PENGENALAN
Karya
agung ialah karya klasik yang memberikan kesan budaya, pemikiran, pandangan
serta falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan sesuatu bangsa. Karya agung
yang dihasilkan merupakan pembentuk dan cerminan budaya dan tamadun sesuatu
bangsa. Ia melambangkan keunggulan daya cipta sesuatu bangsa dalam membina
tradisi dan identiti yang tersendiri. Bangsa Melayu turut memiliki khazanah
karya agung yang bernilai tinggi. Karya agung Melayu mengandungi idealisme,
nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan
masyarakatnya dalam bentuk sastera dan seni. Karya agung Melayu ditulis dan
diungkapkan dalam bahasa Melayu yang tidak mengambil kira bangsa atau etnik
dalam kawasan dunia Melayu. Antara contoh karya agung Melayu ialah Salalatus-Salatin,
Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh dan sebagainya.
Nilai
adalah konsepsi abstrak tentang sesuatu yang berharga dalam diri manusia
mengenai perkara yang dianggap baik dan perkara yang dianggap buruk (Sri
Saptina H, Dwi Nugroho dan M.A. Purwandari, 2008: 7). Menurut Bagja Waluya
(2007: 25) pula, nilai merupakan suatu bentuk abstrak dari hal-hal yang
bersifat ideal dan disepakati bersama dalam masyarakat. Nilai secara sederhana
merupakan suatu hal yang dianggap baik atau buruk bagi kehidupan. Nilai
merupakan sesuatu yang abstrak. Secara umumnya, nilai boleh diklasifikasikan
kepada lima jenis, iaitu nilai sosial, nilai kebenaran, nilai keagamaan, nilai
kebaikan atau nilai moral dan nilai keindahan (Bagja Waluya, 2007: 27).
Nilai
sosial adalah suatu yang sudah melekat dalam masyarakat yang berhubung dengan
sikap dan tindakan manusia. Nilai kebenaran merupakan nilai yang bersumber pada
unsur akal manusia (rasio, budi dan cipta). Nilai kebenaran merupakan suatu
nilai yang mutlak sebagai suatu hal yang kudrat dan Allah S.W.T memberikan
nilai kebenaran akal fikiran manusia. Nilai kebaikan atau nilai moral pula
melibatkan nilai yang bersumberkan pada kehendak atau kemahuan dan nilai
keagamaan adalah nilai ketuhanan yang tertinggi dan mutlak. Nilai ini
bersumberkan kepada hidayat dari Tuhan Yang Maha kuasa. Berbeza pula dengan
nilai keindahan. Nilai keindahan adalah nilai yang bersumberkan pada unsur rasa
manusia (estetik). Keindahan adalah bersifat universal dan semua orang
memerlukan keindahan. Namun, setiap orang berbeza-beza dalam menilai sesebuah
keindahan.
Definisi Estetik
Menurut
Kamus Dewan (2007), estetik bermaksud bukan keindahan atau penghargaan terhadap
keindahan (terutamanya dalam bidang seni), manakala estetika pula bermaksud
cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa
dan lain-lain. Estetik menurut Agus
Sachari (2002: 2), adalah suatu ilmu filsafat yang telah menempatkannya pada
suatu titik antara realiti dan abstrak, serta antara keindahan dan makna.
Perkataan estetik dalam bahasa Yunani ialah ‘aisthesi’ yang membawa maksud hal-hal yang
dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi ialah ‘kepekaan’.
Estetik juga boleh diertikan sebagai persepsi pancaindera (sense of perception). Ahli Filsafah Jerman bernama Alexander
Baumgarten (1714-1716) adalah orang pertama yang telah memperkenalkan perkataan
‘aisthetika’. Namun demikian, Cottfried
Leibniz (1646-1716) telah meneruskan pendapatnya mengenai estetik dan memberikan
penekanan kepada pengalaman seni sebagai suatu bentuk ilmu.
Pandangan-pandangan
mengenai estetik di atas, setiap waktu mengalami pergeseran, sejalan dengan
pergeseran konsep estetik setiap zaman. Pandangan bahawa estetik hanya mengkaji
segala sesuatu yang indah (cantik dan gaya seni), telah lama berubah kerana terdapatnya
kecenderungan karya-karya seni moden yang tidak lagi menawarkan kecantikan seperti
zaman Klasik, tetapi lebih kepada makna dan aksi mental.
Filsafat Keindahan adalah Suatu Teori Tentang
Nilai
Banyak
penulis pada masa dulu menamakan ‘Filsafat Keindahan’ sebagai ‘Kristisisme’. Hal ini demikian kerana,
kritik merupakan apresiasi bernalar tentang karya seni. Namun, untuk menikmati
alam bukanlah dengan mengkritik tetapi dengan merasakan dan menikmati. Kritik
terlalu menekankan penilaian yang disengajakan dan perbandingan dengan yang
standard.
Di
zaman sains moden kini, filsafat keindahan dikaitkan dengan estetik. Estetik
menurut Mudji Sutrisno et al (2005:
282) adalah teori tentang persepsi dalam erti yang sangat luas dan mencakupi
semua jenis persepsi kenikmatan dan penderitaan. Estetik lebih menekankan
peranan subjek dalam menikmati seni. Lazimnya, nilai estetik adalah bersifat
positif, yakni merupakan persepsi terhadap perkara yang baik. Dalam memberikan
persepsi terhadap yang indah, penilaian sering bersifat intrinsik, berdasarkan
pengalaman langsung dan tidak pernah sedar mempertimbangkan nilai kegunaan (utility) dalam objek seni. Estetik
sering dikaitkan dengan kenikmatan untuk menghindari penderitaan.
Landasan Estetik
Cita
rasa keindahan yang biasa dikatakan memiliki nilai estetik adalah sebahagian
dari kehidupan manusia kerana makhluk manusialah yang hanya memiliki cita rasa
keindahan. Cita rasa keindahan melibatkan semua domain yang ada pada diri
seseorang dan yang paling dominan adalah aspek perasaan. Maxine Grenee dalam
Tim Pengembangan Ilmu Pendidikan (2007: 65) mengupas secara terperinci mengenai
komponen-komponen estetik beserta implikasinya terhadap pendidikan. Maxine
Grenee menyatakan bahawa nilai estetik perlu diajarkan kepada peserta agar
mereka tahu bagaimana cara belajar yang bermakna. Dalam pendidikan nilai, baik
guru mahupun siswa, melibatkan proses pemahaman rasa, pilihan peribadi dan
tatapan bentuk yang erat kaitannya dengan perwataan atau karakteristik
estetika.
KONSEP KIENDAHAN MELAYU KLASIK
Pengertian
istilah ‘keindahan’ tidak sederhana lagi ketika dikaitkan dengan pemikiran
seni. Persoalannya yang mengundang pemikiran adalah membezakan keindahan
sebagai rasa (sense) dan keindahan
sebagai fenomena (kecantikan, keserasian) yang menimbulkan rasa ini. Di dunia
seni, selok-belok keindahan dikenali sebagai persoalan ‘estetik’. Istilah
‘estetik’ ini berasal dari istilah dalam bahasa Yunani kuno, iaitu ‘aesthesis’, yang pengertiannya adalah
‘persepsi rasa’ (sense perception).
Dalam kebudayaan Yunani, persepsi rasa ini merupakan sebahagian dari dunia filsafat
dan boleh diertikan sebagai ‘fikiran yang muncul dari rasa’.
Pada
dasarnya, sastera klasik merupakan karya sastera budaya dan etnik (daerah).
Bangsa-bangsa di kawasan Asia Tenggara sangatlah beruntung kerana memiliki khazanah
sastera klasik yang amat beragam dan kaya. Wilayah-wilayah budaya dan etnik itu
masing-masing memiliki sastera klasik, yang semuanya memiliki sifat-sifat yang
khas. Karya sastera ini timbul dan berkembang pada zaman yang belum mengenal
istilah demokrasi, HAM (Hak Asasi Manusia), industrialisasi, globalisasi, dan
anasir-anasir moden lainnya.
Sastera
klasik sebahagian besarnya berakar dari sikap hidup tradisional yang feudal.
