ANALISIS
HIKAYAT HANG TUAH SEBAGAI SEBUAH KARYA AGUNG YANG MENJADI KEBANGGAAN BANGSA
MELAYU
1.0
Pengenalan
Karya
agung ialah karya yang mengusik ketenangan dan menyedarkan kita. Lebih penting
lagi, karya agung mengajak kita untuk mengenal dan memahami tradisi atau
tamadun bangsa yang dipancarkan melalui karya agung itu. Melalui penghasilan
karya seni, pemikiran, falsafah, sastera yang cetuskan oleh pemikir, seniman
dan sasterawan zaman dahulu kala mereka mampu meninggalkan pengaruh yang besar
dan kekal sepanjang zaman. Hasil kepengarangan ini dipelajari, dijadikan
panduan, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya
menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini. Karya agung Melayu
ialah karya yang dapat melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan
pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai,
pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya
melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya
dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu.
Setiap
bangsa bertamadun mempunyai karya agungnya yang tersendiri. Dalam masyarakat Melayu, karya agung yang
terkenal ialah Hikayat HangTuah. Dalam meletakkan kedudukan karya Hikayat Hang
Tuah di sisi kesusasteraan Melayu, ramai pengkaji menimbulkan berbagai-bagai
kontroversi mengenai kedudukan sebenar karya ini. Hikayat Hang Tuah adalah satu-satunya
contoh sastera epik yang ditakrifkan sebagai sastera epik berunsur kebangsaan atau
sastera kepahlawanan berunsur kebangsaan. Hikayat ini dianggarkan terkarang selewat-lewatnya
pada abad ke-17, terkemudian daripada Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).
Selain Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah termaktub sebagai
sebuah karya sastera Melayu yang terindah.
Hikayat Hang Tuah
merupakan karya kesusteraan Melayu tradisional yang dikategori sebagai karya
agung kebangsaan kerana mengemukakan tokoh agung bagi bangsa Melayu. Watak Hang
Tuah memang tidak dinafikan amat disanjung oleh bangsa Melayu semenjak 500
tahun yang lampau. Karya Agung merupakan sebuah prosa yang tebal dan panjang.
Begitulah juga halnya dengan Hikayat Hang Tuah yang mengandungi lebih daripada
500 halaman dengsn lebih kurang 146 00 patah perkataan yang terkandung dalam
karya ini. Berdasarkan latar Hikayat Hang Tuah juga menepati ciri-ciri karya
Agung kerana ceritanya bukan sahaja berkisar di Melaka tepati berkisar di
Majapahit, Siam, China, Arab, mesir dan Turki. Menurut Mohd Sharifuddin dan
Mohd Lani (1999) dalam buku Sejarah dan Kritikan Sastera, dalam sastera Melayu
hanya terdapat satu karya Agung sahaja yang mengetengahkan tokoh bangsa Melayu
iaitu Hikayat Hang Tuah. Gambaran ketokohan Hang Tuah diwarnai unsur-unsur supernatural untuk menjadikannya sebuah
karya agung dan sekali gus mengangkat martabat bangsa. Keperwiraannya terserlah
semenjak beliau masih kecil lagi sehingga digambarkan dapat menewaskan
lanun-lanun di pulau dan orang mengamuk di pasar.
1.2 Sinopsis Hikayat Hang Tuah
Isi cerita hikayat ini terbahagi kepada tiga
bahagian iaitu kisah awal, zaman kegemilangan dan zaman kemerosotan.
i)
Bahagian awal
Kisah dimulai dengan memperkenalkan asal-usul raja
Bentan yang dikatakan berasal daripada Palembang. Bahagian ini lebih
menceritakan tentang kisah Hang Tuah yang semasa kecil yang dikaitkan dengan
zaman awal kerajaan Melayu Melaka.
Kisah Hang Tuah sewaktu kecil, mengenai keluarganya yang
berpindah dari Sungai Duyung ke Bintan. Terdapat juga kisah-kisah Hang Tuah
bersama lima orang sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan
Hang Lekiu. Sejak berumur 10 tahun lagi Hang Tuah telah menunjukkan kelebihan
dan keberanian yang bersama-sama rakannya berjaya mengalahkan lanun, berusaha pergi
berburu dan berjaya menyelamatkan seorang pembesar negeri daripada amukan orang
mengamuk dengan hanya menggunakan sebilah kapak. Bendahara yang diselamatkan
oleh Hang Tuah amat tertarik dengan sifat-sifat keberanian Hang Tuah itu,
lalu memberitahu Sultan tentang kehebatan Hang Tuah dan sahabatnya. Oleh hal
yang demikian, Hang Tuah telah diambil bertugas di istana. Juga diceritakan bagaimana
Hang Tuah turut melihat peristiwa ganjil sewaktu Raja Bentan berburu
di mana anjing perburuan raja telah ditendang oleh seekor pelanduk putih.
Tempat berlaku kejadian aneh itu dibuka dan dijadikan sebuah negeri
bernama Melaka sempena nama pokok melaka yang menjadi tempat bersandar sultan ketika
raja melihat kejadian tersebut. Selain itu diceritakan juga mengenai Raja yang telah
menghadiahkan sedikit minuman kepada Hang Tuah dan Bendahara serta turut diberikan
persalinan kepada Hang Tuah.
ii)
Bahagian Kegemilangan
Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dikaitkan dengan
ketokohan dan kepahlawanan Hang Tuah. Hang Tuah memiliki kedudukan tempat yang
paling penting dan teristimewa di istana Melaka. Hang Tuah yang merupakan
pahlawan Melaka memberikan sepenuh taat setia dan patuh kepada segala perintah
raja. Kegagahannya menyebabkan Hang Tuah terkenal sebagai seorang pahlawan
Melaka yang terbilang. Banyak negeri di takhluki dan menjadi tanah jajahan
serta tunduk di bawah kekuasaan raja Melaka. Selain itu diceritakan juga
tentang Hang Tuah yang sebagai pengiring raja yang taat dan berani. Beliau
pernah mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit dan memperolehi keris Taming Sari
setelah mengalahkan seorang hulubalang Majapahit. Hang Tuah berjaya
mempertahankan martabat Raja Melaka, juga menambahkan kedaulatan negeri Melaka
di mata negeri lain. Melaka berjaya mencapai puncak kebesaran dan kekuasaannya
hasil daripada keberanian dan ketokohan Hang Tuah. Sebagai seorang pahlawan yang tiada tolok bandingnya, ramai
musuh-musuh yang cuba menganiayanya namun mereka telah berjaya dibunuh.
