1)
Koleksi Artikel Karya Agung : Sejarah Melayu
Artikel 1
Tajuk: Pantun Sejarah Melayu
Penulis: Siti Zaleha M. Hashim
Perbincangan tentang Sulalatus Salatin dan juga dikenali
sebagai Sejarah Melayu telah banyak dilakukan sejak awal kurun ke-19.
Walau bagaimanapun, perbincangan tentang karya agung ini tidak pernah berakhir.
Tajuk di atas merupakan salah satu artikel yang berkaitan dengan Sejarah Melayu
yang ditulis oleh Siti Zaleha M. Hashim. Artikel ini termuat dalam Majalah
Pelita Bahasa yang dikeluarkan pada bulan Jun tahun 2007. Dalam artikel
tersebut penulis telah menghuraikan maksud pantun yang terdapat dalam
penceritaan Sejarah Melayu secara lebih terperinci. Penulis juga telah memilih
dua rangkap pantun pada awal penulisannya yang menimbulkan banyak persoalan
jika kita membaca kedua-dua rangkap tersebut. Pantun tersebut adalah seperti
berikut:
i) Telur itik dari Singgora,
Pandan
terletak dilingkahi;
Darahnya
titik di Singapura,
Badannya
terlantar di Langkawi.
ii) Carik baju raja,
Dilompati
todak;
Bukan
disahaja,
Sebab
akal budak.
Kedua-dua pantun tersebut tidak
dapat dibongkar rahsia ceritanya jika pembaca tidak membaca Sejarah Melayu.
Sebenarnya pantun-pantun yang dikarang pada zaman dahulu ditulis berdasarkan
peristiwa sejarah yang berlaku pada zaman itu. Dalam Sejarah Melayu ini,
terdapat peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam pemerintahan kesultanan Melayu
dan peraturan-peraturan raja ditulis dalam bentuk pantun. Hakikatnya, bahasa yang indah sangat penting dalam
penciptaan pantun-pantun Melayu. Tanpa bahasa yang indah, pantun yang dikarang
atau dibacakan tidak terasa keindahannya. Oleh itu, para pencipta pantun dan
pemantun zaman lampau sangat bijaksana memilih kata-kata tentang penggunaan
bahasa yang berkaitan dengan alam, kehidupan, adat istiadat dan budaya
masyarakat Melayu. Pantun yang dikarang juga telah melalui pemerhatian yang
teliti, penelitian yang rapi serta pengalaman baharulah sesebuah pantun itu
dicipta dengan fikiran yang bijaksana.
Artikel 2
Tajuk:
Menghayati Karya Sastera Klasik
Penulis:
Shamran Sarahan
Artikel yang ditulis oleh Shamran Sarahan ini
telah disiarkan pada 9 Jun 2012. Penulis berpendapat bahawa sebilangan besar
masyarakat sekarang tidak lagi menghiraukan karya klasik kerana mereka
beranggapan bahawa karya tersebut ditenggelami arus kemodenan yang lebih
bersifat terkini. Atas kesedaran itu,
Balai Seni Visual Negara (BSVN) mengadakan Pameran Sulalatus Salatin Empayar
Kesultanan Melayu Melaka sebagai jalan untuk menarik minat orang ramai
menghayati karya sastera klasik atau tradisional. Perkara yang unik dalam pameran
ini, ia tidak mempamerkan karya berkenaan dalam bentuk teks, sebaliknya diadaptasi
dalam bentuk lukisan yang disusun mengikut catatan yang terkandung dalam karya
berkenaan. Ia dipersembahkan dalam 49 lukisan dan perinciannya dipapar mengikut
susunan peristiwa pembukaan Melaka, saat-saat kejatuhan dan kegemilangan
empayar Melaka di Nusantara ketika itu serta turut diselitkan dengan lukisan
tokoh pejuang seperti Hang Tuah.
Sulalatus
Salatin ialah karya penting dalam menyingkap sejarah Melayu lama dan zaman
kegemilangannya, justeru ia patut dihebahkan kepada orang ramai, khususnya generasi
muda. Karya ini dikategorikan
sebagai sastera berunsur sejarah yang meriwayatkan mengenai Empayar Kesultanan
Melayu dari 1400 hingga 1511, gambaran kehidupan bangsa Melayu, Raja Melayu,
adat istiadat, kepahlawanan dan kesetiaan rakyat, hubungan diplomatik
kesultanan Melayu dan zaman kejatuhannya. Sejarah Melayu telah memberi gambaran
tentang sejarah negeri Melaka pada abad ke-15. Melaka digambarkan sebagai
sebuah negara kota dan Bandar pelabuhan yang terbesar di Alam Melayu. Bandar
tersebut telah menjadi pusat tumpuan pelbagai bangsa termasuklah Arab, Tamil, Cina, dan Jawa.