Adalah wajar apabila kemudiannya muncul pertanyaan; nilai apa lagi yang masih
dianggap relevan dan bermanfaat dari penelitian sastera klasik dalam konteks
kehidupan yang serba moden seperti sekarang. Dalam karya-karya klasik memang
terkandung pemikiran-pemikiran yang dekaden, penuh tahyul, dan menidurkan. Hal
ini demikian sukar untuk diterjemahkan. Cerita-cerita masa lampau mengandungi
banyak unsur yang tidak relevan lagi dengan nafas modernisme dan semangat
demokrasi. Karya dan kehidupan klasik (tradisional) sukar dipisahkan dari unsur
feudalisme dan mistisisme. Namun demikian, hal lain yang tidak boleh dilupakan
adalah bahawa sastera klasik merupakan catatan hidup dan kehidupan manusia masa
lampau, sebagai sebahagian dari karya-karya kemanusiaan. Hal ini bermakna,
karya-karya sastera klasik tidak mungkin lepas dari nilai-nilai kemanusiaan
yang universal.
Bahawa
masa lampau dan masa kini adalah merupakan sebuah jurang. Antara kedua-duanya
memerlukan sebuah jambatan. Pertemuan antara keduanya sangatlah penting untuk
membangun satu bentuk konvergensi budaya yang berkeperibadian, tanpa harus
kehilangan identiti kebangsaannya.Penggalian terhadap sastera klasik diharapkan
dapat memperoleh nilai pengalaman, perasaan, dan pemikiran esensial
kemasyarakatan. Pemerolehan akan nilai-nilai tersebut sangat bermanfaat untuk
menambah kearifan dan kebijakan hidup, baik di masa sekarang mahupun pada masa
yang akan datang (Alfian et al,
1992).
Penggalian-penggalian
terhadap hal-hal di atas telah banyak dilakukan, baik oleh para filologi mahupun
ahli-ahli dari disiplin ilmu lain (antropologi, sosiologi, dan sebagainya).
Hasilnya, mereka mengakui bahawa karya-karya sastera klasik ternyata sarat dengan
nilai terutamanya estetik. Dalam karya-karya klasik banyak terkandung
pesan-pesan moral, didaktis, dan adat-istiadat (Djamaris, 1990; Fang, 1991; dan
Danandjaja, 1994). Temuan-temuan tersebut tentunya bukan sesuatu yang akhir.
Yang selama ini dilakukan umumnya masih terpisah-pisah, hanya berfokus pada
karya sastera itu sendiri. Jenis sastera Melayu Islam merupakan karya klasik
yang belum mendapat perhatian sebagaimana mestinya. Padahal karya-karya ini lebih
dominan dalam khazanah perkembangan sastra Nusantara.
Konsep Klasik
Istilah
yang sama maksud dengannya ialah tradisional atau lama. Istilah tradisional
digunakan bagi menggantikan istilah lazim yang digunakan sebelum ini (lama dan
klasik). Istilah klasik mempunyai makna dan nilai estetik atau keindahan yang
lebih tinggi dari perspektif dunia. Istilah ini juga mengandungi dan
mengekalkan nilai estetik serta sifat keindahan pada semua keadaan dan zaman
serta melewati zamannya sendiri. Ketinggian nilai bergantung kepada
‘kelamaannya’ dan ciri-cirinya yang diterima dengan utuh oleh semua pandangan
di peringkat antarabangsa.
Istilah
klasik juga mengandungi makna masa yang menerangkan tempoh waktu sesuatu karya
dihasilkan dan lebih tinggi ‘kedudukannya’ berbanding makna tradisional.
Istilah lama tidak membawa makna yang
mengandungi ketahanan atau keutuhan nilai baik dari sudut estetik mahupun nilai
zaman. Istilah ini tidak sesuai bagi menggambarkan karya-karya agung
kesusasteraan Melayu yang kebanyakan hasilnya telah dibuktikan mengandungi nilai-nilai
peradaban yang tinggi.
Konsep Kesusasteraan Melayu Klasik
Kesusasteraan
Melayu Klasik adalah satu bukti dokumen tentang wujudnya kesusasteraan di
wilayah Indonesia dan Malaysia sejak berabad lamanya (Kamarudin Husin dan Siti
Hajar Abdul Aziz, 1998: 4). Tanpa kesusasteraan Melayu klasik, pengetahuan kita
tentang pemikiran dan kehidupan generasi dahulu amat terbatas. Kesusasteraan
Melayu Klasik ini juga menjadi ukuran dalam menilai cara pemikiran masyarakat
Melayu lama. Hal ini demikian adalah disebabkan pemikiran yang dipengaruhi oleh
pendidikan dan lingkungan hidup.
Menurut
kamus Dewan (dalam Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz, 1998: 4),
‘klasik’ bermaksud serius dan abadi nilainya, tertinggi mutunya dan menjadi
standard kepada yang lainnya, mempunyai gaya yang sederhana dan tidak berubah
mengikut masa, mempunyai ciri-ciri yang lazim. Secara ringkas, sastera klasik
ialah bentuk sastera yang masih kekal dan sentiasa subur dalam kalangan
masyarakat Melayu sama ada sebagai sumber pengetahuan, amalan, pengajaran,
sempadan tingkah laku atau sumber asas perundangan dan pengenalan masyarakat
Melayu kepada masyarakat luar dari alam Melayu. Sastera klasik berbeza dengan
istilah sastera lama kerana ‘lama’ mempunyai sifat yang sementara dan lawan
kepada baru. Dengan kata lain, ia mudah dilupakan setelah datangnya bentuk
sastera yang terbaru. Begitu juga dengan sastera tradisional bermaksud sastera
yang bersifat atau mengikut tradisi secara turun temurun.
Istilah
‘klasik’ merangkumi makna ‘lama’, ‘tradisional’ dan ‘klasik’ itu sendiri.
Menurut Holman dalam buku Kesusasteraan
Melayu Tradisional (1993: 7), klasik dimaksudkan sebagai:
‘… belonging to established tradision; used especially to designate the
literature or culture of Greece and Rome or literature which partakes of its
qualities…it may mean literature thah has gained a lasting recognition, or it
may mean literature that exhibits the qualities of classicism. When it used to
describe the attributes of a literary work it usually implies objectivity in
the choice and hadling of the theme, simplicity of the style, clarity,
restraint and formal structure.’
Walaupun
terdapat penentangan terhadap penggunaan label klasik yang digunakan dalam kesusasteraan
Melayu lama atau tradisional namun, huraian makna klasik yang dipetik Holman di
atas telah memberi ruang yang cukup luas untuk merangkumi kesusasteraan Melayu
Tradisional. Bentuk dan cirinya telah menjadi tradisi yang mantap dengan
mempamerkan nilai-nilai klasikisme dalam kelaziman sasteranya. Dari segi
persoalan, ia juga menunjukkan penguasaan tema, kesederhanaan gaya, ketepatan
dan struktur yang formal.
Selain
itu, menurut Muhamad dalam Kesusasteraan
Melayu Tradisional, ukuran yang digunakan ialah pendapat yang merujuk
tempat dan nilai sesuatu nilai itu kepada masyarakat yang melahirkan dan
mewarisinya. Kesusasteraan Melayu ‘klasik’ telah mengalami ledakan perkembangan
pada abad ke-14 hingga ke-16 M dengan kedatangan Islam. Islam telah membawa
tulisan jawi yang merupakan tulisan yang amat penting kepada para penganut
Islam.
MAKNA LUARAN DAN DALAMAN
Sesebuah
karya lazimnya mempunyai konsep keindahan dari aspek makna luaran dan juga
makna dalaman seperti berikut:
Makna Luaran
Menurut
V. I. Braginsky (1994), keindahan luaran merupakan keindahan yang dicerap
melalui pancaindera. Justeru, keindahan itulah yang mesti disampaikan kepada
pembaca oleh karya sastera zaman klasik dengan cara-cara tersendiri, iaitu
melalui keindahan luaran sebagai bentuk, isyarat dan petunjuk.
Makna Dalaman
Menurut
V. I. Braginsky (1994), keindahan dalaman merupakan keindahan yang tersirat,
iaitu tidak dinyatakan dan tidak dapat dirasakan tetapi yang dicerap akal.
Keindahan dalaman itu memberi landasan pada keindahan didaktik.
