahlawan-pahlawan kerana dengan itu ia boleh membantu mereka menewaskan musuh.
Sejarah
Melayu memaparkan dengan jelas perkara tersebut dalam episod
serangan Melaka ke atas Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan
pahlawan-pahlawannya mengejar Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri. Dalam
usaha itu Seri Bija Diraja tidak tergesa-gesa seperti orang lain kerana dia
tahu musuhnya itu tidak akan terlepas dari tangannya. Ini dapat dilihat
daripada kata-kata beliau kepada anak buahnya.
Di
mana kamu semua orang muda-muda tahu? Kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku
kira-kirakan namanya di bawah namaku, dan harinya di bawah hariku dan ketikanya
di bawah ketikaku, di mana ia akan lepaskan daripada tanganku?
(Sejarah Melayu :74)
Berdasarkan
contoh petikan di atas, ramalan Seri Bija Diraja itu memang tepat. Beliaulah
yang telah berjaya menangkap Maharaja
Dewa Sura.
Dalam
Hikayat Hang Tuah juga disebutkan tentang pengamalan ilmu firasat. Amalan ilmu
firasat ini dapat dilihat sewaktu Raja Melaka hendak berangkat ke Majapahit
untuk berkahwin dengan puteri negeri tersebut. Masa yang dipilih oleh Raja
Melaka dipersetujui oleh Hang Tuah kerana menurutnya ketika tersebut (hari Ahad
malam Isnin) adalah waktu yang geroda dikalahkan oleh seekor ular. Kiasan itu
membawa erti, orang atau pihak yang kuat dan besar dapat ditewaskan oleh orang
atau pihak yang lebih kecil. Ramalan Hang Tuah itu ternyata tepat apabila
beliau dan rombongan tersebut beroleh kejayaan di Majapahit. Beliau dan
rakan-rakannya dapat mengetahui segala tipu helah serta percubaan membunuhnya
oleh pembesar dan perajurit negeri itu.
Kepercayaan
kepada ilmu firasat mungkin boleh dikaitkan dengan konsep ‘memilih ketika’
dalam kalangan masyarakat Melayu. Umpamanya dalam seminggu terdapat hari-hari
tertentu yang baik dan buruk serta sial. Begitu juga dengan bulan-bulan
tertentu dalam masa setahun. Oleh yang demikian, mereka yang memilih ketika yang
baik untuk memulakan sesuatu pekerjaan
atau rancangan seperti mendirikan rumah, mengerjakan sawah dan memulakan
perjalanan untuk merantau. Bagi mereka, ‘memilih ketika’ itu penting untuk
mengelakkan daripada bencana atau sebarang keburukan.
Di
Acheh, waktu Pencagah atau Iskandar Muda Mahkota Alam dalam kandungan, ibunya
bermimpi bersanggulkan bulan yang dihiasi buang air kecil yang terlalu banyak
sehingga menjadi laut. Dalam mentafsir mimpi itu, Fakih Khoja Manassiah
berpendapat :
Tuanku,
adapun takbir mimpi sultan itu Insya-Allah taala (tak dapat) tiadalah daripada
zuriat sultan menjadi raja yang maha kuasa lagi terlalu besar gahnya lagi
mengempukkan segala raja-raja daripada segala pihak Timur dan daripada segala
pihak Barat. Dan paduka anakanda itulah melimpahkan takhta adilnya dan ialah
matahari yang betak (tetap) di bumi musyrik ini.
(“De Hikajat Atjeh” :115)
Manakala
di negeri Pahang pula terdapat ramalan yang dibuat oleh Habib Abdullah dari
Makkah. Beliau yang memberi nama kepada Tun Ahmad, berpendapat bahawa anak
Bendahara Ali yang baru dilahirkan itu akan menjadi seorang yang baik, bertuah
serta besar daulatnya. Sebagaimana ramalan-ramalan lain, ramalan Fakih Khoja
Manassiah dan Habib Abdullah juga menjadi kenyataan.
....
Sampai sepuluh bulan genap, masuk bulan sebelas bersalinlah. Ketika itu
berbetulan Habib Abdullah ibni Omar al-Attas, yang keramat besar, ialah yang
yang menyambut dan bang, teruslah dinamakan (nya) Tun Ahmad. Maka ia pun
berdatang menyembah pada raja iaitu, “Ya Maulana, anak maulana ini banyak baik,
yakni besar suhudnyabertuah lebih daulatnya kelak.” Maka ia pun baliklah. Tiada
berapa lama (nya) keluar dari Pahang balik ke Arab.
(Hikayat
Pahang :5)
Dalam
historiografi Melayu tradisional lain, unsur mimpi turut memainkan peranan
penting. Di dalam Fasal 13, Bab II Bustan al-Salatin ini pun, unsur mimpi
dikemukakan walaupun dalam dua episod sahaja. Nuruddin menceritakan bahawa
Sultan Iskandar Muda telah bermimpi tentang air persiraman puterinya dan Iskandar Thani. Sultan Iskandar
Muda teah bermimpi pada malam Isnin, 12 Jamadilakhir, iaitu turun sebuah
mahligai daripada cahaya dengan perhiasannya berisi air mandi dibawa oleh
malaikat dari langit. Malaikatlah yang memandikan kedua-dua pasangan muda itu.