Setelah terserlah
kehebatan beliau di mata dunia, Hang Tuah telah mendapat gelaran Laksamana.
Hang Tuah juga dilantik sebagai diplomat dan utusan Melaka ke luar negeri
seperti utusan ke Siam, China, Benua Keling, Rome, Sailan dan juga ketua
angkatan perang. Sifat-sifat Hang Tuah yang sabar, bijaksana
dan warak membawa kejayaan yang cemerlang kepada kerajaan Melaka
dan ini dengan sendirinya menambahkan kebesaran dan kedaulatan Raja
Melaka. Sifat Hang Tuah yang tiada tolok bandingannya ialah ketaatan kepada
rajanya. Sungguhpun sultan telah berlaku tidak adil pada dirinya
dengan menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa, akibat fitnah, (Hang Tuah
diselamatkan oleh Bendahara) tetapi apabila dia dipanggil oleh sultan bagi
menghapuskan perbuatan derhaka Hang Jebat, dia bersedia berkhidmat kepada
sultan tanpa menaruh perasaan dendam. Malah dia sanggup membunuh
sahabat baiknya sendiri
iaitu Hang Jebat, walaupun Jebat menderhaka kerana membela
keadilan atas berita pembunuhan Hang Tuah. Bagi Hang Tuah, “Pantang Melayu
menderhaka kepada rajanya”. Hang Tuah
juga bersedia menjalankan tugas membawa lari anak
Bendahara Pahang iaitu Tun Teja bagi
dipersembahkan kepada Sultan Melaka. Hang Tuah tidak mudah
dikalahkan selagi dia memiliki keris Taming Sari.
iii)
Bahagian akhir (zaman kemunduran)
Kegemilangan dan kekuatan Hang Tuah semakin beransur
pudar setelah Hang Tuah semakin tua. Ini dikaitkan juga dengan kemunduran
kerajaan Melayu Melaka. Dalam Hikayat Hang Tuah, kemunduran
Melaka kali pertamanya dilambangkan dengan kisah Sultan Melaka
yang telah kehilangan mahkotanya. Mahkota itu adalah tanda kebesaran kerajaan.
Ketika peristiwa itu terjadi, baginda sedang bermain-main di laut Singapura,
apabila Baginda menundukkan kepalanya setelah melihat seekor ikan emas yang
dikatakan berada di bawah perahunya. Ketika itulah mahkota pusaka Bukit
Siguntang itu terjatuh ke dalam laut. Hang Tuah telah menyelam untuk mengambil
kembali mahkota tersebut dan berhasil mengambilnya. Tetapi ketika hampir sampai
di perahu, tiba-tiba datang seekor buaya putih menyambar keris daripada
pinggang Hang Tuah. Mahkota pun terlepas dari tangannya dan keris Taming Sari
yang dimiliki oleh Hang Tuah telah dirampas oleh seekor buaya putih. Sejak
itulah Hang Tuag hilang kekuatan dan kegagahannya. Selepas berlaku peristiwa
tersebut ,sultan amat bersedih. Beberapa lama kemudian, Feringgi datang
menyerang Melaka. Sultan terpaksa berundur dan Hang Tuah meninggalkan kehidupan
di dunia dengan hidup bertapa di gunung.
2.0
ISI PERBINCANGAN
2.1 Analisis
Karya Agung Hikayat Hang Tuah
dalam kajian yang kami lakukan, Hikayat Hang Tuah
telah dianalisis berdasarkan tiga aspek utama iaitu melibatkan konsep
kepengarangan, kekuatan kepengarangan dan motif kepengarangan.
2.2 KONSEP KEPENGARANGAN
Hampir setiap bangsa di dunia ini mempunyai karya epik
atau hikayatnya yang tersendiri. Jikalau orang India terkenal dengan Ramayana
dan Mahabharata, orang Greek berbangga dengan Iu’ad dan Odyssey, orang Inggeris
mengagungkan Beowulf manakala dalam masyarakat Melayu pula, Hikayat Hang Tuah
merupakan antara karya epik yang menjadi kebanggaan bangsa dan telah diangkat
menjadi sebuah Karya Agung Melayu. Karya Agung Melayu ialah karya yang tertulis
dalam bahasa Melayu, tidak kira di manakah daerah asalnya di dunia Melayu ini
dan yang mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur
pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa
Melayu turun-temurun. Pendek kata, Karya Agung Melayu merupakan warisan budaya kesusasteraan
bangsa Melayu.
Sebenarnya, jika dikaji tidak dapat ditentukan bilakah
Hikayat Hang Tuah ini ditulis dan siapakah pengarangnya. Namun ada yang
menganggarkan bahawa Hikayat Hang Tuah ini telah ditulis di antara tahun 1641
dan 1736. Hikayat Hang Tuah tidak ditulis secara menyeluruh dalam tempoh yang
singkat atau dalam masa yang sama. Ini terbukti dengan penggunaan bahasa dan
teknik penyampaian cerita yang tidak sama. Terdapat lebih kurang 20 versi Hikayat Hang Tuah yang bertulisan
tangan telah ditemui kemudian kumpulkan dan berada di England dan Netherlands. Menurut
Sulastin Sutrisno (1983), kebanyakan naskhah Hikayat Hang Tuah yang ditulis tidak
lengkap sebagai sebuah hikayat dan setakat ini hanya 3 buah edisi sahaja yang
lengkap ceritanya dan telah diterbitkan iaitu Edisi Shellabear, Edisi Balai Pustaka dan Edisi Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Edisi Shellabear yang diterbitkan
pada tahun 1909 adalah berdasarkan naskhah yang dimiliki oleh Raja Muda Perak
iaitu Raja Abdul Jalil, putera Sultan Idris. Edisi Balai Pustaka yang
diterbitkan pada 1966 pula berdasarkan naskhah kepunyaan Koninklijik Bataviaasch Genootschap yang ditulis dalam tulisan
Jawi. Manakala penulisan Hikayat Hang Tuah Edisi Dewan Bahasa Dan Pustaka yang
diterbitkan pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad pula adalah berdasarkan kepada naskhah
yang pada asalnya dimiliki oleh Almarhum Tengku Ibrahim Ibni Tengku Muhammad
atau Tengku Seri Utama Raja yang merupakan anggota kerabat Diraja Kelantan.