Kaitan dan Perbezaan antara Makna Luaran dan
Makna Dalaman
Dalam
bidang sastera, keindahan dan estetik dapat dikesan melalui keseimbangan bentuk
luaran dan dalaman. Isinya juga mengalami transformasi ke arah pembaharuan
nilai. Keindahannya, seimbang dalam nada, diksi, rima, ritma, matra suku kata,
asonansi, simile, merupakan elemen-elemen penting, khususnya dalam karya
sastera puisi iaitu sajak. Selain itu, ada nilai falsafah yang sederhana,
kekuatan idea dan pemikiran serta kekuatan penguasaan bahasanya membawa dan
memilih gaya baharu. Antaranya penyair Usman Awang (Pak Utih, Bunga Popi, Penjual Pisang di Kaki Lima, Balada Terbunuhnya
Beringin Tua dan Pantun Moden), A.Latiff Mohidin (Rawa-Rawa dan Mangkuk Sejarah
Mangkuk Berdarah). T. Alias Taib (Tukang
Gunting dan Pasar Pengalaman) dan beberapa sajak penulis lain
yang tidak dapat disebutkan di sini.
Konsep makna luaran dan makna
dalaman telah dipaparkan dengan terperinci oleh para pengikut aliran sufi
Wahdat al-Wujud, terutamanya oleh Abd al-Karim al-Jili yang memandang keindahan
dalaman sebagai keindahan Ilahi dan keindahan luaran sebagai keindahan alam
fizikal. Konsep berkenaan tidak asing pula bagi para pengarang Melayu yang
sering menamakan makna dalaman dengan kata yang elok dan makna luaran sebagai
indah. Makna luaran dan makna dalaman terpapar kepada pembaca melalui teks
karya sastera, iaitu melalui teks yang mengikut hukum estetik dan yang diresapi
oleh keindahan.
Ajaran tentang dua jenis atau lebih
tepat dua aspek makna juga menampung pengertian ‘faedah’ atau ‘manfaat’
sesebuah karya sastera. ‘Faedah’ tersebut lahir daripada lubuk karya sastera
daripada susunannya yang diatur secara khusus, daripada pemakaian imejnya yang
istimewa, serta daripada gaya bahasa yang berlainan daripada gaya bahasa
sehari-hari. Maka, faedah itu ternyata sama sahaja dengan keindahan dalaman atau
keindahan didaktik, manakala mencerap keindahan luaran dengan deria lihat atau
deria dengar manusia hanya dapat menghiburkan duka dan lara.
Keindahan dipandang oleh para
sasterwan Melayu pada Abad Pertengahan sebagai faedah yang paling rendah. Walau
bagaimanapun, makna luaran juga dapat lahir hanya dalam struktur teks yang
teratur. Bukanlah sesuatu kebetulan dalam cerita-cerita panji, sasterawan
Melayu yang menyatakan bahawa hanya dengan bantuan karya sastera mereka,
pembaca dapat melepaskan diri daripada duka yang merundung mereka. Dengan
meluahkan perasaan secara sembarangan, nescaya mereka tidak akan terhibur (V.
I. Braginsky, 1994:8). Untuk membezakan dua jenis makna luaran dan makna
dalaman, Imam Ghazali menulis:
“Ketahui
olehmu bahawa orang yang terkongkong oleh imaginasi dan pancaindera barangkali
menganggap keindahan dan kemanisan ialah tidak lain daripada harmoni rupa dan
kebagusan warna… memang, keindahan yang disangka manusia sebagai sesuatu yang
menarik pandangan dan paling sering manusia melihat kecantikan manusia lain.
Oleh itu, dia mungkin berfikir, mustahil membayangkan keindahan sesuatu yang
tidak dilihat mata, yang tidak terjangkau imaginasi, yang tidak mempunyai rupa
dan warna… ini jelas satu kesesatan. Keindahan tidak terbatas dalam rangka
benda-benda yang dapat dilihat dan tidak pula merupakan sekadar keselarasan
bentuk dan rupa yang penuh harmoni ataupun kesepadanan putih kulit dan merah
pipi. Ketahui olehmu bahawa sesuatu yang tidak dirasakan oleh pancaindera boleh
juga dikira indah dan baik. Ketika orang berbicara tentang akhlak mulia
maksudnya adalah pengetahuan, kecerdikan, budi bahasa, keberanian, iman kukuh,
kemurahan hati dan lain-lain sifat baik. Banyak daripada sifat-sifat tersebut
dihayati bukannya dengan pancaindera, tetapi dengan sinar akal. Meskipun
sesebuah imej maujud atau mujarad imej itu sama dihiasi keindahan dan daya
memikat hati, tetapi imej yang dapat dilihat (maujud) terdedah kepada
penglihatan, manakala imej dalaman (mujarad) dicerap dengan akal. Yang tidak
memilih akal itu tidak sedar akan imej mujarad, tidak senang kerananya, tidak
mencintainya dan tidak pula cenderung kepadanya, sedangkan yang memiliki akal
yang lebih kuat daripada pancaindera lebih mencintai mujarad daripada maujud.
Alangkah besar bezanya antara orang yang kagum kepada ukiran di dinding kerana
keindahan rupa luarannya dan orang yang kagum kepada seorang nabi kerana keindahan
rohaninya”.
MAKNA LUARAN DAN DALAMAN DALAM KARYA KESUSASTERAAN
Golongan
karangan yang termasuk dalam sfera keindahan (luaran) merupakan peringkat
pertama (paling rendah) dalam sistem kesusasteraan Melayu klasik. Golongan
berkenaan merangkumi karya-karya yang bertujuan menanam harmoni dalam hati
manusia dan dengan demikian mencipta syarat bagi mendidik budi bahasa pembaca.
Karya-karya tersebut merupakan sejenis continuum. Hal ini disebabkan antara
karya-karya itu, terdapat karangan bertulis yang sekali gus wujud dalam bentuk
lisan (kalau dibacakan serta karya-karya teatrikal (untuk dipentaskan sebagai
lakon wayang). Golongan berkenaan menampung hikayat yangmengakar dalam epos
Sanskrit dan purana. Hikayat tersebut sampai ke dunia Melayu menerusi
perantaraan Jawa (Hikayat Seri Rama, Hikayat Pendawa Jaya, Hikayat Sang Boma
dan lain-lain). Cerita-cerita panji yang berasal daripada kesusasteraan Jawa
mesti juga digolong dalam kumpulan karya peringkat pertama.
Sfera faedah (keindahan dalaman)
yang merupakan peringkat kedua tertinggi dalam sistem kesusasteraan Melayu
klasik terdiri daripada dua kumpulan genre pelbagai ‘cermin’ dan pelbagai
‘sejarah’. Menurut tradisi Islam, manusia ialah makhluk berakal sejak
kelahirannya. Tetapi akalnya itu masih dalam potensi sahaja. Akal bagaikan
lilin yang belum diberi rua. Pengetahuan yang meninggalkan bekas-bekasnya pada
‘lilin’ itu boleh membentuk manusia dalam dua cara. Manusia boleh dididik dan
didewasakan sebagai makhluk sosial dengan perasaan dan fikiran halus, iaitu
sebagai makhluk beradab atau sebagai peribadi yang dahagakan pengetahuan
sistematik tentang pelbagai bidang alam semesta seperti ilmu ketuhanan.
Manusia yang beradab itu dididik
oleh karangan yang merupakan cermin didaktik. Dalam kesusasteraan Melayu
klasik, karangan yang merangkumi cermin-cermin itu sendiri merupakan sejenis
buku pelajaran etika, kebijaksanaan hidup serta pengurusan negara (Taj
as-Salatin, Bustan as-Salatin, nasihat-nasihat ringkas buat raja-raja yang
biasanya ditulis dalam bentuk prosa dan kadang-kadang puisi). Di samping itu,
genre cermin juga meliputi hikayat-hikayat berbingkai (Kalilah dan Daminah,
Hikayat Bakhtiar dan Hikayat Bayan Budiman), antologi besar dan kecil yang
bersifat didaktik serta syair-syair yang membincangkan soal etika, kadangkala
dalam bentuk alegori.
Dalam sistem kesusasteraan Melayu
klasik, sfera fungsional yang menduduki peringkat ketiga (yang tertinggi)
bermatlamat untuk menyempurnakan rohani pembaca. Sfera penyempurnan rohani ini
terdiri daripada karya agama dan tasawuf yang sering berhubung dengan konsep
keindahan dalaman atau makna dalaman. Berlainan daripada karangan sfera
keindahan luaran dan sfera faedah, karya-karya itu menunaikan tugasnya secara
tidak langsung. Hanya rahmat Allah yang dilimpah kepada mereka yang dipilih-Nya
dapat membuka hati nurani manusia dan menjadikan hati mampu memandang atau
bermeditasi (memusyahada) haq terala. Dalam pada itu, hati nurani mesti
sentiasa bersedia menerima kurnia itu. Oleh itu, kesusasteraan agama dan
tasawuf mengukuhkan imam sambil menjelaskan kepadanya hukum syariat, usuluddin
dan metafizika Islam, menggambarkan tahap-tahap pengenalan diri, memberi amaran
tentang cara mengatasi bahaya tersebut.