Esoknya Sultan Iskandar Muda menitahkan bahawa mereka tidak perlu lagi
dimandikan oleh Syeikh Syamsuddin dan Kadi Malik al-Adil. Petikannya :
Maka
pada pagi-pagi hari sabda Raja Iskandar Muda kepada nenda Raja Serba Bawa,
“Katakan kepada bondakuku Syah Alam, janganlah bersusah lagi memandikan anankku
kedua! Sudahlah mandi keduanya daripada air yang turun dari kudrat Allah
Taa’la!
(Bustan Al-Salatin :18)
Mimpi
yang kedua ialah yang muncul dalam tidur seorang pembuat batu nisan. Setelah
Sultan Iskandar Thani mangkat, baginda digelar Marhum Dar al-Salam.
Permaisurinya yang menjadi sultan memerintahkan juru batu nisan mencipta satu
batu nisan yang terbaik untuk suaminya. Masa itulah Marhum Mahkota Alam muncul
di dalam mimpi juru batu supaya melebihkan
perbuatan batu itu pada makam Marhum Dar al-Salam. Petikannya adalah
seperti berikut :
Syahadan
adalah yang mengadap Raja Nisyan itu orang berpedang suasa. Maka pada suatu
malam ia bermimpi Paduka Marhum Mahkota Alam bersabda kepadanya dengan kahar,
Hai segala pandai, kamu lebihkanlah perbuatan batu ini daripadaku.
(Bustan Al-Salatin : 45)
Kedua-dua
mimpi ini mempengaruhi tindakan-tindakan secara sedar orang-orang yang terlibat
dalam episod-episod berkenaan. Nyata dalam Fasal 13 ini, unsur mimpi tidak
dianggap sebagai membawa makna sesuatu atau perlu dibuat interprestasi tetapi
merupakan komunikasi langsung daripada satu pihak di dunia tidak nyata kepada
pihak di dunia nyata.
Ilmu
firasat juga dilakukan terhadap binatang. Hal ini disebutkan dalam hikayat
Melayu iaitu Hikayat Raja Pasai. Berikutan itu, anjing diberikan penghormatan
oleh Raja-raja Melayu zaman terdahulu. Anjing memainkan peranan penting
sehingga tertubuhnya sesebuah negeri. Dalam Hikayat Raja Pasai, penemuan negeri
Pasai juga dikaitkan dengan anjing perburuan Merah Silu (sesudah memeluk Islam,
bergelar Sultan Malikul Saleh). Anjing perburuan itu telah menyalak di sebuah
tanah tinggi tanpa henti. Sultan Malikul Saleh kemudian berasakan bahawa tempat
itu sesuai dibuat negeri lalu dinamakan tempat itu Pasai, sempena nama anjing
perburuan tadi. Contoh petikan :
Maka
tersebutlah perkataan Merah Silau di Rimba Jerana itu. Sekali persetua pada
suatu hari Merah Silau pergi berburu. Maka ada seekor anjing dibawanya akan
perburuan Merah Silau itu bernama Si Pasai. Maka dilepaskannya anjing itu, lalu
ia menyalak di atas tanah tinggi itu. Maka dilihatnya ada seekor semut besarnya
seperti kucing. Maka ditangkapnya oleh Merah Silau maka lalu dimakannya. Maka
tanah tinggi itu pun disuruh Merah Silau tebasi pada segala orang yang sertanya
itu. Maka setelah itu diperbuatnya akan istananya ...
(Hikayat
Inderaputera :13)
JAMPI
Jampi menurut Kamus Dewan (2010), membawa makna kata-kata
tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali
sebagai mantera. Mana Sikana (1996) pula berpendapat bahawa jampi
serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi. Ia ada
hubungannya dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi dikatakan sebagai
sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutamanya pada perubatan. Pawang
sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan disifatkan sebagai
manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural.
Kedudukan
pawang dalam hierarki kemasyarakatan adalah jelas. Jampi mantera yang diucapkan
telah mendapat tempat yang istimewa. Jampi mempunyai unsur-unsur pemujaan,
perubatan, kasih sayang, pendinding dan berhubung dengan psikologi manusia.
Biasanya pawang, dukun, bomoh atau orang yang memakainya tidak begitu mudah
memberikan jampi serapahnya kepada orang lain. Mereka bimbang jampi serapah
yang diketahui itu tidak mujarab lagi, melainkan orang yang sudah menuntut dan
orang lain tidak boleh menggunakannya. Jika digunakan juga dia akan menerima
padahnya.
Satu
hal yang menarik ialah jampi biasanya disampaikan dalam bahasa Banjar.