Hikayat Hang Tuah ini merupakan
sebuah hasil karya sastera Melayu lama yang unggul. Hikayat Hang Tuah
mengandungi banyak ciri-ciri sastera antaranya mitos, unsur epik, firasat dan
sebagainya. Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang lahir pada
zaman kegemilangan masyarakat Melayu tradisional. Kisahnya mencakupi segala
pesanan dan gagasan yang harus direnung dan dicerna oleh bangsa Melayu di zaman
moden ini khususnya seperti ungkapan semangat Melayu “Takkan Melayu hilang di
dunia”.
Pelbagai konsep yang telah
dicerapkan oleh penulis di dalam Hikayat Hang Tuah ini antaranya dari aspek
bentuk. Sastera rakyat Melayu dapat dibahagikan kepada dua bentuk. Pertama,
berbentuk cerita iaitu kisah atau naratif. Kedua pula berbentuk bukan cerita iaitu
bukan kisah atau bukan naratif. Sastera rakyat Melayu berbentuk cerita disebut
juga cerita rakyat atau cerita lisan, terdiri daripada beberapa jenis cerita,
antaranya cerita lipur lara, cerita teladan, cerita binatang, cerita jenaka,
mitos, lagenda dan hikayat. Sastera rakyat berbentuk bukan cerita pula
sebahagian besarnya berupa puisi seperti ungkapan rakyat, nyanyian rakyat,
ungkapan adat, teka-teki, pantun dan gurindam. Dalam kelompok sastera rakyat
berbentuk cerita, mitos, lagenda dan hikayat berbeza daripada cerita-cerita
lipur lara, teladan, binatang dan jenaka. Perbezaan ini dapat ditinjau dari
sudut kepercayaan, latar masa, latar tempat, sifat dan pelaku utama. Hikayat
Hang Tuah merupakan sastera tulisan yang berbentuk cerita atau naratif.
Konsep yang kedua pula ialah
tulisan. Kedatangan Islam telah membawa perubahan yang amat ketara terhadap
masyarakat Melayu ketika itu. Perubahan bukan sahaja dari aspek tauhid dan
akidah malahan sistem tulisan masyarakat Melayu ketika itu turut berubah. Sebagaimana
yang diketahui tulisan Jawi adalah berasal dari tulisan Arab.
Pendakwah-pendakwah Islam berketurunan Arab telah menerapkan sistem tulisan
Arab dalam tulisan Jawi. Tujuan utama mereka melakukan usaha sedemikian adalah
bagi memudahkan proses pembacaan. Bagi memudahkan ejaan, tanda baris atas dan
bawah tulisan tersebut telah dimansuhkan. Tulisan atau aksara dalam
hikayat ini dipinjam daripada bahasa Arab. Kemudian ditambah dengan huruf-huruf
baharu. Sistem
ejaan yang digunakan dalam Hikayat Hang Tuah ini merupakan sistem ejaan Jawi.
Penggunaan huruf Jawi atau tulisan Arab ini dapat dilihat dengan jelas sekali
menerusi perkataan “Bismillahirrahmanirrahim”
dan “wabihinastainubihi” yang kerap
kali digunakan di dalam Hikayat Hang Tuah. Perkataan tersebut telah ditulis
dengan menggunakan huruf Jawi.
Konsep yang ketiga pula ialah konsep bahasa
asing yang digunakan di dalam Hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah banyak
menerima unsur-unsur bahasa asing antaranya hikayat tersebut menerima pengaruh
bahasa Arab, Portugis, Jawa dan Sanskrit. Contoh perkataan yang menerima unsur
pengaruh bahasa Arab yang terdapat di dalam Hikayat Hang Tuah ialah firasat,
hatta, mukah, shahadan, al-kesah, kaus,ikrar, dan wasiat.
Seterusnya, contoh perkataan yang menerima unsur
pengaruh bahasa Portugis yang terdapat di dalam Hikayat Hang Tuah ialah lanchao yang bermakna sejenis perahu layar yang laju, armada
pula bermaksud angkatan laut yang terdiri daripada kapal-kapal perang, gebernador yang bermaksud gabenor, seridadu
yang bermaksud soldadu dan perkataan di-mitar-nya
yang bermaksud ditujunya.
Selain itu, Hikayat Hang Tuah juga menerima unsur pengaruh bahasa Jawa. Contoh perkataan yang
terdapat di dalam hikayat ini ialah perajurit
yang membawa maksud pejuang atau askar upahan, pateh iaitu penasihat utama kepada raja, rama andika iaitu ayah tuanku, menira bermaksud saya, paman
iaitu bapa saudara sebelah emak atau dibahasakan juga kepada orang-orang lebih
tua, kedayaan bererti
‘pengiring’ dan lawang membawa
maksud ‘pintu luar’ dan lain-lain lagi.
Kemudian,
Hikayat Hang Tuah turut menerima unsur pengaruh bahasa Sanskrit. Antara contoh
perkataan Sanskrit yang terdapat di dalam hikayat ini ialah mahkota, singgahsana, pustaka,
duta, dirgahayu, dan lain-lain
lagi. Jika dikaji secara teliti, penggunaan kata gelaran “Laksamana” banyak
digunakan di dalam penulisan hikayat. Gelaran “Laksamana” yang dianugerahkan
kepada Hang Tuah dipercayai berasal dari perkataan Sanskrit yang bermaksud
tanda atau markah keutamaan. Gelaran Laksamana diberikan kepada Hang Tuah yang
merupakan lambang kesetiaan dan ketaatan yang sepenuhnya terhadap raja-raja.