Sejarah Melayu menggambarkan tentang kebesaran Kerajaan Melaka dengan
menceritakan tentang keagungan golongan pemerintah dengan segala peraturan dan
adat istiadat yang menarik seperti peraturan kedudukanpara pembesar kerajaan
yang diaturkan mengikut gelaran dan pangkat seseorang itu di dalam Kerajaan
Melaka.
Artikel 3
Tajuk: Unsur-unsur Melayu dalam Pensejarahan
Tajuk
penulisan di atas membincangkan Sejarah Melayu berdasarkan beberapa persoalan
termasuklah dari aspek politik, sosial, ekonomi, adat dan budaya secara
terperinci. Antara perkara yang dibincangkan ialah sistem (budaya)
politik, stratifikasi sosial, sistem adat, sistem ekonomi, sistem kepercayaan
dan agama, kedudukan wanita serta kesenian dan hiburan. Dalam Sejarah Melayu, aspek budaya
politik boleh dikatakan antara cerita paling banyak dimuatkan. Contohnya,
peranan raja sebagai pemerintah dan kekuasaan mutlak yang ada pada raja. Dengan
kuasa yang ada pada mereka, raja berhak melantik beberapa orang pembesar. Kuasa
mutlak yang ada pada raja pula ialah baginda berhak menitahkan rakyatnya.
Sekiranya ada rakyat yang didapati enggan menurut perintah, maka rakyat
tersebut berhak dijatuhkan hukuman mengikut budi bicara raja. Namun, daulat
yang ada pada raja menyebabkan rakyat jarang bertindak menentang. Ini
disebabkan mereka takut ditimpa oleh suatu musibah yang dikenali sebagai tulah
raja.
Kuasa raja serta
peranannya jelas dapat dilihat dalam Sejarah Melayu. Bermula dengan wa'adat di
antara Demang Lebar Daun dengan Nila Utama (Sang Sapurba) yang mengisytiharkan
tentang hak rakyat yang sepatutnya mendapat lindungan daripada pemerintah.
Manakala raja pula berhak melindungi rakyat di bawahnya. Contoh-contoh peranan
dan kekuasaan raja ialah Raja Syahrum Nawi telah menitahkan Awi Dicu untuk
menangkap raja Samudera dan dijadikan gembala ayam baginda. Walau bagaimanapun,
Alt Ghiyatuddin yang menang dalam permainan catur telah meminta pembela ayam
itu sebagai hadiahnya pula. Demikian juga halnya dengan Paduka Seri Maharaja
yang menitahkan orang supaya membunuh Tun Jana Khatib. Tun Jana Khatib
dijatuhkan hukuman kerana difitnah menunjukkan kepandaiannya di hadapan
permaisuri baginda. Akibat dari itu, todak telah menyerang Singapura.
Stratifikasi masyarakat
pula lebih menggambarkan tentang struktur sosial masyarakat. Dalam Sejarah
Melayu, masyarakat Melayu digambarkan mempunyai struktur yang tersusun. lanya
didahului oleh seorang raja sebagai pemerintah. Baginda akan dikelilingi oleh
kerabat-kerabat di raja, permaisuri, putera-puteri raja serta kaum kerabat di
raja yang lain. Berada di bawah baginda ialah golongan pentadbir atau lebih
dikenali juga sebagai golongan bangsawan. Antara jawatan penting ialah seperti
Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari, Temenggung, Syahbandar, Bentara dan
lain-lain lagi. Selain itu, golongan ulama juga berada dalam hierarki ini
seperti Makhdum, Sayyid, Maulana dan Kadhi. Seterusnya ialah golongan rakyat
biasa yang merdeka. Biasanya golongan ini terdiri dari pedagang-pedagang,
petani, tukang-tukang mahir serta saudagar-saudagar. Contoh yang terkenal dalam
Sejarah Melayu ialah seperti Hang Isap serta Raja Mandeliar, Mina Sura Dewana,
Kitul, Ali Manu Nayan dan Patih Adam yang rapat dengan golongan bangsawan.