Penjelasan tersebut jelas menunjukkan bahawa kepercayaan yang masih sebati
terhadap kuasa ghaib seperti yang terdapat dalam jampi. Jampi-jampi dikatakan
boleh diwarisi oleh orang tertentu. Menurut Mana Sikana (1996), jampi mempunyai
tiga jenis, iaitu jampi menolak syaitan, jampi tawar biasa dan seterusnya ialah
jampi pendinding. Jampi yang pertama dan ketiga ialah jampi jenis larangan,
manakala jampi yang kedua ialah jampi jenis perubatan.
Jampi menolak
syaitan digunakan untuk menghalau sekalian jenis jin. Jampi ini juga digunakan
untuk mengubat penyakit yang berkaitan dengan makhluk halus tersebut. Jampi
menolak syaitan ini boleh sahaja digunakan pada bila-bila masa yang dirasakan
perlu. Contohnya, jampi ini boleh digunakan ketika seseorang berjalan di tempat
yang sunyi atau apabila berasa takut dan boleh juga digunakan apabila dirasakan
diri diganggu oleh sesuatu. Cara menjampinya adalah seseorang itu perlu
memandang tegak ke hadapan. Selepas sekali dibaca, hendaklah ditiup ke kiri dan
ke kanan sebanyak tiga kali. Jampi ini perlu dibaca sebanyak tiga kali
berturut-turut. Contoh yang
terdapat dalam karya agung ialah:
“Permulaan kata aku menyatakan
Hakikat jin seribu empat puluh dua lagi
Aku tahu akan asal usul dirimu
Asal diri jadi di huruf Alif
… dengan berkat La ilaha illallah”
(Kitab Tib 1292)
Jampi tawar bisa pula boleh
digunakan untuk kesakitan serius seperti digigit ular berbisa dan boleh membawa
maut atau kebakaran yang boleh mencacatkan. Jampi ini boleh digunakan dengan
dua cara, iaitu yang pertama ialah dengan cara menjampi terus pada tempat yang
sakit. Selepas pembacaan, hendaklah ditiup pada tempat yang sakit tersebut dan
sebaik-baiknya pesakit haruslah duduk di tempat yang arahnya menerima angin
kerana dipercayai bahawa angin tersebut mampu menolong mencabut bisa yang
ditanggungnya. Cara yang kedua pula ialah dengan cara pembacaan ke dalam air.
Selepas dijampi, air tersebut perlulah diminum, di mandi atau disapukan ke
kepala. Air tersebut tidak boleh dilangkah terutama sekali oleh kucing. Air itu
perlu disimpan di tempat yang tinggi dan tidak boleh diletakkan di dalam peti
sejuk. Sebaik-baiknya, air itu ialah air hujan yang ditadah dan turun
betul-betul dari langit serta tidak tersangkut di mana-mana lagi sebelumnya.
Jampi
pendinding adalah jampi jenis yang cukup dominan dalam masyarakat Melayu. Jampi
jenis ini boleh dikatakan dipelajari dan dipakai oleh kebanyakan orang Melayu
sebagai alat pengebal atau mempertahankan diri daripada perbuatan orang, baik
secara halus ataupun terang. Jampi ini boleh digunakan dengan cara meminum air
yang telah dijampi atau jampi tersebut boleh ditulis di atas kertas lalu
dipakai sebagai azimat. Namun, azimat tersebut tidak boleh dibawa ke tempat
kotor dan tidak boleh berniat jahat. Jampi ini berfungsi sebagai pendinding
diri kerana niat jahat, hasad, fitnah dan sebagainya tidak akan sampai kepada
pengamalnya, malah dalam beberapa keadaan perbuatan jahat itu tadi akan kembali
kepada si pelaku itu semula.
Perkara-perkara
yang berkaitan dengan jampi juga ada sedikit sebanyak disebut dalam karya-karya
agung seperti Hikayat Abdullah, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Seri Kelantan dan
lain-lain lagi. Contohnya ialah:
“Pawang ini
pandai sungguh, sebab membaca-bacakannya, gajah itu pun takut akan dia”.
(Hikayat Abdullah: 55)
Ayat
tersebut membuktikan bahawa pengarang Hikayat Abdullah ada menceritakan tentang
jampi dan jampi itu bermaksud pawang yang diceritakan itu sungguh pandai kerana
mampu menjinakkan gajah dengan hanya menjampinya sahaja. Contoh yang kedua
ialah jampi Tuan Puteri Sa’dong menyebabkan Kota Jelasin dan rakyat ghaib lalu
jatuh ke dalam Cerang Bahana yang kemudian diberi nama Mahligai.
“Maka jogi itu
pun pengsan sebab daripada keramat sultan itu”.
(Hikayat Raja Pasai: 35)
Berdasarkan
ayat di atas, jelaslah bahawa jampi juga ada diceritakan dalam Hikayat Raja
Pasai. Hal ini kerana ayat tersebut menunjukkan bahawa jogi itu pengsan
disebabkan sultan tersebut mempunyai tongkat sakti atau tongkat yang telah
dijampi. Contoh seterusnya ialah:
“Hai sahabat,
jangan mu duduk menggoda dan menyiksa pada mulut manusia kerana mulut manusia
itu tempat puji Allah dan puji Muhammad…”
(Kitab Tib 1078: 65)
Jampi
di atas ialah contoh jampi sahabat. Jampi ini merupakan jampi yang jenis
nasihat ke arah kebaikan. Jampi ini boleh digunakan kerana ia tidak
bertentangan dengan syariat tidak boleh memesongkan akidah.