Konsep
yang keempat pula ialah pengulangan kata. Gaya
bahasa melibatkan cara dan gaya seseorang pengarang menyampaikan buah fikiran dan
pandangannya sendiri melalui hasil karyanya. Gaya bahasa yang baik melibatkan banyak
penggunaan perbendaharaan kata. Menerusi penelitian terhadap Hikayat Hang Tuah,
pengulangan perkataan-perkataan tertentu banyak didapati di dalam hikayat ini.
Sebagai sebuah hasil karya klasik dan agung, gaya bahasa pengulangan adalah
perkara yang lazim didapati. Perkataan-perkataan yang sering kali digunakan
secara berulang-ulang di dalam Hikayat Hang Tuah adalah setelah, alkisah, hatta,
maka, sebermula, arakian, syahadan dan sekalian.
Konsep
yang kelima pula ialah penggunaan kosa kata klasik. Selain dari konsep-konsep
yang telah dibincangkan, Hikayat Hang Tuah juga dilihat sering kali menggunakan
kosa kata klasik yang berasal dari Arab, Jawa, Siam, Sanskrit dan lain-lain
lagi. Antara contoh kosa kata klasik yang dimaksudkan adalah seperti ratna mutu
manikam, edan kesmaran, sahaya, masygul dan lain-lain lagi. Jadual dibawah menunjukkan
antara contoh kosa kata klasik yang digunakan dalam Hikayat Hang Tuah beserta
terjemahannya yang dilakukan dalam bahasa Melayu Moden.
Jadual
1: Penggunaan Kosa Kata Klasik Dalam Hikayat Hang Tuah
Kosa Kata Klasik
|
Asal
|
Terjemahan Ke Dalam
bahasa Melayu Moden
|
aviad
adika
amum
anak bingkis
arkian
andalan
bajuzirah
berpelik
bersuaka
bertandak
|
Arab
Kawi
Siam
Sanskrit
|
putih
Tuanku
Pangkat bagi golongan
bangsawan
barang pemberian
sesudah itu
cagaran
baju besi
bersubang kecil
berlindung
|
Berdasarkan
jadual di atas, jelas memperlihatkan perbezaan perkataan dan sebutan bagi kosa
kata klasik dengan kosa kata terjemahan yang dilakukan ke dalam bahasa Melayu
Moden. Walaupun
mempunyai maksud yang sama, akan tetapi perkataan tersebut disebutkan dengan
dua cara yang berbeza.
2.3 KEKUATAN PENGARANGAN
Kekuatan
kepengarangan yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ini adalah berdasarkan tema
dan persolan yang cuba ditonjolkan oleh pengarangnya kepada masyarakat. Tema
dan persoalan yang menarik akan menjadikan sesuatu karya itu diangkat untuk
menjadi sebuah karya yang agung. Hikayat Hang Tuah tergolong dalam sastera epik
yang ditulis untuk mengagung-agungkan tokohnya iaitu Hang Tuah yang muncul pada
zaman kerajaan Melayu tradisional. Hang Tuah merupakan watak yang digambarkan
sebagai seorang yang hebat kerana menjadi keagungan bangsa, agama dan
negara. Hang Tuah juga turut menjadi
lambang kekuatan dan kemegahan bangsa Melayu. Keagungan Hang Tuah menjadi
kekuatan dalam Hikayat Hang Tuah kerana ketokohan Hang Tuah boleh dijadikan
contoh untuk rakyat berkongsi tokoh yang sama untuk dijadikan ikutan dan dapat
menaikkan semangat bagi penyatuan bangsa.
Hang Tuah juga merupakan tokoh yang
berbangsa Melayu yang diwarnai dengan supernatural untuk menjadikannya agung
dan sekali gus dapat mengangkat martabat bangsa. Keperwiraan Hang Tuah ini
terserlah semenjak beliau masih kecil lagi sehingga digambarkan dapat
menewaskan lanun-lanun di pulau dan orang mengamuk di pasar. Hang Tuah juga
memiliki pelbagai hikmat seperti tidak mabuk meminum arak, boleh menguasai dua
belas bahasa dan dapat bertemu dengan nabi Khidzir. Kebangunan, kebesaran dan kejatuhan Melaka adalah berhubung
rapat dengan ketokohan Hang Tuah.
Ketika Hang Tuah masih
kecil, kerajaan Melaka baru didirikan dan apabila Hang Tuah besar pula, beliaulah
yang menjadi orang kanan bersama Bendahara. Manakala di dalam urusan
pentadbiran dan urusan keselamatan dalam negeri, suara Hang Tuah menjadi suara
muktamad yang bermaksud segala keputusan yang dikatakan oleh Hang Tuah akan
disetujui oleh raja. Apabila Hang Tuah jatuh sakit Melaka diancam oleh Portugis
dan terus kalah apabila beliau berundur dari perkhidmatan negara. Hal ini
menjadikan Hang Tuah sebagai lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka. Ketokohan dan keperwiraan Hang Tuah yang
ditonjolkan oleh pengarang inilah yang menjadi kekuatan dalam Hikayat Hang Tuah
disamping tema dan persoalan lain yang cuba dibangkitkan oleh pengarangnya
untuk menyerlahkan lagi kekuatan kepengarangan dalam Hikayat Hang Tuah.
2.3.2 Persoalan
Selain tema, persoalan juga
memainkan peranan penting untuk melihat kekuatan bagi sesuatu kepengarangan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), persoalan ialah sesuatu yang
dipersoalkan atau sesuatu yang menjadi masalah. Persoalan juga merupakan
pembicaraan, perbahasan atau perbincangan yang diketengahkan dalam sesebuah
karya. Terdapat banyak persoalan yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam
Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan persoalan-peroalan inilah yang akan menjadi
kekuatan untuk mengangkat sesuatu karya itu menjadi karya yang agung.