Hikayat Sejarah Melayu / Sulalatus Salatin
Sejarah
Melayu lebih menceritakan mengenai asal-usul raja Melayu serta menceritakan
mengenai kerajaan Melayu hingga kedatangan orang Portugis. Sejarah Melayu ini
terbahagi kepada dua bahagian iaitu, bahagian pertama lebih kepada unsur mitos
dan dongeng yang menceritakan mengenai asal-usul raja-raja dalam sesebuah
negara, asal-usul negeri dan sabagainya. Misalnya, mengisahkan asal-usul
raja-raja melayu yang dikatakan berasal daripada keturunan Raja Iskandar
Zul-Karnain. Sebermula, mengisahkan apabila perkahwinan antara Raja Suran yang
masuk ke dalam laut dan mengahwini Puteri daripada negeri Barsam yang bernama
Puteri Mahtabul. Hasil perkahwinan mereka ini melahirkan tiga orang putera yang
diberi nama Nila Utama, Nila Pahlawan dan juga Kerisyna Pandita. Ketiga-tiga putera
ini telah turun ke Bukit Siguntang dengan penuh gemilang apabila mereka turun
di sebuah kawasan sawah padi yang dimiliki oleh Wan Malini dan Wan Empuk. Wan
Empuk dan Wan Malini telah berkahwin dengan Nila Pahlawan dan Kerisyna Pendita.
Manakala, Nila Utama telah dikahwinkan dengan anak Demang Lebar Daun.
Pembukaan negeri Singapura oleh Nila
Utama juga banyak berunsurkan mitos misalnya penemuan binatang yang lalu
dihadapan Demang Lebar Daun yang sungguh tangkas dan menjadikan nama binatang
tersebut iaitu singa. Maka dari nama Temasek berubah kepada nama Singapura.
Cara pemerintahan raja-raja melayu turut diceritakan dalam Sejarah Melayu yang
lebih menceritakan mengenai kelima-lima pemerintah Singapura berdasarkan
unsur-unsur lagenda yang berkait dengan kegagahan dan kekuatan. Raja Iskandar
Syah telah diserang oleh orang Majapahit dan menyebabkan baginda terpaksa
melarikan diri ke Melaka lalu membuka kerajaan Melaka.
Terdapat juga pelbagai mitos mengenai
pembukaan Samudera-Pasai yang dikaitkan dengan penemuan seekor semut besar. Dalam
penceritaan mengenai pembukaan negeri Samudera-Pasai juga dikaitkan dengan
kedatangan Islam ke Alam Melayu apabila Merah Silu yang bermimpi berjumpa
dengan Nabi Muhammad S.A.W dan mengajar Merah Silu mengucapkan dua kalimah
syahadat. Selepas daripada peristiwa tersebut, baginda Merah Silu telah
menukarkan namanya kepada Sultan Malikul Salleh.
Sejarah Melayu juga mengisahkan
tentang zaman kegemilangan dan zaman kejatuhan Melaka ke dalam tangan Portugis
apabila angkatan Peringgi yang diiringi oleh Alfonso d’Albuquerque menyerang
Melaka dan menyebabkan Sultan Mahmud yang memerintah Melaka pada ketika itu
melarikan diri ke negeri Pahang. Maka pelantikan Tun Seri Lanang sebagai
Bendahara Diraja oleh Sultan Abdullah Ma’ayah Syah untuk mencatat mengenai
salasilah diraja itu maka terhasilnya catatan yang dikenali sebagai Sejarah
Melayu ataupun Sulalatus Salatin.
Makna Luaran dan Dalaman dalam Hikayat Sejarah
Melayu
Terdapat
sepulah makna luaran dan dalaman yang dijumpai dalam buku Hikayat Sejarah
Melayu Abdul Rahman Haji Ismail (1998). Antara yang dapat dikesan ialah:
“Maka
ada seorang raja terlalu amat besar kerajaannya, setengah negeri Hindi dalam
tangannya, Raja Kida Hindi namanya.”
(Sejarah Melayu, 1998: 67)
Dalam ayat di atas,
kita dapat lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan mengenai adanya
seorang raja yang mempunyai sebuah kerajaan yang amat besar dan setengah
daripada negeri Hindi berada di dalam tangannya. Beliau bernama Raja Kida
Hindi. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang ingin menyampaikan kepada
pembaca bahawa Raja Kida Hindi mempunyai sebuah kerajaan yang amat besar dan
luas. Separuh daripada negeri Hindi adalah berada di bawah kekuasaan dan
taklukannya. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya,
pengarang menggambarkan bahawa kekuasaan Raja Kida Hindi adalah kuat dan
kerajaan Hindi diibaratkan berada dalam genggaman tangannya.
Kita dapat melihat
kebenaran hakiki dari aspek sfera fungsional apabila teks ini kita kaji melalui
logik cerminan dan sejarah tamadun sesebuah masyarakat manusia. Melalui teks di
atas, secara fungsionalnya masyarakat memerlukan pemerintah untuk mentadbir dan
memerintah sesebuah kerajaan. Penguasaan seseorang pemerintah lazimnya bergantung
kepada kecerdikan akalnya dan sokongan yang diberikan oleh rakyatnya. Sokongan
daripada rakyat akan menyebabkan seseorang pemerintah itu menjadi semakin kuat.
Lumrah kehidupan dalam sekelompok manusia memerlukan seseorang ketua atau
pemimpin. Begitu juga sebaliknya, pemimpin memerlukan sokongan daripada orang
bawahannya. Hal ini demikian dapat diibaratkan seperti perjalanan sebuah kapal
di lautan yang memerlukan seorang nakhoda untuk mengemudi kapal tersebut supaya
tidak tenggelam dan tersalah haluannya. Sesungguhnya, dalam perkara kecil
sekalipun Islam ada menyuruh kita untuk memilih pemimpin. Rasulullah S.A.W ada
bersabda:
“Apabila
kamu keluar bermusafir tiga orang hendaklah kamu memilih seorang untuk menjadi
ketua.”
(Hadis
riwayat Abu Daud)
Seterusnya,
makna dalaman dan luaran ini juga boleh dilihat dalam Hikayat Sejarah Melayu
(1998) pada halaman 67.
“Adapun
akan Raja Kida Hindi itu ada beranak seorang perempuan, yakni seorang itu
bariwati terlalu amat baik parasnya, tiada ada berbagai pada masa itu, cahaya
mukanya gilang gemilang seperti cahaya matahari, dan terlalu amat bijaksana
budinya puterinya, Syahrul Bariyah namanya.”
(Sejarah
Melayu, 1998: 67)
Dalam ayat di atas,
kita dapat lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan Raja Kida Hindi
telah melahirkan seorang anak perempuan yang cantik, tiada tandingan dan
bijaksana budi pekertinya yang bernama Syahrul Bariyah. Namun demikian, secara
dalamannya, pengarang ingin memberitahu pembaca bahawa Raja Kida Hindi
mempunyai seorang anak perempuan yang cantik tiada bandingan dan bijaksana budi
pekertinya yang bernama Syahrul Bariyah. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara
tersirat atau dalamannya, pengarang menggambarkan kecantikan dan kebijaksanaan
anak perempuan Raja Kida Hindi yang tiada tandingannya pada ketika itu.
Melalui teks di atas,
secara fungsional atau kebenaran hakikinya, seseorang lelaki tidak mungkin
melahirkan zuriat keturunan. Hak melahirkan adalah terletak pada wanita. Hak
ini telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Namun demikian, benih seseorang lelaki
adalah diperlukan untuk wanita mengandung dan melahirkan seseorang zuriat
keturunan. Oleh hal yang demikian manusia telah diciptakan oleh Allah S.W.T
untuk hidup berpasang-pasangan seperti firman Allah S.W.T dalam surah
Adz-Dzariyaat, ayat 49 yang bermaksud:
“Dan
segala sesuatu kami jadikan berpasang-pasangan, supaya kamu mengingat kebesaran
Allah.”
(Surah
Adz-Dzariyaat: 49)
Makna
luaran dan dalaman dalam Hikayat Sejarah Melayu (1998) juga boleh dilihat pada
halaman 71, iaitu:
Maka
Tuan Puteri Syahrul Bariyah pun memberi tahu ayahnya Raja Kida Hindi, katanya,
“Ketahuilah oleh ayahanda, bahawa hamba dua bulanlah sekarang tiada haid”.