PENGASIH
Pengasih
membawa makna ilmu
pengasih, jampi, azimat, doa, guna-guna dan lain-lain untuk mendatangkan atau
membangkitkan rasa kasih (Kamus Dewan, 2010). Ilmu pengasih ini adalah untuk
mendapat pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain. Lazimnya,
ilmu pengasih digunakan oleh seseorang kerana mungkin orang yang disukai itu
tidak menyukainya atau orang itu terlalu jual mahal. Ilmu pengasih boleh
digunakan dengan banyak cara, namun cara yang popular adalah dengan cara
mencalitkan sesuatu minyak kepada seseorang yang berkenaan atau dengan cara
menjampi gambar dan sebagainya. Contoh ayat jampi pengasih ialah:
“Kun sarik panjik-panjik
Bagurung bagirang
Taulas takani ngidan
Kasih sayang (anu) memandang akuk
Cinta sayang (anu) melihat akuk
Dengan berkat
Lailaha il-Lallah
Muhammad ar-Rasulullah”
(Mana Sikana : 67)
Hang Nadim menggunakan ubat guna-guna untuk memikat
Tun Teja. Ubat guna-guna tersebut dalam bentuk lulut (bedak) itu ternyata
berkesan. Setelah ia disapu kepada badan Tun Teja oleh si pelulut beliau dengan
serta-merta menyukai Sultan Mahmud dan sanggup menjadi isteri baginda.
(Sejarah Melayu:170)
Ilmu pengasih ini boleh dilakukan
dengan dua cara, iaitu dengan menyapu bedak yang telah dijampi dengan ayat
tersebut ke muka atau dengan cara mandi dengan air yang telah dijampi.
Sekiranya seseorang itu menggunakan jampi ini, dia tidak boleh lalu di bawah
ampaian dan tidak boleh mengerjakan maksiat seperti mencuri. Jika dilakukan
juga, jampi tersebut tidak akan mujarab. Pengamal jampi ini juga tidak boleh
melangkah tulang babi dan sebaik-baiknya dia hendaklah terus kepada
matlamatnya. Selain untuk perkasihan, jampi ini juga boleh digunakan untuk
bertemu dengan orang yang tertentu untuk tujuan baik. Misalnya ketika hendak
berwawancara atau temu duga pekerjaan, meminta pertolongan atau sebagainya.
STRATA MASYARAKAT MELAYU
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010),
strata juga membawa maksud yang sama bagi stratifikasi, iaitu pembahagian masyarakat kepada beberapa lapisan atau kelas yang
berlainan, susun lapis masyarakat, pembahagian kepada atau pembentukan strata. Sulalat al-Salatin telah memaparkan gambaran tentang
susun lapis masyarakat Melayu yang pada umumnya dapat dikategorikan kepada
beberapa peringkat.
Golongan
diraja dan kerabat menduduki susun lapis yang teratas. Di Melaka dengan
mengambil contoh semasa pemerintahan Sultan Muhammad Syah, golongan raja
terdiri daripada sultan dan keluarganya (Sulalat al-Salatin: 65). Kuasa
pemerintahan adalah terletak di bawah baginda. Seseorang raja didakwa mempunyai
kepintaran serta keistimewaan tertentu sebagai raja yang berdaulat.
Golongan
bangsawan menduduki tangga yang kedua. Golongan ini pula terdiri daripada
pembesar dan pegawai tadbir seperti Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari,
Perdana Menteri, Temenggung, Bentara, Syahbandar. Terdapat juga dalam kalangan
pendatang yang tergolong dalam golongan bangsawan ini. Antaranya ialah ulama
Islam yang terdiri daripada tuan-tuan sayid, makhdum, maulana, dan kadi.
Hubungan mereka dengan raja sangat erat. Seseorang tokoh ulama begitu disanjung
dan dihormati oleh masyarakat Melaka. Sultan Melaka sendiri terpaksa tunduk dan
menghormati golongan ulama ini. Hal ini terjadi apabila seorang guru bernama
Kadi Yusof enggan membenarkan Sultan Mahmud Syah mengadap dengan menaiki gajah
(Sulalat al-Salatin: 161) .
Susun lapis
yang ketiga ialah golongan rakyat biasa yang merdeka. Golongan ini terdiri
daripada pedagang, tukang-tukang mahir, petani dan juga saudagar. Dalam hal
ini, terdapat juga dalam kalangan saudagar yang mempunyai hubungan erat dengan
golongan atasan seperti Raja Mendeliar, Nina Sura Dewana, Kitul sebagainya.