Sesebuah karya sastera akan dibina
berdasarkan persoalan-persoalan yang dipetik daripada episod kehidupan dan
kegiatan manusia yang melatarinya. Pengarang akan menjalinkan
persoalan-persoalan ini sehingga menjadi satu rangkaian peristiwa yang
berkesimnambungan antara satu sama lain dan akhirnya dapat membentuk sebuah
karya yang mantap. Kesusasteraan Melayu Tradisional seperti Hikayat Hang Tuah
ini tidak terlepas daripada memaparkan persoalan-persoalan yang dipetik
daripada konteks kehidupan dan budaya masyarakat Melayu tradisional.
Persoalan-persoalan inilah yang akan menjadi kekuatan bagi sesebuah karya.
Antara persoalan yang ditimbulkan
oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah ialah persoalan tentang keberanian atau
kepahlawanan Hang Tuah. Kepahlawanan Hang Tuah dapat dilihat berdasarkan sikap
dan akhlaknya. Hang Tuah juga mempunyai sifat-sifat keperwiraan Melayu silam
seperti memiliki ilmu batin iaitu ilmu mempertahankan diri bagi menewaskan
musuh. Kepahlawanan Hang Tuah juga dapat
dilihat ketika beliau masih kecil lagi. Hal ini kerana beliau telah mengalahkan
lanun-lanun bersama dengan sahabat-sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Lekir,
Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Semasa beliau masih kecil juga, beliau bersama
kawan-kawannya pernah membunuh empat orang yang sedang mengamuk di hadapan
Bendahara Paduka Raja. Disebabkan peristiwa inilah mereka berlima dilantik
sebagai Biduanda Raja. Bendahara Paduka Raja amat tertarik dengan keberanian
mereka berlima sedangkan segala pegawai dan pertuanan yang mengiringi Bendahara
lari melihat orang mengamuk. Keberanian Hang Tuah dan sahabatnya jelas
dinyatakan seperti yang terdapat di dalam teks berikut:
“Maka Hang Tuah dan
Hang Jebat pun melompat ke kiri ke kanan menyalahkan tikaman orang itu. setelah
lalu, ditikamnya orang itu, maka melompat Hang Tuah dan Hang Jebat, ditikamnya
seorang: itu pun rebah lalu mati”.
( HHT,1997:37 )
Selain
itu, persoalan tentang kebijaksanaan juga menjadi persoalan penting yang
terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ini. Hang Tuah digambarkan oleh pengarang
sebagai seorang yang bijaksana dalam melakukan sesuatu tindakan. Sifat kebijaksanaan
yang ada pada diri beliau ini juga menyebabkan raja Melaka semakin
menyayanginya. Hang Tuah sememangnya seorang pahlawan yang bijaksana, setiap
tindakan yang dilakukan oleh beliau mempunyai tujuan yang tersendiri. Hang Tuah
bukan sahaja bijak dalam tindakannya malah beliau juga bijak dalam melakukan
helah. Pelbagai helah telah digunakan semasa pertarungan. Hang Tuah juga
dikatakan bijak kerana beliau berjaya menguasai 12 bahasa yang dipelajarinya
sejak kecil lagi. Antaranya adalah Bahasa Arab, Bahasa
Keling, Bahasa Siam, Bahasa Cina dan Bahasa Jawa.
… Telah berapa lamanya Hang Tuah
mengaji Qur’an, maka pengajian itu pun tamatlah. Maka Hang Tuah mengaji nahu
pula. Telah sudah tamat pengajiannya, maka dia berkata kepada bapanya, “Ayo
bapaku, pada bicara hamba, hendak mengaji pada lebai Keling pula, supaya hamba
tahu pula bahasanya.” Maka kata Hang Mahmud, “Benarlah seperti bicara anakku
itu.” Maka Hang Tuah pun mengajilah pula pada seorang lebai Keling. Hatta,
beberapa lamanya, maka tamatlah dengan bahasa Keling itu, habislah
diketahuinya. Maka Hnag Tuah pun berkata pada bapanya hendah mengaji pada lebai
Siam pula supaya diketahuilah akan bahasanya. Setelah sudah diketahuinya akan
bahasa Siam itu, maka Hang Tuah pun mengaji pula pada seorang lebai Cina.
Dengan tiada berapa lamanya maka ia pun tamatlah mengaji bahasa Cina itu. Maka
Hang Tuah pun mengaji pula pada lebai Jawa hendak diketahuinya akan bahasa Jawa
itu. Kalakian, setelah habislah rata diketahuinya dua belas bahasa itu, maka
Hang Tuah pun pulanglah ke rumahnya…
(
HHT, 1997: 24 )
Seterusnya,
persoalan tentang ketangkasan. Kejayaan
Hang Tuah sebagai pehlawan Melayu dilihat berdasarkan ketangkasan beliau
bermain senjata. Terdapat banyak peristiwa yang menunjukkan Hang Tuah sebagai
seorang yang tangkas. Anataranya
peristiwa ketika beliau yang hanya seorang diri berjaya menumpaskan tujuh
puluh orang penjurit yang mengamuk di pasar. Hang Tuah mempunyai taktik
tertentu untuk menumpaskan penjurit yang ramai itu. Pada mulanya beliau
berundur untuk mencari tempat bertahan. Beliau telah menemui satu lorong yang
hanya muat untuk seorang manusia sahaja dan pagar lorong itu diperbuat daripada
batu. Hang Tuah masuk ke dalam lorong itu untuk bertahan. Tujuh puluh orang
penjurit itu juga masuk ke dalam lorong itu secara beiringan. Dengan
ketangkasan yang dimiliki, Hang Tuah berjaya memancung kepala penjurit-penjurit
tersebut. Selain itu, ketangkasan Hang Tuah juga dapat digambarkan petikan teks
tersebut:
Setelah
sudah Laksamana ke sungai, maka penjurit empat puluh itu pun datang ke
kiri kanan Laksamana, seraya berkata, “Bunuhlah Melayu ini beri mati-mati. Jangan lagi beri lepas.” Maka penjurit itu
pun berbahagi empat, sepuluh hadapan, sepuluh dari kanan, sepuluh dari kiri,
sepuluh dari belakang, lalu ditikamnya pada Laksamana pada tombaknya. Maka
ditangkis oleh Laksamana dengan sarung keris itu seraya
dihunusnya keris panjangnya seraya tertinggung ke sungai. Maka
ditangkiskan oleh Laksamana tikam penjurit itu empat puluh, suatu pun tiada
mengena Laksamana.