(Sejarah
Melayu, 1998:71)
Dalam ayat di atas,
kita dapat lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan Tuan Puteri
Syahrul Bariyah hanya sekadar memberitahu ayahandanya bahawa dia tidak datang
bulan atau haid selama dua bulan. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang
menceritakan bahawa Tuan Puteri Syahrul Bariah ingin memberitahu ayahandanya
bahawa dia sudah mengandung dua bulan. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara
tersirat atau dalamannya, pengarang menggambarkan usia kandungan Puteri Syahrul
Bariah dengan tempohnya tidak datang bulan. Unsur bahasa yang sopan dan lembut
telah digunakan oleh pengarang.
Melalui teks di atas,
secara fungsional atau kebenaran hakikinya, seseorang wanita atau perempuan
diberikan hak keistimewaan oleh Allah S.W.T untuk mengandung dan melahirkan
zuriat. Keistimewaan ini tidak terdapat pada seorang lelaki. Seseorang wanita
akan melahirkan zuriat atau keturunan seseorang lelaki. Oleh hal yang demikian,
bagi menjamin zuriat keturunan yang baik, seseorang lelaki haruslah memilih
pasangan yang baik akhlaknya, keturunannya serta agamanya. Hal ini demikian
bertepatan dengan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang menyatakan “wanita itu dinikahi kerana empat perkara;
kerana hartanya, kerana garis keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana
agamanya”. Namun demikian, tanggungjawab membesarkan anak-anak adalah
terletak pada tangan kedua-dua belah pihak.
Seterusnya,
makna dalaman dan luaran ini juga boleh dilihat dalam Hikayat Sejarah Melayu
(1998) pada halaman 71 hingga 72.
Maka
cucunda baginda Raja Arisytun Syah kerajaan dalam negeri Hindi, menggantikan
kerajaan nenenda baginda; umur baginda di atas kerajaan tiga ratus lima puluh
lima tahun, maka Raja Arisytun Syah pun berpindahlah dari negeri yang fana ke
negeri yang baqa.
(Sejarah
Melayu, 1998: 71-72)
Dalam ayat di atas,
kita dapat lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan Raja Arisytun Syah
berpindah dari satu negeri (negeri fana) ke negeri yang lain (negeri baqa)
setelah 355 tahun memerintah kerajaan dalam negeri Hindi. Namun demikian,
secara dalamannya, pengarang memaksudkan bahawa Raja Arisytun Syah telah
meninggal dunia (beralih dari dunia kehidupan ke dunia kematian) setelah 355
tahun memerintah kerajaan dalam negeri Hindi. Jadi, jelaslah di sini bahawa
secara tersirat atau dalamannya, pengarang menggambarkan pemergian atau kematian
Raja Arisytun Syah secara berkias.
Sfera fungsional atau
kebenaran hakiki teks di atas dapat kita lihat melalui hakikat kehidupan
seseorang manusia yang pada akhirnya akan kembali kepada pencipta-Nya. Lumrah
kejadian manusia setiap yang hidup pasti akan mati telah ditentukan oleh Allah
S.W.T sejak azali lagi. Hal ini demikian bertepatan dengan surah an-Nisa’:
“Di
mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sudah sampai ajal),
sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.”
(Surah
an-Nisa’: 78)
Seterusnya,
makna dalaman dan luaran ini juga boleh dilihat dalam Hikayat Sejarah Melayu
(1998) pada halaman 72.
Kamudian
daripada itu, maka Raja Ardasirbikan, anak Raja Kudraz Kuhan pula naik raja,
maka baginda beristerikan anak Raja Nusyirwan ‘Adil, raja masyrik maghrib.
(Sejarah
Melayu, 1998: 72)
Dalam ayat di atas,
kita dapat lihat secara luaran pengarang menceritakan bahawa Raja Ardasirbikan,
iaitu anak kepada Raja Kudraz Kuhan telah naik ke atas raja dan memperisterikan
anak Raja Nusyirwan ‘Adil. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang ingin
memberitahu pembaca bahawa Raja Ardasirbikan, iaitu anak kepada Raja Kudraz
Kuhan telah ditabalkan menaiki takhta raja dan telah memperisterikan anak Raja Nusyirwan’
Adil. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang
menceritakan mengenai kenaikan pangkat Raja Ardasirbikan sebagai Raja.
Secara fungsional atau
kebenaran hakikinya, dalam sistem pemerintahan beraja di Tanah Melayu pada
zaman dahulu kala sering menggunakan sistem pewarisan dalam menggantikan takhta
seseorang raja. Anak raja yang sulung akan dilantik menggantikan takhta
ayahandanya mengikut jurai keturunan masing-masing. Namun demikian, bagi anak
raja yang berstatus bukan anak gahara (bukan anak yang betul-betul daripada
raja dan permaisurinya) adalah tidak layak menggantikan atau mewarisi takhta ayahandanya
walaupun beliau merupakan anak sulung dalam jurai keturunan tersebut.
Makna
luaran dan dalaman dalam Hikayat Sejarah Melayu juga boleh dilihat pada halaman
100 hingga 101, iaitu:
Maka
baginda Seri Rana Wikrama pun keluar diadap orang, maka pahlawan Keling itu pun
mengadap. Maka disuruh raja bermainlah dengan Badang, maka barang mainnya tewas
juga pahlawan Keling itu oleh Badang.
(Sejarah
Melayu, 1998: 100-101)
Dalam ayat di atas,
kita dapat lihat secara luaran pengarang menceritakan bahawa baginda Seri Rana
Wikrama menyuruh Keling bermain dengan Badang. Namun demikian, secara
dalamannya, pengarang ingin memberitahu pembaca bahawa baginda Seri Rana
Wikrama menitahkan Keling berlawan dengan Badang dan pahlawan Keling telah
tewas dalam pertarungan tersebut. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat
atau dalamannya, pengarang sebenarnya menceritakan mengenai pertarungan antara
Keling dan Badang.
Berdasarkan teks di
atas, secara fungsional atau kebenaran hakikinya, seseorang pahlawan sering
dikaitkan dengan gelanggang atau perlawanan. Pada zaman dahulu, pahlawan
lazimnya akan beradu tenaga dalam sesebuah gelanggang di hadapan Sultan atau
Raja untuk menunjukkan keberanian, kegagahan dan kekuatan serta kehebatan
masing-masing. Lumrah kehidupan masyarakat, terutamanya masyarakat Melayu pada
zaman dahulu kala yang akan memandang tinggi terhadap pahlawan yang perkasa dan
gagah berani di gelanggang pertempuran.
Selain
itu, makna dalaman dan luaran ini juga boleh dilihat dalam Hikayat Sejarah
Melayu (1998) pada halaman 121 hingga 122.
Maka
kata Bendahara, “Jikalau sungguh datang sebuah kapal pada waktu asar ini
sungguhlah mimpi Raja itu; jikalau tiada datang, maka bahawasanya syaitanlah
yang menggaru-maru Raja ini”.
(Sejarah
Melayu, 1998: 121-122)
Dalam ayat di atas,
kita dapat lihat secara luaran pengarang menceritakan bahawa Bendahara
memberitahu raja bahawa sekiranya ada sebuah kapal datang pada waktu asar maka
benarlah mimpi Raja tersebut. Jika sebaliknya, syaitanlah yang menggaru-garu
Raja dalam mimpi tersebut. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang ingin
menyampaikan bahawa Bendahara memberitahu Raja, sekiranya ada sebuah kapal
datang pada waktu asar maka mimpi Raja tersebut adalah benar. Jika sebaliknya,
mimpi tersebut hanyalah mainan syaitan semata-mata. Jadi, jelaslah di sini
bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang sebenarnya menceritakan mengenai
mimpi Raja yang berkemungkinan hanyalah mainan syaitan sewaktu tidur.