Kitul dapat dikatakan rapat dengan Raja Mendeliar kerana mempunyai hutang
dengan Raja Mendeliar, namun Kitul telah menyampaikan fitnah bahawa Nina Sura
Dewan pergi berjumpa dengan Benhara Seri Maharaja untuk merancang pembunuhan ke
atasnya. Secara tidak langsung, Raja Mendeliar menghapuskan hutang Kitul
terhadapnya (Sulalat al-Salatin: 204). Ketua kapal atau nakhoda juga mempunyai
keistimewaan kerana dianggap sebagai raja di atas kapal.
Golongan
hamba susun lapis masyarakat yang paling bawah dalam struktur atau susun lapis
masyarakat Melayu. Golongan hamba terdiri daripada hamba raja, hamba berhutang
dan hamba abdi. Sulalat al-Salatin jelas menunjukkan institusi ini wujud sebelum
tertubuhnya Kesultanan Melayu Melaka. Ini dapat dilihat pada Badang yang telah
diterima sebagai pahlawan Singapura yang sebelum ini ditugaskan oleh tuannya
untuk membersihkan hutan. Kekuatannya itu telah mengubah status sosialnya
daripada seorang hamba kepada rakyat biasa yang merdeka (Sulalat al-Salatin :
37). Tun Mutahir dikata mempunyai bilangan hamba yang banyak sehingga tidak
dikenalinya (Sulalat al-Salatin: 203).
ADAT DAN ISTIADAT
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010)
pula, adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun di dalam
sesuatu masyarakat (sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus
dipatuhi). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), istiadat bermaksud
peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan.
Pengertian istiadat mempunyai kaitan dengan adat. Apabila kita menyebut adat
istiadat, ia membawa dua maksud iaitu pelbagai adat dan upacara termasuk
peraturan pelaksanaannya. Sehubungan dengan itu, berbeza dengan undang-undang,
istiadat boleh dikatakan tidak melibatkan hukuman atau denda tertentu.
Terdapat dua
jenis adat yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin, iaitu adat yang melibatkan
hukuman dan adat yang tidak melibatkan hukuman. Adat yang melibatkan hukuman
terbahagi kepada dua, iaitu undang-undang dan larangan Diraja. Antara undang-undang
yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin ialah derhaka, menggunakan hak raja
tanpa izin, merancang untuk merampas kuasa atau seumpamanya, tidak mengadap
raja pada hari-hari tertentu, biadab kepada raja atau wakil, mencuri, membuat
fitnah dan Mengambil isteri orang.
Undang-undang
pertama ialah derhaka. Seorang penderhaka yang berdosa boleh dihukum bunuh oleh
raja. Undang-undang yang membawa hukuman mati ke atas penderhaka buat pertama
kalinya kepada Tun Jana Khatib yang disifatkan sebagai seorang penderhaka
apabila disyaki oleh Paduka Seri Maharaja kerana cuba menawan hati isteri
baginda dengan menunjukkan kebijaksanaan membelah pohon pinang melalui tilikan
mata (Sulalat al-Salatin: 55). Seterusnya ialah menggunakan hak raja tanpa izin.
Pelaksanaan undang-undang ini dapat dikesan semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah apabila Hang Tuah menggunakan hak
raja, iaitu gundik raja. Walaupun banyak berjasa kepada baginda dan raja, itu
tidak dapat menjamin Hang Tuah terselamat daripada hukuman bunuh (Sulalat
al-Salatin: 97).
Undang-undang
juga menetapkan bahawa rakyat atau pembesar tidak boleh merampas kuasa. Hal ini
jelas apabila Sultan Mahmud Syah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Bendahara
Seri Maharaja setelah mendapat aduan bahawa Bendahara merancang hendak merampas
kuasa raja (Sulalat al-Salatin: 205). Undang-undang seterusnya ialah tidak
mengadap raja pada hari-hari tertentu seperti hari raya. Pesalah boleh dijatuhi
hukuman bunuh sekiranya sebab yang diberikan tidak bersesuaian. Hal ini terjadi
semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah yang memerintahkan hukuman bunuh ke atas
Seri Bija Diraja kerana tidak mengadap baginda pada hari raya (Sulalat
al-Salatin: 153).
Seseorang
yang tidak menghormati wakil raja akan dihukum bunuh kerana dianggap mahu
menunjukkan kuasa. Undang-undang ini ternyata dipraktikkan apabila Tun Perpatih
Hitam telah menguis tikar ketika perbicaraannya sedang berlangsung di hadapan
Bendahara bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya itu. Tindakannya itu telah
mengundang padah apabila Laksamana bertindak membunuhnya kerana menjadi
tanggungjawabnya (Sulalat al-Salatin: 172). Sulalat al-Salatin juga tidak
ketinggalan mengenai undang-undang menghukum seseorang mencuri. Hal ini sendiri
telah dilaksanakan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah yang bertindak membunuh
pencuri-pencuri tersebut dengan keluar sendiri pada waktu malam (Sulalat
al-Salatin: 137).