(
HHT, 1997: 281 )
2.4 MOTIF
PENGARANGAN
Dalam Hikayat Hang Tuah, pengarang memperlihatkan
wira agung Melayu iaitu Hang Tuah yang mempunyai cirri kehebatan sebagai
seorang wira pada zaman kesultanan Melayu. Watak Hang Tuah ialah simbol
kesetiaan orang Melayu kepada Rajanya. Hang Tuah pada zaman Kesultanan Melaka
menjadi pahlawan Melaka yang mempunyai sifat-sifat kepahlawanan yang luar biasa
dan mengagumkan. Pahlawan Hang Tuah ini menjadi tokoh lagenda yang gemilang
dari segi perjalanan hidup dan pencapaiannya serta amat disanjung oleh orang
Melayu. Peranan Hang Tuah juga dilihat sebagai lambang semangat orang Melayu pada
ketika itu.
Selain
sifat kesetiaan dan kepahlawanan, Hikayat Hang Tuah ini juga terdapat sifat
kasih dan sayang antara sahabat yang boleh dijadikan pedoman dan tauladan
kepada masyarakat. Selain itu, pengarang memaparkan sikap orang Melayu itu
sendiri yang pada zaman dahulu sehingga kini sering fitnah menfitnah selain
kuat dengan perasaan hasad dengki. Motif kepengarangan akan dilihat dalam
beberapa peristiwa penting dalam Hikayat Hang Tuah ini. Peristiwa pertama
adalah mengenai Hang Tuah dalam buangan di Inderapura, kemudian kami mengupas
pula mengenai perkahwinan Sultan Melaka dengan Tun Teja, dan akhir sekali kami
mengupas pula mengenai pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat.
2.4.1 Hang Tuah dalam buangan di Inderapura (Bab
9)
Bab ini menceritakan tentang sifat hasad dengki dan
khianat pembesar-pembesar negeri Melaka terhadap Hang Tuah. Pembesar negeri
Melaka telah membuat fitnah yang menyebabkan Hang Tuah dibuang ke Inderapura.
Keadaan ini berlaku akibat Hang Tuah terlalu disayangi oleh Raja Melaka sejak
kembali dari Majapahit. Antara peristiwa-peristiwa yang membawa kepada
berlakunya pembuangan Hang Tuah ke Inderapura ialah pembesar-pembesar Melaka
telah bermesyuarat diketuai oleh Patih Kerma Wijaya untuk membuat fitnah ke
atas Hang Tuah supaya Hang Tuah dijatuhkan hukuman oleh Raja Melaka. Hasilnya
Patih Kerma Wijaya memberitahu Raja Melaka bahawa Hang Tuah telah
bermukah dengan dayang istana. Tanpa usul periksa dan perasaan marah, Raja
Melaka menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah dan menitahkan Bendahara
Paduka Raja untuk membunuh Hang Tuah.
Bendahara
Paduka Raja yang mengetahui perkara sebenarnya tidak sempat untuk menyatakan kepada
Raja Melaka. Bendahara Paduka Raja menasihatkan Hang Tuah untuk lari ke
Inderapura dan memperhambakan dirinya kepada Bendahara Seri Buana. Di
Inderapura, Hang Tuah memberitahu bahawa dirinya telah difitnah berlaku curang
dengan dayang istana. Hang Tuah diterima oleh Bendahara Seri Buana dan
ditempatkan di kampung Bendahara Seri Buana.
Hang
Tuah telah menjadi anak angkat Dang Ratna iaitu inang Tun Teja yang paling tua.
Kebetulan pula Dang Ratna tidak mempunyai anak. Oleh sebab budi pekerti Hang
Tuah yang baik, dia disayangi oleh Dang Ratna sehingga menyebabkan Hang Tuah
menjadi buah mulut inang-inang lain seperti Dang Rani, Intan Baiduri, Dang
Merdu, Dang Senja dan Cendera Midani. Semasa bermain sepak raga bersama Tun
Jenal iaitu anak Bendahara Seri Buana, Tun Karim dan Tun Megat, Hang Tuah
telah menunjukkan kepandaiannya bermain sepak raga. Tun Jenal menjemput Hang Tuah
untuk datang kerumahnya. Di rumah Tun Jenal diadakan majlis menyambut
kedatangan Hang Tuah. Hang Tuah ingin melihat tarian dan mendengar nyanyian
Inderapura lalu Tun Jenal menjemput biduanda Tun Teja seperti Dang Merdu, Dang
Kemala, Dang Warna, Dang Senja dan Intan Baiduri untuk menari. Suara dan lemah
lembut tarian Hang Tuah sungguh mengkagumkan mereka.
Selepas
itu, Hang Tuah dipujuk oleh Raja Inderapura untuk menetap di Inderapura. Hang
Tuah berkawan dengan Tun Jenal dan anak pembesar-pembesar di Inderapura. Di
Inderapura, Hang Tuah menceritakan pengalaman-pengalamannya semasa berada di
Majapahit bersama-sama dengan Raja Melaka. Hang Tuah menceritakan tipu muslihat
Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada yang ingin membunuhnya. Hang Tuah
menghadiahkan kain Melaka kepada Tun Teja iaitu puteri Bendahara Seri Buana
yang menjadi tunangan Megat Panji Alam Terengganu. Oleh sebab terlalu suka
mendapat kain daripada Hang Tuah, Tun Teja menjemput Hang Tuah makan di
istananya. Tun Teja mula jatuh hati kepada Hang Tuah sehingga bermimpi. Mimpi
Tun Teja itu disampaikan kepada Hang Tuah melalui Dang Ratna.
2.4.2 Melarikan Tun Teja (Bab 10)
“Lihatlah
si tua celaka ini! Pada bicaraku, tua jadi penawar, ini tua menjadi racun!