Secara fungsional atau
kebenaran hakikinya, syaitan telah berjanji kepada Allah S.W.T bahawa dia akan
menyesatkan semua umat manusia yang ada di dunia. Hal ini bertepatan dengan
satu peristiwa apabila Allah S.W.T menjadikan Nabi Adam A.S dan memerintah
semua makhluk untuk sujud kepada Nabi Adam A.S dan iblis telah ingkar dengan
perintah tersebut. Oleh hal demikian, iblis telah dimurkai dan dilaknat oleh
Allah S.W.T. Atas kejadian tersebut, Iblis telah meminta untuk ditangguhkan
umurnya sehingga hari qiamat dan berjanji untuk menyesatkan seluruh anak cucu
Nabi Adam A.S dengan segala cara dan tipu dayanya. Salah satu cara tipu daya
syaitan tersebut adalah melalui mimpi atau tidur manusia yang akan menyebabkan
manusia mulai taksub dengan mimpi-mimpi syaitan yang memudaratkan. Dalil sahih
al-Bukhari dan Muslim yang menyebut:
"Apabila
salah seorang dari kamu melihat mimpi yang disukainya, sesungguhnya ia daripada
Allah, maka khabarkanlah kepada orang lain, dan sekiranya dia melihat
sebaliknya dari apa yang dibencinya, sesungguhnya ia daripada Syaitan, maka
beristi'azahlah (membaca AUZUBILLAHI MINAS SYAITONIR RAJIM), dan janganlah
menceritakan kepada orang, tiadalah ia (mimpi) dapat memudaratkannya.."
(Sahih
Al-Bukhari dan Muslim,
Lafaz
hadith adalah bagi Al-Bukhari)
Makna
luaran dan dalaman dalam Hikayat Sejarah Melayu juga boleh dilihat pada halaman
135, iaitu:
Hatta
beberapa lamanya, orang Kelang pun menolak penghulunya, maka orang Kelang
mengadap ke Melaka hendak memohonkan penghulu yang lain.
(Sejarah
Melayu, 1998:135)
Dalam ayat di atas,
kita dapat lihat secara luaran pengarang menceritakan bahawa orang Kelang telah
menolak penghulunya, dan ke Melaka untuk memohon penghulu yang lain. Namun
demikian, secara dalamannya, pengarang menceritakan bahawa orang Kelang tidak
bersetuju dengan penghulunya sekarang dan ke Melaka untuk memohon penghulu yang
lain. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang sebenarnya
menceritakan mengenai penolakan orang Kelang terhadap penghulu yang sedia ada
untuk ditukarkan dengan penghulu yang baru.
Berdasarkan teks di
atas, secara fungsional atau kebenaran hakikinya dikatakan bahawa masyarakat
mempunyai hak untuk bersuara dalam memilih pemimpin mereka. Oleh hal yang
demikian, rakyat berhak menolak pemimpin sekiranya pemimpin yang dilantik tidak
memenuhi kehendak dan keperluan mereka. Pemimpin yang bersifat mementingkan
diri, gila kuasa dan sering menindas rakyat adalah wajar untuk dijatuhkan. Ini
adalah bertepatan dengan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang menyebut “demi Allah sesungguhnya kami tidak akan
memberikan tugas kepimpinan kepada orang yang memintanya dan orang yang tamak
dengannya”. Pemilihan pemimpin adalah penting kerana meraka akan membawa
hala tuju orang yang dipimpin. Hal ini demikian dapat kita lihat pada hari ini
melalui sistem demokrasi yang dijalankan di negara Malaysia yang memberikan hak
kepada rakyat dalam memilih pemimpin
Makna
luaran dan dalaman yang seterusnya yang terdapat dalam Hikayat Sejarah Melayu
(1998) adalah pada halaman 137.
Sebab
itulah maka segala orang Kelang ini kami bawa dengan segala anak isterinya
sekali, supaya ia berparang dengan musuh bersungguh-sungguh hati, kurang ia
berlawankan Duli Yang Dipertuan, ia bertikamkan anak isterinya
bersungguh-sungguh.
(Sejarah
Melayu, 1998: 137)
Dalam ayat di atas, secara
luarannya pengarang menceritakan bahawa orang-orang Kelang dibawa bersama anak
dan isterinya supaya berperang dengan musuh dan kurang menentang Raja dan
menikam anak isterinya bersungguh-sungguh. Namun demikian, secara dalamannya,
pengarang memberitahu pembaca bahawa orang Kelang dibawa bersama anak dan
isterinya supaya berperang dengan musuh seperti mempertahankan anak dan
isterinya serta kurang menentang Raja. Jadi, jelaslah bahawa secara tersirat
atau dalamannya, pengarang sebenarnya mengibaratkan kesungguhan orang Kelang berperang
seperti mempertahankan anak dan isterinya.
Secara fungsional atau kebenaran
hakikinya adalah menjadi tanggungjawab suami dalam melindungi anak dan
isterinya dari segi menyediakan tempat tinggal, menyediakan makanan, memberikan
perlindungan dan sebagainya yang diperlukan oleh mereka. Lelaki disyaratkan melindungi wanita dan menghindari
kekerasan. Dalam institusi perkahwinan, lelaki ialah ketua keluarga sesuai
dengan fitrah kejadiannya yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain
berbanding wanita. Tanggungjawab lelaki sebagai ketua (pemimpin) kepada
perempuan ditegaskan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya bermaksud:
“Lelaki
ialah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka
(lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki selepas
menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”
(Surah
an-Nisa: 34)
Makna Luaran dan Dalaman dalam Hikayat Sulalatus
Salatin
Terdapat
tujuh makna luaran dan dalaman yang dapat dikesan dalam Hikayat Sulalatus
Salatin (1997) karya Tun Seri Lanang. Berikut merupakan dapatan pertama yang
dikesan, iaitu perbualan di antara Sultan Mahmud Syah dan Tun Teja:
“Maka
titah baginda, “Sayangnya Si Tuah tiada. Jikalau Si Tuah ada, dapatlah ia
menghapuskan kemaluanku.” Maka Seri Nara al-Diraja diam mendengar titah itu.”
(Sulalatus
Salatin, 1997:98)
Dalam perbualan di atas, kita dapat
lihat bahawa Hang Nadim digambarkan sebagai seorang yang menjaga adab antara
lelaki dan perempuan. Hal ini dapat dibuktikan melalui kata-kata Tun Teja. Tun Teja
mengatakan bahawa Hang Nadim langsung tidak mendekati dirinya dan tidak
memandang wajahnya. Selain itu juga, Tun Teja menjelaskan kepada Sultan Mahmud
Syah, ketika Hang Nadim ingin menyambut tangan Tun Teja menuruni perahu, Hang
Nadim menggunakan kain sebagai alas untuk memegang tangan Tun Teja. Jadi, secara
tersiratnya pengarang ingin menceritakan bahawa orang pada zaman dahulu
mementingkan adab pergaulan.
Berdasarkan sfera fungsional atau
kebenaran hakikinya dalam teks di atas, perasaan malu adalah perlu dalam
kehidupan. Namun demikian, perasaan malu ini hendaklah pada tempatnya. Malu
untuk melakukan kemungkaran adalah salah satu contoh sifat malu yang perlu ada
pada setiap manusia. Manakala, malu melakukan sesuatu yang baik dan berfaedah
adalah amat perlu untuk dielakkan kerana ia akan mendatangkan kerugian pada
diri sendiri. Sifat malu ini juga merupakan salah satu sifat Rasulullah S.A.W.
Dalam hadis Taqriri (yakni persetujuan dari Rasulullah S.A.W) ada menyatakan
bahawa “beliau tidak membiarkan sesuatu yang salah di
hadapannya. Beliau tidak mendiamkan sesuatu yang keliru, kecuali menegurnya.
Sebaliknya, segala hal yang terjadi atau diucapkan di hadapan Rasulullah S.A.W,
sedangkan beliau membiarkan atau mendiamkannya, maka itu dianggap sebagai persetujuan
Rasulullah S.A.W yang memiliki legitimasi hukum di dalam Islam". Dalam hadis ini Rasullullah S.A.W. mengingatkan bahawa yang benar justeru adalah tidak menghilangkan rasa malu dalam diri saudaranya dan biarkan saja seseorang itu memiliki sifat malu. Ia adalah akhlak yang disunnahkan. Malu adalah sebahagian daripada iman.
Makna luaran dan dalaman dalam
Hikayat Sulalatus Salatin juga boleh dilihat pada halaman 118, iaitu:
Maka
Karaeng Mejokok pun tahu akan kelakuan anaknya itu. Maka tiada diberinya oleh
ayahanda baginda Karaeng Mejokok. Maka Karaeng Mejokok pun berkata kepada
anakanda baginda, Karaeng Semerluki, “Hai anakku, jikalau hendak beristeri baik
parasnya seperti ma(‘) bongsu itu pergilah engkau merompak ke Hujung Tanah,
mencari perempuan serupa dengan dia”.