Undang-undang
membuat fitnah juga turut dilaksanakan dalam Sulalat al-Salatin. Si penyampai
fitnah akan dihukum bunuh. Raja Mendeliar telah bertindak memfitnah Bendahara
Seri Maharaja dan telah dijatuhkan hukuman (Sulalat al-Salatin: 207). Undang-undang
yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin juga tidak terlepas daripada kesalahan
bersekedudukan dengan isteri orang serta tunangan orang. Sesiapa yang
melanggarnya boleh dihukum bunuh tanpa mengira orang itu pembesar mahupun
sultan. Sultan Mahmud Syah berlaku curang dengan isteri Tun Biajid. Sekiranya
Tun Biajid tidak berpegang kepada konsep pantang Melayu menderhaka, sudah pasti
Sultan Mahmud Syah sudah dibunuhnya. Baginda sedar akan kesalahannya itu dan
tidak menyalahkan Tun Biajid dengan tindakannya itu (Sulalat al-Salatin: 157).
Berdasarkan
Sulalat al-Salatin, larangan diraja pertama kalinya dilaksanakan oleh Sultan
Muhammad Syah sebaik sahaja baginda memeluk Islam Antara larangan-larangan
tersebut dilarang memakai kain kuning dalam perhiasan tertentu, membuat rumah
bentuk-bentuk tertentu, membuat perahu berhias tertentu; memakai perhiasan
emas, memakai keris dalam cara-cara tertentu dan dilarang penggunaan payung
warna putih hanya untuk anak raja dan kuning hanya untuk raja (Sulalat
al-Salatin: 60-65).
Terdapat dua
jenis adat yang tidak melibatkan hukum, iaitu aturan atau peraturan negeri dan
istiadat. Antara aturan negeri yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin ialah negeri
kalah raja mati, perlantikan pengganti
seseorang raja, mengadap atau menjunjung duli dan aturan pengurniaan gelaran. Satu
hal yang menarik dalam peraturan negeri sebagaimana yang diperlihatkan oleh Sulalat
al-Salatin ialah penguasaan raja ke atas negeri tersebut. Walaupun negeri telah
oleh satu kuasa luar, sedangkan raja masih hidup tetapi melarikan diri. Raja
tersebut masih berkuasa ke atas negeri itu kerana menurut aturan “negeri kalah
raja mati”. Hal ini berlaku dalam peristiwa di mana ketika Sultan Iskandar Syah
diserang Majapahit. Baginda telah bertindak melarikan diri ke Muar (Sulalat
al-Salatin: 57). Perlantikan pengganti seseorang raja dalam Sulalat al-Salatin
kebanyakannya dilakukan oleh raja itu sendiri melalui wasiatnya sebelum mangkat.
Setelah itu barulah raja yang baru akan dijunjung duli oleh pembesar dan rakyat
jelata (Sulalat al-Salatin: 54).
Ketika
mengadap atau menjunjung duli terdapat peraturan khusus mengenainya tempat
duduk para pembesar disusun secara bertingkat-tingkat bermula dengan Bendahara,
Penghulu Bendahari, hulubalang besar, para menteri (Sulalat al-Salatin: 30). Ketika
mengadap raja, mana-mana pembesar termasuk Bendahara tidak boleh disembah
sebelum raja ataupun di hadapan raja. Peraturan ini tergambar ketika pembesar-pembesar
menunggu Sultan Mahmud Syah keluar untuk berhari raya. Tindakan Raja Mendeliar
yang hendak menyembah Bendahara telah menyebabkan kemarahan Bendahara Seri
Maharaja (Sulalat al-Salatin: 203).
Bagi aturan
pengurniaan gelaran, mereka akan dilantik mengikut adat perlantikan gelaran.
Ini dapat dilihat dalam peraturan yang telah ditetapkan oleh Sultan Muhammad
Syah (Sulalat al-Salatin: 62)
Istiadat
meliputi pelbagai upacara yang dijalankan oleh kelompok manusia, namun dalam
Sulalat al-Salatin lebih memberikan perhatian kepada golongan raja dan
kerabatnya sahaja. Istiadat-istiadat itu termasuklah istiadat perkahwinan,
melenggang perut, melahirkan anak, bertindik atau berkhatan, kematian dan
pertabalan raja. Istiadat perkahwinan ini dapat dilihat melalui perkahwinan
yang berlangsung antara Raja Iskandar dengan Tuan Puteri Syahr al-Bariyah. Pelbagai
istiadat telah berlangsung sepanjang proses peminangan, akad nikah dan persandingan
tersebut (Sulalat al-Salatin: 5-7). Sulalat al-Salatin memperlihatkan istiadat menyambut
kelahiran bayi ketika Tun Fatimah melahirkan anak lelaki Sultan Muhammad Syah
yang bercukur jambul dan ditabal sebagai Sultan Muda selepas 40 hari
kelahirannya (Sulalat al-Salatin: 216).
Istiadat
berkhatan tidak terdapat banyak dalam Sulalat al-Salatin tetapi hanya
dinyatakan sahaja. Kita dapat lihat apabila Tun Perpatih Tulus Tukang Segara
mencadangkan supaya Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Malik al-Zahir dikhatankan.