Melalui aspek sosio
ekonomi, Sejarah Melayu memperlihatkan tentang sistem-sistem ekonomi awal
masyarakat di Kepulauan Melayu amnya. Pada tahap awal, masyarakat digambarkan
dengan kegiatan ekonomi berbentuk sara diri. Antara yang diusahakan ialah
seperti kegiatan pertanian, nelayan dan berburu. Hal ini merupakan gambaran
ekonomi sebelum kedatangan pedagang luar. Selepas itu barulah muncul kegiatan
perdagangan sehingga Melaka terkenal sebagai pelabuhan enterport.
Dari sudut kepercayaan
dan agama, ianya merupakan dua aspek sosial yang sukar dipisahkan. Antara
amalan atau kepercayaan awal penduduk ialah ajaran animisme dan ajaran
Hindu-Buddha. Dalam agama animisme, para penganutnya menganggap segala benda
mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Ini menyebabkan wujudnya pemujaan terhadap
batu-batan, pokok-pokok serta fenomena-fenomena alam yang lain. Kepercayaan
penduduk juga dikaitkan dengan hantu, jin, jembalang serta makhluk-makhluk
halus yang menjadi penunggu tempat-tempat tertentu. Dalam hal ini, khidmat
pawang, dukun atau bomoh amat diperlukan untuk berhubung dengan makhluk-makhluk
tersebut. Sebagai contohnya dalam Sejarah Melayu, akibat gangguan daripada
makhluk yang dikatakan sebagai penunggu, Sultan Abdul Jalal terpaksa
memindahkan pusat pemerintahannya. Kedua-dua ajaran agama ini amat sebati dalam
jiwa penduduk sehinggalah berubah sedikit dengan kedatangan ajaran agama Islam.
Walau bagaimanapun, meskipun agama Islam mula diterima, tetapi penganut ajaran
animisme dan Hindu-Buddha masih sukar dikikis sehinggakan kedua-dua agama itu
dicampur-aduk dengan ajaran agama Islam.
2)
Koleksi Artikel Karya Agung : Sulalatus Salatin
Artikel 1
Tajuk: Nasionalisme dalam Sulalatus Salatin
Artikel yang bertajuk ‘Nasionalisme
dalam Sulalatus Salatin’ yang dipetik daripada laman http://mimbarkata.blogspot.com/2013/02/nasionalisme-dan-sulalatus-salatin.html menceritakan semangat nasionalisme atau
semangat kebangsaan yang wujud dalam penceritaan Sulalatus Salatin. Dalam
artikel tersebut juga ada menceritakan dengan lebih terperinci tentang definisi
nasionalisme itu sendiri dan sedikit perbezaannya dengan semangat patriotisme.
Selain itu, aspek-aspek yang merangkumi nilai nasionalisme turut dihuraikan
dengan lebih mendalam berpandukan pengkisahan yang terkandung dalam Sulalatus
Salatin. Bagi mengukuhkan lagi hujah yang dikemukakan dalam artikel tersebut,
contoh-contoh petikan juga ada diselitkan sebagai bahan bukti yang nyata
tentang nasionalisme yang wujud dalam karya agung itu sendiri. Adanya
contoh-contoh petikan daripada karya agung tersebut membolehkan khalayak
pembaca lebih berminat untuk mendalami penulisan berkenaan.
Nasionalisme
membawa maksud sentimen kecintaan terhadap sesebuah negara. Nasionalisme
merupakan sentimen dalam kalangan penghuni sesuatu wilayah tertentu. Perasaan
ini dapat dilihat apabila rakyat sesuatu wilayah itu menggunakan
lambang-lambang tertentu seperti sempadan dan ibu kota bagi menentukan taraf
negara bangsa, keperibadian kebangsaan, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan,
ekonomi, kebudayaan dan kesenian, bendera, lagu kebangsaan dan lain-lain.