Benarkah engkau berani brkata-kata demikian? Ini bukan kata kau katakan padaku.
Orang tua demikian patut digocoh mulutnya dengan tempurung berbulu! Bukan
barang-barang kata dikatakan. Hendak membunuh kita pula, si hancur lebur ini!
Pada bicaranya, kita mahu akan Tun Tuah itu? Sedang Raja Melaka itu Tuanku
hendak akan kita, kita tidak mahu, ini pula hambanya. Seperkara pula, kita pun
sudah bertunangan; bukan ia tidak tahu. Sahaja ia ini berani.”
(Halaman : 230 – 231)
Bab ini mengisahkan tentang Hang Tuah berusaha
kembali ke Melaka dan memperhambakan dirinya kepada Raja Melaka agar
kesalahannya diampunkan. Oleh sebab Raja Melaka ingin beristerikan Tun Teja,
maka Hang Tuah berusaha membawa Tun Teja ke Melaka untuk dipersembahkan kepada
Raja Melaka. Pada mulanya, Hang Tuah berpura-pura cintakan Tun Teja dan
menyuruh ibu angkatya, Dang Ratna iaitu inang tua Tun Teja menyampaikan
hasratnya tersebut kepada Tun Teja. Pada mulanya Dang Ratna tidak berani
menyatakan hasrat Hang Tuah tersebut. Akan tetapi kerana kasihankan kepada Hang
Tuah, Dang Ratna sanggup menyampaikan hasrat hati Hang Tuah kepada Tun Teja.
Tun
Teja berasa amat marah kepada Dang Ratna tatkala Dang Ratna menyampaikan hasrat
Hang Tuah kerana kedudukannya tidak setaraf. Dang Ratna digocoh dengan
tempurung bebulu menyebabkan muka dan mulutnya berdarah. Dang Ratna memberitahu
Hang Tuah perkara yang sebenarnya. Keadaan ini menimbulkan kemarahan Hang Tuah
yang menyebabkan Hang Tuah berusaha menghapuskan arang (malu) di muka Dang
Ratna. Hang Tuah telah membuat ubat guna-guna untuk dilumurkan kepada Tun Teja
supaya Tun Teja tergila-gilakannya. Ubat guna-guna itu diberikan kepada Dang
Ratna untuk dilumurkan kepada Tun Teja.
Dengan
hati yang cekal dan ingin membalas dendam atas perbuatan Tun Teja terhadap
dirinya, Dang Ratna melumurkan ubat guna-guna pada badan Tun Teja. Akibat
daripada kesan ubat guna-guna itu, Tun Teja mula mencintai Hang Tuah. Tun Teja
memberitahu Dang Ratna supaya menyekat Hang Tuah yang berpura-pura hendak
kembali ke Melaka kerana Tun Teja ingin bertemu dengannya. Tun Teja diiringi
oleh dayang-dayang menyamar keluar dari istana ke rumah Dang Ratna untuk
bertemu dengan Hang Tuah. dalam pertemuan itu, masing-masing mencurahkan isi
hatinya. Dari sinilah lahirnya cinta suci Hang Tuah terhadap Tun Teja. Tetapi
disebabkan niatnya untuk membawa Tun Teja kepada Raja Melaka, akhirnya
timbul konflik dalam diri Hang Tuah. Bagi diri Hng Tuah tiada raja lain
di dunia yang diperhambakan selain daripada Raja Melaka.
Keinginan
Hang Tuah untuk melarikan Tun Teja ke Melaka telah diterima oleh Tun Teja. Hal
ini terjadi kerana Tun Teja ingin melarikan diri dari dikahwinkan denga Megat
Panji Alam Terengganu. Tatkala Hang Tuah berusaha untuk melarikan Tun Teja ke
Melaka, Hang Tuah bertemu dengan Tun Ratna Diraja dan Tun Bija Sura yang singgah
di Inderapura. Hang Tuah menceritakan perihal dirinya yang difitnah dan
usahanya untuk membawa Tun Teja ke Melaka untuk Raja Melaka. Dengan bantuan Tun
Ratna Diraja dan Tun Bija Sura, Hang Tuah telah berjaya melarikan Tun Teja
bersama-sama dengan Dang Ratna ke Melaka. Bendahara Seri Buana menghantar
angkatan perang di bawah pimpinan Seri Maharaja Lela, Tun Jena dan Tun Pekerma
untuk menyerang Hng Tuah yang berlabuh di Pulau Tinggi. Tetapi angkatan itu
telah dapat dikalahkan oleh Hang Tuah dengan bantuan Tun Bija Sura dan Tun Rana
Diraja.
Semasa
Melaka menyambut rombongan, yang membawa gajah dari siam, Raja Melaka
terpandang Hang Tuah di dalam perahu tersebut. Di sini Raja Melaka mulai
menyesal dengan tindakannya. Hang Tuah memberitahu bahawa dia menetap di
Inderapura dan tidak akan bertuan selain daripada Raja Melaka dan memberitahu
bahawa dia membawa Tun Teja dari Inderapura yang menjadi idaman Raja Melaka.
Raja Melaka terlalu sukacita dan menghadiahkan sepersalinan kepada Hang Tuah
seperti Raja Melaka sendiri yang mengenakan pakaian kepada Hang Tuah. Raja
Melaka memerintahkan Bendahara Paduka Raja membuat persiapan kedatangan Tun
Teja.
Sekali
lagi Hang Tuah menghadapi dilemma dan konflik kerana Tun Teja tidak mahu
berkahwin dengan Raja Melaka. Hatinya adalah untuk Hang Tuah dan kedatangannya
ke Melaka sebab ingin bersama-sama dengan Hang Tuah. Oleh kerana cintanya
terhadap Hang Tuah, Tun Teja sanggup memakan ubat pembenci yang dibuat oleh
Hang Tuah agar hatinya akan membenci Hang Tuah . Akhirnya, Tun Teja telah
dikahwinkan dengan Raja Melaka.