(Sulalat al-Salatin: 52). Istiadat pengebumian juga hanya dinyatakan sahaja
tanpa memperincikan bagaimana istiadat pengebumian itu dilakukan. Hal ini dapat
dilihat apabila hanya dinyatakan “mayat Sultan Malik al-Mansur pun ditanamkan
oleh paduka baginda seperti tertib raja-raja yang besar-besar” (Sulalat
al-Salatin: 54). Istiadat pertabalan raja dipraktikkan oleh Seri Teri Buana
yang dijadikan raja Palembang selepas selesai upacara permandian selepas
dikahwinkan dengan Tuan Puteri Uwan Sundari (Sulalat al-Salatin: 25)
ADAT TEMENGGUNG
Ramai penulis dan sarjana yang menulis dan mengkaji tentang adat masyarakat Melayu di semenanjung Malaysia beranggapan bahawa adat yang diamalkan di luar Negeri Sembilan adalah Adat Temenggung. Adat ini diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan (abang tiri kepada Datuk Perpatih Nan Sebatang yang mengasaskan Adat Perpatih) yang berasal dari Sumatera. Wujudnya istilah "Adat Temenggung" adalah berkait dengan munculnya istilah "Adat Perpatih" kerana istilah ini tidak ada dalam budaya Melayu yang awal. Disebabkan oleh Adat Temenggung diamalkan di hampir semua negeri-negeri Melayu, maka Adat Temenggung telah bercampur dengan undang-undang adat Melayu sedia ada yang mempunyai nama yang berbeza mengikut negeri. Aspek yang terdapat dalam adat Temenggung, antaranya ialah :
i. Sistem Politik dan Kekuasaan
Raja atau sultan merupakan kedudukan yang paling tinggi dalam struktur politik di negeri-negeri Melayu yang tidak mengamalkan Adat Perpatih. Di bawahnya terdiri daripada kerabat diraja bergelar yang berhak, mengikut giliran, mewarisi takhta kerajaan apabila raja atau sultan mangkat. Seterusnya terdapat pembesar-pembesar yang memegang portfolio tertentu iaitu penasihat raja dalam semua aspek pentadbiran negeri. Raja atau sultan mempunyai hak keistimewaan dan kuasanya diperkukuhkan melalui konsep daulat dan derhaka.
Raja atau sultan dalam negeri-negeri Melayu diberi kuasa penuh dalam menentukan corak pemerintahan di negeri-negeri Melayu. Pada zaman dahulu, corak pemerintahan negeri-negeri Melayu bercorak autokrat. Baginda selalunya diakui sebagai lambang kesatuan rakyat dan sebagai ketua negara. Sistem pertabalan baginda berdasarkan keturunan atau warisan. Anak lelaki sulung akan dilantik sebagai raja sekiranya raja mangkat. Sekiranya raja atau sultan tidak mempunyai waris, maka gelaran ini akan diturunkan kepada adik lelakinya. Sekiranya kedua-dua ini tiada, maka gelaran ini diturunkan kepada Raja Bendahara.
Lihat contoh di bawah:
a. Politik
Hatta setelah empat puluh dua tahun umur Sultan Muzaffar Syah di atas kerajaan, maka baginda pun mangkatlah. Maka anakanda baginda Raja Abdullah, menggantikan ayahanda baginda.
(Sulalatus Salatin, 1979: 96)
Setelah Sultan Ahmad sudah mangkat, maka oleh Sultan Mahmud anakanda baginda Raja Muzaffarlah di timbangkan baginda akan kerajaan...Tun Khoja Ahmad, anak Bendahara Lubuk Batu, dijadikan Sultan Mahmud Bendahara, bergelar Paduka Raja, Tun Abu Ishak, anak Orang Kaya Tun Abu Sahid, dijadikan Perdana Menteri, bergelar Seri Amar Bangsa.
(Sulalatus Salatin, 1979: 271)
b. Kekuasaan (daulat dan derhaka)
Bendahara Paduka Raja pun berwasiatkan kepada segala anak cucunya ... jangan kamu sekaliannya melupai daripada berbuat kebaktian ... raja itu umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagi pula raja itu umpama ganti Pencipta (Allah) dalam dunia.
(Sulalatus Salatin, 1979: 190)
ii. Perundangan
Bentuk dan pelaksanaan hukumannya adalah lebih tegas dan keras, bertujuan menghukum serta berpegang kepada prinsip pembalasan semata-mata. Oleh itu, pelaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas agar dapat memberi iktibar dan amaran kepada orang lain. Hukuman bunuh dikenakan atas kesalahan berat seperti membunuh, mencuri, memfitnah dan menderhaka kepada raja. Hukuman bunuh dilakukan oleh raja atau sultan sahaja. Lain-lain hukuman boleh dilakukan oleh pembesar-pembesar.
Undang-undang atau peraturan yang diamalkan dalam Adat Temenggung lebih memihak kepada golongan atasan atau pemerintah. Hal ini bermaksud, sekiranya rakyat melakukan kesalahan yang sama dilakukan oleh kerabat diraja, hukuman yang diterima oleh golongan rakyat lebih berat berbanding hukuman yang dikenakan kepada kerabat diraja.