(Sulalatus
Salatin, 1997:118)
Petikan
di atas menceritakan Karaeng Mejokok, yang menyuruh anaknya ‘merompak’ ke
Hujung Tanah untuk mencari perempuan yang seiras dengan ibunya sendiri. Hal ini
demikian kerana, Karaeng Semerluki jatuh hati terhadap ibunya sendiri.
‘Merompak’ yang dimaksudkan oleh pengarang bukanlah merampas segala harta benda
orang lain, tetapi merantau ke negeri-negeri orang.
Berdasarkan sfera fungsional atau
kebenaran hakikinya dalam teks di atas, seseorang yang ingin mencari isteri
atau ibu kepada zuriatnya hendaklah berusaha mencari dan membuat pertimbangan
yang sewajarnya dalam membuat pilihan. Hal ini demikain kerana, bagi menjamin
zuriat keturunan yang baik, seseorang lelaki haruslah memilih pasangan yang
baik akhlaknya, keturunannya serta agamanya. Hal ini bertepatan dengan hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim yang menyatakan “wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana garis
keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya”. Oleh itu, untuk
mendapatkan sesuatu yang baik, seseorang itu hendaklah rajin berusaha untuk
mendapatkannya.
Selain itu, makna dalaman dan
luaran ini juga boleh dilihat dalam Hikayat Sulalatus Salatin (1997) pada
halaman 124.
Ada
kadar sesaat maka kelihatan pula seorang perempuan tuha, bongkok lipat tiga
belakangnya. Maka ia berkata pada Tun Mamad, “Adapun segala kata tuan hamba itu
telah sudah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada Puteri Gunung Ledang. Akan
titah puteri, ‘Jikalau Raja Melaka hendak akan daku buatkanlah aku jambatan
emas satu, jambatan perak satu, dari Melaka ke Gunung Ledang. Akan peminangannya
hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air pinang muda setempayan,
air mata setempayan, darah raja semangkuk dan darah anak raja-raja semangkuk.
Jikalau demikian, maka kabullah pada hamba akan kehendak Raja Melaka itu”.
(Sulalatus
Salatin, 1997:124)
Petikan
di atas adalah berkisarkan mengenai peminangan Puteri Gunung Ledang. Puteri
Gunung Ledang telah menetapkan beberapa syarat kepada Sultan Mahmud Syah
sekiranya Sultan Mahmud Syah ingin menjadikannya sebagai isteri. Puteri Gunung Ledang telah mengemukakan tujuh
syarat, iaitu satu jambatan emas, satu jambatan perak dari Melaka ke Gunung
Ledang, hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air pinang muda
setempayan, air mata setempayan dan darah raja muda semangkuk. Secara
luarannya, kita dapat melihat bahawa Puteri Gunung Ledang bersetuju untuk
menerima pinangan Sultan Mahmud Syah. Namun, dari segi dalamannya,
syarat-syarat yang dikemukakan itu merupakan unsur penolakan secara halus.
Berdasarkan
sfera fungsional, kita dapat lihat bahawa sesuatu perkara itu mempunyai batasan
atau hadnya yang tersendiri. Contohnya, seperti tujuh syarat atau permintaan
Puteri Gunung Ledang yang meminta sesuatu yang agak mustahil dan berat untuk
dilaksanakan walaupun oleh seorang raja. Salah satu syarat yang diberikan
seperti tujuh dulang hati hama. Seperti yang kita sedia maklum, adalah mustahil
untuk kita mencari hati hama walaupun satu dulang. Dalam kehidupan ini, kita
perlulah melakukan sesuatu perkara mengikut kemampuan kita sendiri dan tidak
melampaui batas.
Selain itu juga, makna dalaman dan
luaran ini juga boleh dilihat dalam Hikayat Sulalatus Salatin (1997) pada
halaman 157.
Sekali
persetua Sultan Mahmud Syah pergi bermain dengan isterinya Tun Biajit, anak
Laksamana. Tatkala itu ia tiada di rumah, pergi ke pegangannya. Maka di suatu
malam baginda pergi ke rumah isteri Tun Biajit. Setelah dini hari maka baginda
pun kembali, segera bertemu dengan Tun Biajit, baharu datang dari air,
diiringkan seberapa orangnya, terlalu banyak. Akan Sultan Mahmud Syah tiada berapa
orang mengiringkan baginda. Maka Tun Biajit pun tahu akan Sultan Mahmud Syah
turun dari rumahnya.
(Sulalatus
Salatin, 1997:157)
Dalam
perenggan di atas, pengarang menggunakan perkataan ‘bermain’ untuk menggambarkan situasi yang berlaku antara Sultan Mahmud
Syah dengan isteri Tun Biajit. ‘Bermain’
yang dimaksudkan adalah bermukah ataupun bersekedudukan. Sultan Mahmud Syah
pergi ke rumah Tun Biajit semasa ketiadaan Tun Biajit untuk menemui isteri Tun
Biajit dan melakukan hubungan terlarang.
Secara
fungsionalnya, sudah lumrah bagi lelaki dan perempuan mempunyai perasaan atau
berkeinginan antara satu sama lain. Perasaan atau hawa nafsu yang wujud itu
semakin membara apabila mereka duduk berdua-duaan di tempat yang sunyi. Hal ini
bertepatan dengan dalil yang mengatakan bahawa “Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama
melainkan jika ditemani oleh mahramnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) dan “Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita
berdua-duaan bersama kerana Syaitan akan hadir sebagai orang ketiga.” (Hadis
Riwayat Ahmad, al-Musnad).
Makna luaran dan dalaman dalam
Hikayat Sulalatus Salatin (1997) juga boleh dilihat pada halaman 20, iaitu:
Maka
ada dua orang perempuan baru diam di sana; Uwan Empuk dan Uwan Malini namanya.
Keduanya berhuma di Bukit Seguntang itu, terlalulah luas humanya itu, syahadan
terlalulah jadi padinya, tiada dapat terkatakan lagi.
(Sulalatus
Salatin, 1997:20)
Dalam
petikan di atas, dikatakan bahawa terdapat dua orang perempuan yang ‘diam’ di
sana. Secara tersiratnya, pengarang ingin mengatakan bahawa terdapat dua orang
perempuan, iaitu Uwan Empuk dan Uwan Malini yang tinggal di kawasan tersebut.
Kawasan yang dimaksudkan ialah Bukit Seguntang.
Secara
fungsionalnya, semua manusia memerlukan keperluan-keperluan asas kehidupan
seperti makanan, kasih sayang, keselamatan dan apa yang paling penting sekali
adalah tempat tinggal. Tempat tinggal amat penting bagi manusia untuk
berlindung daripada hujan, panas, tempat untuk berehat, binatang-binatang buas dan
malapetaka lain. Dengan adanya rumah, kita dapat mewujudkan kemesraan sesama
ahli keluarga kita, iaitu kita boleh berbincang dan bermain-main dengan anggota
keluarga yang lain. Rumah yang kemas, bersih dan teratur kedudukannya amat
selesa untuk didiami.
Makna luaran dan dalaman dalam
Hikayat Sulalatus Salatin juga boleh dilihat pada halaman 53, iaitu:
Maka
sahut Sidi Samayuddin, “Baiklah kepala bercerai dengan badan, jangan bercerai
dengan tuan”. Maka oleh Sultan Malik al-Zahir disuruhnya kerat lehernya Sidi
Samayuddin, kepalanya itu dibuangkan ke laut, badannya disulakan di Kuala
Paya”.
(Sulalatus
Salatin, 1997:53)
Petikan
di atas memberitahu bahawa Sidi Samayuddin sanggup kehilangan nyawanya sendiri
dan tidak rela ‘bercerai’ dengan
tuannya, iaitu Sultan Malik al-Mansur. Hal ini demikian kerana, dia diberi
pilihan oleh Sultan Malik al-Zahir.
Sekiranya dia ingin mengikut Sultan Malik al-Mansur, dia akan dibunuh.
Sekiranya dia tidak mahu mengikut Sultan Malik al-Mansur, dia akan dilepaskan.
Walau bagaimanapun, dia lebih rela mempertaruhkan nyawanya demi menunjukkan
kesetiaan dirinya terhadap tuannya.