Maka
jelaslah disini menunjukkan bahawa pengarang ingin menunjukkan kesetiaan dan
ketaatan Hang Tuah kepada Raja Melaka sehingga sanggup membahayakan diri dan
memberikan cintanya kepada Tuanku. Sebagai hamba rakyat, masyarakat dahulu
seharusnya taat setia kepada pemerintah dan jika tidak akan dianggap derhaka
dan akan ditimpa tulah. Pengajarannya kepada masyarakat pada hari ini ialah,
sebagai rakyat biasa kita seharusnya menghormati dan mentaati pemerintah atau
ketua negara yang menjadi lambang kemegahan orang Melayu.
2.4.3 Hang Tuah Bertikam dengan Hang Jebat (Bab
17)
Maka
Laksamana pun bermain keris panjangnya dua tiga lompat dirasainya tubuhnya
tiada seperti dahulu, tiada memegang keris dan pedang. Maka Laksamana pun
berurut lima hari lima malam. Maka laksamana pun dibawa oleh Bendahara
menghadap Raja. Maka titah Baginda, ‘Dapatkah kekasihku membunuh Si Jebat
demikian itu?’ Maka sembah Laksamana, ‘Daulat Tuanku, patik mohonkan ampun,
patik pohonkan keris pandak patik supaya patik pergi membuangkan Si Jebat
derhaka itu.’ Maka titah raja, ‘Ayu laksamana, keris itu sudah kita berikan Si
Jebat derhaka itu.’. ‘Wah, sayangnya keris itu beroleh akan Si Jebat.
Siapatah dapat berhadapan dengan dia?’
(Halaman 375-376)
Dalam bab ini, pengarang menceritakan kepahlawanan
Laksamana Tun Tuah yang bersedia melaksanakan tugas untuk membunuh Paduka Raja
Tun Jebat sehingga Raja Melaka menganugerahkan keris Parung Sari, iaitu keris
kerajaan Melaka yang diwarisi daripada ayahanda baginda di Bukit Siguntang.
Dalam pertarungan dengan Paduka Raja Tun Jebat, Laksamana Tun Tuah telah
berjaya mendapatkan semula keris Taming Sari dari tangan Paduka Raja Tun Jebat
melalui tipu helah Laksaman Laksamana Tun Tuah . Setelah itu, Laksamana Tun
Tuah berjaya menikam Paduka Raja Tun Jebat tetapi tidak menemui ajal dan
mengakibatkan Paduka Raja Tun Jebat yang cedera parah itu lari dan mengamuk di
sekitar Kota Melaka dan telah membunuh ramai orang yang tidak berdosa. Paduka
Raja Tun Jebat akhirnya berjaya menemui Laksamana Tun Tuah dan Paduka Raja Tun
Jebat mati di ribaan Laksamana Tun Tuah. Sebalum meninggal dunia Paduka Raja
Tun Jebat sempat berpesan supaya Laksamana Tun Tuah memelihara anaknya yang
akan dilahirkan oleh Dang Baru.
Selepas
kematian Paduka Raja Tun Jebat, istana Melaka yang baru telah dibina. Mayat
Paduka Raja Tun Jebat pula digantung selama tujuh hari di tengah-tengah jalan
raya untuk menjadi suatu pengajaran kepada orang lain. Tidak lama kemudian,
Dang Baru pun melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Hang Kadim, seperti
yang telah dijanjikan oleh Laksamana Tun Tuah Tun Tuah, Hang Kadim telah
dihantarnya ke Inderapura dan dipelihara oleh Bendahara Seri Buana iaitu
ayahnda Tun Teja.
Antara
motif dan pengajaran yang dalam diambil dalam bab 17 ini ialah keakraban talian
persahabatan antara Hang Jebat dan Hang Tuah, dimana Hang Jebat berasa amat
marah dengan Raja Melaka kerana menghukum sahabatnya tanpa usul periksa. Namun,
kesetiaan Hang Tuah kepada Raja menyebabkan Hang Tuah sanggup membunuh rakannya
sendiri. Pengarang ini menunjukkan bahawa tuduhan melulu tanpa usul periksa
akan menyebabkan kerugian dan penyesalan yang panjang.
3.0 PENUTUP
Sebagai kesimpulannya, walaupun pada
asalnya Hikayat Hang Tuah tergolong dalam sastera sejarah, tetapi
jika dilihat dari segi tema dan persoalan, Hikayat Hang Tuah sememangnya
berbeza dengan teks historigrafi lain yang menceritakan sejarah sesebuah negeri
tetapi hikayat ini menceritakan sejarah hidup Hang Tuah, oleh sebab itu
wajarlah teks ini digolongkan dalam karya agung kesusasteraan Melayu. Di dalam
teks ini terdapat banyak sumber sejarah berkenaan negeri Melaka di samping
gambaran corak organisasi pentadbiran politik, kebudayaan dan sosio-ekonomi
masyarakat Melayu silam itu. Justeru kerana sifat peribadi Hang Tuah itu
diceritakan melalui pendekatan kesusasteraan epik maka segala aspek yang
berkaitan dengan unsur-unsur sastera epik terdapat di dalam hikayat ini.
Berdasarkan analisis yang dibuat iaitu berkaitan dengan analisis di sebalik
konsep, kekuatan dan motif kepengarangan, maka jelaslah bahawa Hikayat Hang
Tuah dapat dijadikan sebagai contoh dan teladan kepada masyarakat generasi
mendatang. Hal ini demikian kerana, Hang Tuah digambarkan oleh pengarang
sebagai seorang tokoh yang serba boleh yang menyebabkan negeri Melaka menjadi
sebuah negeri yang terkenal pada masa dulu. Pemikiran pengarang melalui tema,
persoalan dan fungsi jelas menampakkan tentang ketokohan dan kepahlawanan Hang
Tuah.
Pendek
kata, karya agung Melayu merupakan warisan budaya kesusasteraan bangsa Melayu.
Karya agung Melayu tradisional merupakan penentuan karya agung Melayu yang
dianggap sebagai hasil kreativiti seni persuratan dan penceritaan dan sebagai
pembentuk tradisi bangsa sehingga memberi kesedaran kebangsaan bangsa Melayu
sepanjang zaman.
No comments:
Post a Comment