Beberapa contoh dapat ditemui dalam dua karya agung iaitu Sulalatus Salatin dan Undang-undang Melaka yang mana peristiwa atau catatannya dapat dikategorikan dalam Adat Temenggung. Contohnya, kita lihat di bawah:
Maka titah baginda (Sultan Alau’d-Din) kepada Seri Maharaja: Jikalau orang mendapat harta orang, jika tiada dipulangkannya pada yang empunya, disuruh baginda kudung tangannya...
(Sulalatus Salatin, 1979: 175)
Pada suatu malam Seri Maharaja berkawal, bertemu dengan seorang pencuri, maka diparang oleh Seri Maharaja dengan pedang bertupai, putus bahunya...
(Sulalatus Salatin, 1979: 175)
Fasal yang kesebelas pada menyatakan hukum orang mencuri. Adapun jikalau seseorang mencuri lagi dalam kampung itu, maka tahu orang yang empunya itu, maka dibunuhnya, tiadalah lagi salah yang membunuh itu.
(Undang-undang Melaka, 2003: 113)
Contoh di atas menggambarkan bahawa hukuman yang dikenakan seperti yang diamalkan dalam Adat Temenggung lebih keras dan tegas.
iii. Perkahwinan
Aturan perkahwinan dalam Adat Temenggung banyak didasari dengan hukum Islam. Ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga. Lelaki dibenarkan kahwin dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bertentangan dengan hukum syarak. Sekiranya mempunyai pertalian darah atau muhrim, perkahwinan dilarang. Contoh dalam karya agung seperti:
“Jikalau ada perempuan berbapa atau bernini atau saudaranya laki-laki, itulah akan walinya perempuan itu”
“...jauh wali itu daripada negeri sehari semalam...maka haruslah hakim walinya”
“Ia yatim, itu pun hakim akan walinya itu”
“Adapun segala syarat ini, maka berlakulah hukum nikah yang pada kitab Allah Ta’ala...”
(Undang-undang Melaka, 2003: 130)
Contoh-contoh di atas membuktikan bahawa perkahwinan dilakukan berdasarkan agama Islam, sama seperti dalam kebiasaan Adat Temenggung.
ADAT PERPATIH
Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning di Melaka. Nama Adat Perpatih diambil sempena gelaran orang yang menyuruh Adat Tuah Disakato, yakni adat yang diamalkan di Minangkabau, Datuk Parapatieh Nan Sabatang (Datuk Perpatih Nan Sebatang). Menurut Newbold (1839: 76 dalam buku Adat Perpatih: perbezaan dan persamaannya dengan Adat Temenggung), Negeri Sembilan semasa kedatangan perantau Minangkabau ke semenanjung Tanah Melayu, bukanlah kawasan yang tidak berpenghuni.
Semenjak orang Negeri Sembilan dan Naning mempunyai hubungan dengan masyarakat luar terutamanya orang-orang Eropah (Inggeris), cara hidup masyarakat Adat Perpatih telah dipengaruhi, malah diubah oleh elemen-elemen baru yang mewakili nilai-nilai yang tidak pernah dikenali sebelum ini. Jadual di bawah memberi penerangan mengenai perbezaan yang dialami oleh Adat Perpatih terutamanya sebelum dan selepas kedatangan pihak penjajah.
Sebelum kedatangan Penjajah
|
Perkara |
Selepas Kedatangan
Penjajah
|
Yang Dipertuan Besar, Undang, Lembaga, Buapak dan Perut
|
Politik
|
· Mengikis dan mengetepikan fungsi perwakilan politik (kuasa ketua adat- Undang, Lembaga, Buapak dikecilkan dan diganti dengan seorang Residen)
· Residen dibantu oleh Pegawai Daerah.
|
Mewariskan tanah kepada kaum wanita dan kaum lelaki hanya sebagai penjaga.
|
Warisan Tanah
|
Sistem hak milik individu
|
Lelaki tidak boleh menikahi wanita dari sukunya sendiri.
|
Perkahwinan
|
Kaum lelaki berkahwin dengan wanita di luar masyarakat, hal yang sama juga berlaku dengan kaum wanita. (penghijrahan)
|
Pertanian
|
Ekonomi
|
· Perdagangan
· Pedalaman (berniaga kecil-kecilan dan bercucuk tanam- sawah padi)
|
PENUTUP
Ilmu dan maklumat yang diperoleh daripada karya agung dapat dijadikan sebagai pegangan dan pengajaran kepada masyarakat yang membacanya. Kajian-kajian yang telah dilakukan para pengkaji telah menyatakan bahawa ilmu dan maklumat yang diperoleh pada hari ini mempunyai kaitan dengan ilmu daripada masyarakat Melayu pada zaman tradisional yang terserap ke dalam masyarakat Melayu kini kerana diperturunkan kepada kita melalui nenek-moyang kita. Kita dapat lihat bahawa ilmu perdukunan, ilmu firasat, ilmu jampi, ilmu pengasih, strata masyarakat Melayu, adat dan istiadat Melayu, adat Perpatih dan adat Temenggung masih diamalkan oleh masyarakat Melayu pada masa kini.
No comments:
Post a Comment