Nasionalisme ialah gerakan kesedaran yang menumpukan perhatian bagi menentukan
nasib sendiri, bangsa, dan negara untuk mencapai kebebasan dan kesejahteraan
serta memupuk keperibadian sejati. Ini berpunca daripada tekanan dan pengaruh
asing atau penjajah sehingga anak negeri merasa lemah dan tertinggal dalam
lapangan ekonomi, sosial, politik, dan kebudayaan. Abdul Latif Bakar (1998), “Nasionalisme
adalah sentimen dalam kalangan penghuni sesuatu wilayah itu menggunakan
lambang-lambang tertentu sempadan dan ibu kota bagi menentu taraf negara
bangsa, keperibadian kebangsaan, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, ekonomi,
kebudayaan dan kesenian, bendera, lagu kebangsaan dan lain-lain. Patriotisme
pula meluapkan perasaan kesetiaan kepada negara dan ia menjadi unsur-unsur
penting nasionalisme.”
Dalam artikel tersebut, penulis ada menceritakan
bahawa nasionalisme yang kukuh diperlihatkan melalui tindakan peperangan.
Semasa pemerintahan Sultan Mansor Syah, baginda telah berhasrat utuk meluaskan
tanah jajahannya. Oleh itu, baginda telah menghantar Paduka Raja, hulubalang,
Tun Pikrama, Tun Menteri dan Seri Bija Diraja (Datuk Bongkok) ke Pahang. Dalam
peperangan ini Pahang telah berjaya dikalahkan oleh Melaka. Maharaja Dewa Sura
telah ditangkap oleh Seri Bija Diraja dan dibawa ke Melaka manakala anak
Maharaja Dewa Sura, Puteri Wanang Seri telah dikahwini oleh Sultan Mansor Syah.
Langkah peperangan adalah untuk mengelakkan berlakunya banyak kejadian
penentangan terhadap raja. Negeri Kampar tidak tunduk kepada Melaka. Ini
menyebabkan Kampar telah diserang oleh Melaka. Negeri Kampar kalah manakala
rajanya Maharaja Jaya telah dapat dibunuh. Seri Nara Diraja telah diberi kuasa
untuk memerintah Kampar.
Artikel 2
tajuk: Unsur-unsur Islam dalam Sulalatus Salatin
Sumber: http://merintisjalan.blogspot.com/2011/02/4-unsur-unsur-islam-dalam sulalatus.html
Dalam artikel yang dipetik daripada laman http://merintisjalan.blogspot.com/2011/02/4-unsur-unsur-islam-dalam sulalatus.html, penulis mengetengahkan idea berkaitan unsur-unsur Islam yang terkandung dalam Sulalatus Salatin. Unsur-unsur ini dikaitkan dengan jalan cerita yang berlaku pada zaman tersebut seperti yang terkandung dalam Sulalatus Salatin itu sendiri. Penulis cenderung mengaitkan unsur-unsur murni yang terdapat dalam ajaran Islam dengan penceritaan yang terkandung dalam Sulalatus Salatin. Berdasarkan artikel tersebut, ulasan terhadap unsur-unsur Islam dibuat berdasarkan kepada beberapa kriteria seperti sejarah kedatangan Islam di Pasai dan Melaka, penyebutan dan penonjolan tokoh-tokoh Islam serta adat istiadat dan perundangan.
tajuk: Unsur-unsur Islam dalam Sulalatus Salatin
Sumber: http://merintisjalan.blogspot.com/2011/02/4-unsur-unsur-islam-dalam sulalatus.html
Dalam artikel yang dipetik daripada laman http://merintisjalan.blogspot.com/2011/02/4-unsur-unsur-islam-dalam sulalatus.html, penulis mengetengahkan idea berkaitan unsur-unsur Islam yang terkandung dalam Sulalatus Salatin. Unsur-unsur ini dikaitkan dengan jalan cerita yang berlaku pada zaman tersebut seperti yang terkandung dalam Sulalatus Salatin itu sendiri. Penulis cenderung mengaitkan unsur-unsur murni yang terdapat dalam ajaran Islam dengan penceritaan yang terkandung dalam Sulalatus Salatin. Berdasarkan artikel tersebut, ulasan terhadap unsur-unsur Islam dibuat berdasarkan kepada beberapa kriteria seperti sejarah kedatangan Islam di Pasai dan Melaka, penyebutan dan penonjolan tokoh-tokoh Islam serta adat istiadat dan perundangan.
Sebagai contoh,
penulis ada menjelaskan bahawa penceritaan mengenai kemasukan Islam ke Pasai dan
Melaka telah di mitoskan di Pasai, Merah Silu di Islamkan oleh Fakir Muhammad.