Secara
fungsionalnya, seseorang hamba atau pekerja perlulah menumpahkan sepenuh taat
setia kepada tuan atau majikannya selagi apa-apa pekerjaan yang diberikan
olehnya tidak melanggar syariat. Tidak ramai pekerja yang mampu memberikan
kesetiaan ataupun komitmen terhadap tuan atau majikan mereka. Tambahan lagi,
apabila mengambil kira faktor keikhlasan mereka apabila bekerja di bawah
pentadbiran orang lain. Dalam hal ini, seseorang majikan perlu berasa bertuah
apabila memiliki pekerja yang setia, rajin, amanah dan jujur.
PENUTUP
Karya-karya agung sastera sememangnya mempunyai
nilai estetik, sama ada pada tahap tinggi atau bertaraf rendah. Nilai estetik
ini seharusnya dapat dinikmati sebagai nikmat ketika membaca, menghayati dan
memahami setiap hasil karya. Begitulah bagi karya novel, cerpen, puisi,
(pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak), drama dan sebagainya ada terselit
nilai-nilai estetik dan keindahan.Justeru, sentuhan rasa dan fikir dapat
dirasakan oleh pembaca dengan melihat kecerdasan dan jalinan keindahan bahasa
seseorang pengarang. Luahan hati dan getar jiwa seni pengarang melalui
kata-kata dan bayangan alam budaya kehidupan masyarakat. Hal ini telah diakui
oleh banyak sarjana sastera. Nilai seni ini akan dapat dirasakan oleh pembaca
yang cekap menangkap dengan mata akal dan mata fikir hasil seni sastera. Hal ini demikian kerana, falsafah estetik
ada hubungannya yang tersendiri dengan nilai keindahan dan nilai keindahan
adalah berpaksi kepada kesenian.
Teras teoretikal estetik ialah
keindahan bermakna yang mendokong kebenaran. Keindahan teks terbahagi kepada
dua iaitu keindahan luaran yang meliputi estetik bahasa yang tergambar pada
penggunaan unsur-unsur dan gaya bahasa dan penyampaian bahasa. Kedua, keindahan
dalaman yang meliputi estetik perutusan tergambar pada pemikiran pengarang yang
sejajar dengan kebenaran (sejajar dengan ajaran agama Islam dan sejajar dengan
realiti). Kebenaran adalah teras penting estetik. Teks
kesusasteraan seharusnya mendokong kebenaran di sisi agama dan di sisi realiti.
Hal ini bermakna teks kesusasteraan bukannya semata-mata imaginasi atau fantasi
kosong pengarang, sebaliknya sebuah wadah ilmu, dakwah dan pengajaran untuk
membawa manusia kepada kebenaran agama dan realiti (bukan angan-angan atau
fantasi).
Oleh hal yang demikian, setiap
karya yang dicipta mestilah meliputi keindahan dalaman isi, keindahan alam
fizikal, keindahan fenomena, keindahan dalaman, keindahan luaran, keindahan
mutlak dan keindahan rohani yang kesemuanya dapat diseimbangkan dalam karya
yang dicipta. Begitulah sukar dan payah setiap pengkarya sastera menghasilkan
karya yang baik disertai dengan nilai-nilai keindahan dan estetik yang unggul.
Kekuatan bahasa dan keindahan pengarang menggunakan bahasa yang indah dan
berkesan akal kekal dalam ingatan para pembaca yang akhirnya memberikan teladan
yang baik kepada mereka.
Kesimpulannya, teks dalam karya agung mengandungi
pelbagai nilai estetik dari sudut luaran dan dalaman. Karya-karya agung Melayu
memaparkan aneka kisah dari zaman dulu kala yang banyak memberikan sentuhan
moral, pendidikan, pengajaran dan tauladan kepada kita. Karya agung ini
seharusnya dibanggakan kerana dari situlah kita sebagai orang Melayu dapat
mencari dan mendedahkan kehebatan penulisannya dari pelbagai sudut. Karya agung
ini menjadi satu wadah untuk kita untuk menggali ilmu yang telah diselitkan
dalam lipatan sejarah. Secara ringkasnya, teks karya agung, Sejarah Melayu
harus diselidik dengan lebih mendalam supaya warisan dari nenek moyang kita ini
tidak disia-siakan walaupun kita menjalani kehidupan pada zaman yang serba
canggih ini.
* MAKLUMAT TAMBAHAN *
ESTETIKA DALAM SEJARAH MELAYU
Estetika ialah satu cabang falsafah yang mengkaji konsep tentang keindahan, cita rasa dan lain-lain. Menurut kamus sastera, estetika berasal daripada bahasa Greek iaitu "aisthetikos" yang berkaitan dengan deria pengamatan. Estetika pernah didefinisikan sebagai ilmu tentang keindahan dalam seni dan alam semesta, berhubung dengan watak, keadaan dan persesuaian dengan hukum. Dalam karya sastera, estetika merupakan salah satu cabang ilmu tentang keindahan dengan memberikan penekanan terhadap konsep-konsep yang dianggap indah dalam sesebuah karya.
Nilai estetika dalam Sulalatus Salatin sememangnya kaya dengan pelbagai keindahan bahasa masyarakat terdahulu dan bahasa istananya. Sulalatus Salatin yang diertikan sebagai asal usul raja-raja ini merupakan sebuah teks sastera yang mengandungi pelbagai nilai estetikanya. Nilai estetika ini dapat dikesan melalui penggunaannya gaya bahasa yang tersusun dan begitu indah apabila diungkapkan oleh pembaca.
Jenis Ayat
Gaya bahasa menurut Nik Hassan Basri Ab. Kadir (2005:3) adalah cara atau ragam bahasa yang digunakan oleh seseorang. Cara penyampaiannya termasuklah pertuturan ataupun penulisan. Kepelbagaian gaya bahasa ini dapat dilihat menerusi aspek ayat yang digunakan. Dalam Sulalatus Salatin, kebanyakan perkataan yang digunakan adalah ayat pasif. Ayat pasif ini pula dapat dibahagikan kepada ayat pasif biasa dan ayat pasif khas. Ayat pasif biasa yang digunakan adalah seperti berikut:
"Maka dikuncinya oleh baginda pintunya peti itu dari dalam. Maka dihulurkan oranglah ke dalam laut"
(Sejarah Melayu, 1988: 12)
"Maka datang pula raga itu kepada Raja Maluku, maka disepaknya sendiri berpenanak-penanak raga itu di atas, tiada turun lagi melainkan apabila hendak diberikannya pada orang lain; demikianlah tahunya Raja Maluku itu bersepak raga, dapat dibawanya naik tangga".
(Sejarah Melayu, 1988: 133)
Dalam kedua-dua contoh penggunaan ayat pasif biasa di atas, perkataan yang digariskan memberikan tanda sesuatu ayat yang diucapkan itu berbentuk ayat pasfi biasa. Penggunaan ayat pasif biasa ini, jika dilihat dalam contoh yang diberikan, perkataan yang digariskan adalah perkataan yang bermula dengan imbuhan "-di".
Penggunaan ayat pasif khas adalah seperti berikut:
"Maka oleh Sang Sapurba segala raja-raja yang datang itu sememangnya diberikannya persalinan"
(Sejarah Melayu, 1988: 92)
"Maka oleh Sultan Mansur Shah akan Raja Merlang Inderagiri dikahwinkan baginda dengan anakanda baginda Puteri Bakal; maka tiada diberi kembali ke Inderahiri"
(Sejarah Melayu, 1988: 92)
Dalam contoh yang diberikan seperti di atas, penggunaan perkataan "oleh" menandakan bahawa ayat tersebut adalah ayat pasif khas.
Gaya Bahasa
1. Bidalan Arab
Bidalan Arab dimasukkan ketika menceritakan tentang perasaan Sultan Mahmud setelah mendengar sembah Laksamana mengenai Bendahara Seri Maharaja yang dikatakan hendak menderhaka.
"Al mahabbat bain niyat, Wal 'asyiq fikr niyat"
Ertinyaa: "yang kasih itu antara tiada dan berahi itu bicara tiada"
(Sulalatus Salatin: 257)
2. Unsur-unsur Bahasa Jawa
Penggunaan bahasa Jawa pada watak-watak yang berkenaan memberi kesan yang mendalam dari segi percakapan dan peristiwa. Contoh berikut adalah beberapa topik dalam teks yang menunjukkan penggunaan bahasa Jawa.
Episod Patih Adam menculik Tun Minda
"Dengan demikian keempatpuluhnya habis mati dibunuh orang. Maka diberitahu oleh penakawannya pada Patih Adam, katanya, "Punapa karsa andeka dening peria'i punika kabeh sampun pejah"
(Sulalatus Salatin: 212)
No comments:
Post a Comment