Pada malamnya bermimpi berpandangan dengan Rasulullah. Rasulullah meminta
baginda menganga mulut. Diludahinya, pada keesokannya badannya berbau
narawastu. Baginda dapat membaca al-Quran tanpa diajar, kemudian menukar
namanya kepada Sultan Malikut Salleh. Di
Melaka, Raja Kecil Besar bermimpi berpandangan dengan keelokkan Rasulullah.
Rasulullah meminta baginda mengucap dua kalimah syahadat dan meminta Raja Kecil
Besar menukar namanya kepada Raja Muhammad. Keesokan harinya didapati badannya
berbau narawastu dan kalam sudah dikhatankan. Baginda dapat membaca
al-Quran.Mimpi baginda menjadi kenyataan di mana pada waktu asar kapal Syed Abdul Aziz turun ke pantai Melaka
dan beliau bersembahyang di situ. Tujuan di mitoskan kedatangan Islam ini adalah
untuk mengagungkan Islam. Ia memberi
gambaran bahawa Islam benar-benar berkembang di Melaka, bermula di istana
Melaka dan terus berkembang dalam kalangan rakyat jelata. Raja Melaka pertama yang
beragama Islam ialah Sultan Muhammad Syah. Gelaran Sultan digunakan setelah
Melaka memeluk Islam.
Bagi
mengukuhkan lagi pandangan beliau tentang unsur Islam dalam Sulalatus Salatin,
penulis ada mengetengahkan tentang teknik penulisan Sulalatus Salatin. Mukadimah
dimulai dengan Bismillahirrahmanir-rahim. Dalam mukadimah juga disertakan
ayat-ayat al-Quran dan diikuti pula dengan terjemahan dalam bahasa Melayu. Bagi
menjelaskan sesuatu atau sebagai perbandingan, penulis artikel tersebut
menyatakan bahawa pengarang ada memasukkan syair dan bidalan Arab dengan
disertakan terjemahannya sekali. Di samping itu, struktur penulisan yang
terdapat dalam kitab tersebut juga menggunakan gaya penyampaian berbentuk khutbah.
Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam
proses memberi nasihat yang meleret-leret yang dalam wasiat. Penggunaan
kalimat-kalimat Arab - Parsi digunakan dalam ayat. Antaranya Syahbandar, alam,
bahara, sahibul hikayat dan lain-lain.
Sulalatus Salatin juga menyentuh tantang corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman. Istana digambarkan sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam. Pasai dikatakan menjadi sebagai pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah mengikut mazhab Shafie. Istana dijadikan pusat pengajaran Islam dengan sultan dan pembesar turut belajar menuntut ilmu.
Sulalatus Salatin juga menyentuh tantang corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman. Istana digambarkan sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam. Pasai dikatakan menjadi sebagai pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah mengikut mazhab Shafie. Istana dijadikan pusat pengajaran Islam dengan sultan dan pembesar turut belajar menuntut ilmu.
3) Koleksi Artikel Karya Agung : Hikayat Hang Tuah
Artikel
1
Tajuk:
Hang Tuah dan Jiwa Bangsa yang Retak
Penulis:
Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negera)
Sumber
: Dewan Sastera, Ogos 2008
Artikel bertajuk ‘Hang Tuah dan Jiwa Bangsa yang Retak’
ini merupakan hasil penulisan Muhammad Haji Salleh, iaitu salah seorang
Sasterawan Negara. Penulisan artikel ini telah dimuatkan dalam majalah Dewan
Sastera pada Ogos 2008. Artikel ini mengandungi tiga sub-topik di bawahnya,
iaitu yang pertama bertajuk Hang Tuah dan Sejarah Melayu, kedua ialah bentuk
karya dan sub-topik ketiga ialah manuskrip Hikayat Hang Tuah di Perpustakaan
Negara Malaysia. Pada permulaannya adalah berkisar mengenai pendapat
tokoh-tokoh mengenai Hikayat Hang Tuah.
Kebanyakan tokoh mengatakan bahawa Hikayat Hang Tuah dikataka merupakan
cerminan kepada watak seorang manusia yang unggul, iaitu seorang hamba yang
berkhidmat sepenuhnya kepada tuannya. Penulis juga menyatakan pendapat
sesetengah pihak bahawa Hang Tuah merupakan lambang bangsa Melayu, kerana
beliau dipercayai akan mengembalikan
maruah bangsa, sekiranya maruah itu terhakis. Penulisan mengenai Hikayat Hang
Tuah ini adalah untuk bacaan masyarakat supaya lebih dekat untuk mengetahui
mengenai sejarah Hang Tuah.
Penulis memetik penulisan R.O Winstedt, iaitu seorang
pengkaji sastera Melayu berketurunan British, beliau berpendapat bahawa Hikayat
Hang Tuah merupakan satu-satunya roman Melayu asli kerana tidak dipengaruhi
oleh unsur luar. Penulis juga ada menyelitkan pendapat Sulastin Sutrisno (1983)
yang diambil dalam bukunya, iaitu beliau mengatakan Hikayat Hang Tuah sebagai “
khas Melayu, terikat kepada tradisi Melayu, tetapi sekali gus menurut tema dan
bentuk internasional atau Melayu dalam konteks yang luas.”
Seterusnya, artikel ini juga berkisar mengenai Hang Tuah
dan Sejarah Melayu. Hang Tuah dalam Sulalatus Salatin digambarkan sungguh
tampan dan berada di Jawa bersama Sultan Alauddin untuk menjaganya dan juga
menjaga nama baik Melaka. Penulis menceritakan bahawa selain Sulalatus Salatin,
Hikayat Hang Tuah turut mendefinisikan watak dan peribadi Melayu, nilai dasarnya
dan rupa kejayaannya. Artikel ini juga menerangkan bahawa Hang Tuah melalui
Sulalatus Salatin merupakan manusia yang sederhana, menyerahkan sepenuh dirinya
untuk berkhidmat kepada raja dan juga secara tidak langsung menjaga maruah dan
nama Melaka serta bangsa Melayu.Pendapat tokoh dan pendekatan yang digunakan
oleh beberapa orang tokoh juga ditulis oleh penulis bagi pengetahuan umum.
Pendapat tokoh yang disebut dalam artikel ini ialah pendapat Leyden, pendapat
John Crawfurd, pendapat Hooykaas, Kassim Ahmad dan ramai lagi. Pada tahun 1994,
Muhammad Haji Salleh cuba melihat definisi wira dalam budaya Melaka. Kesemua
tokoh ini memberikan hujah meraka mengenai Hikayat Hang Tuah.
Dalam sub-topik bentuk karya dikatakan bahawa Hikayat
Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang menggalurkan kehidupan dan bakti
seseorang. Dalam tajuk ini, penulis menceritakan serba sedikit perjalanan hidup
Hang Tuah. Artikel ini juga memberitahu bahawa di Perpustakaan Negara terdapat
dua manuskrip Hikayat Hang Tuah. Manuskrip pertama nombor dialognya ialah
MSS1713 dan kedua ialah MSS1658. Manuskrip pertama lebih elok hasil tulisannya
dan kertas yang digunakan berbanding tulisan dan kertas bagi manuskrip yang
kedua. Penulis menceritakan sedikit mengenai kandungan manuskrip tersebut.
Kesimpulannya, artikel ini memberikan maklumat mengenai
pendekatan dan pendapat tokoh mengenai penulisan Hikayat Hang Tuah.
Artikel
2
Tajuk
: Polemik Hang Tuah
Penulis:
Yusri Abdul Malek
Artikel “Polemik Hang Tuah” ini ditulis oleh Yusri Abdul
Malek yang disiarkan dalam akhbar harian metro. Artikel ini berkisar tentang pendebatan yang tercetus
mengenai benarkah Hang Tuah dan Kesultanan Melayu Melaka itu wujud. Polemik ini
wujud kerana tiada bukti nyata dan kukuh mengatakan bahawa Hang Tuah itu wujud.
Tapak yang menjadi tempat Kesultanan
Melaka pada kurun ke-13 dan ke-14 juga, tidak dijumpai satu kubur sultan atau
pembesar pun di sana. Hal ini
menimbulkan persoalan dalam kalangan pengkaji sejarah. Adakah Hang Tuah yang
tertulis dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu itu benar-benar wujud?
Artikel
ini seolah-olah mempersoalkan sejarah yang terkandung mengenai Hang Tuah yang
tertulis dalam Hikayat Hang Tuah. Barang-barang diraja dan monumen juga tidak
dijumpai sebagai bukti kewujudan Hang Tuah dan Kesultanan Melaka. Penulis
menyatakan bahawa hanya tinggalan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sahaja
yang dijumpai. Polemik ini juga tercetus apabila, seorang lelaki mengaku bahawa
dia adalah keturunan Hang Tuah, iaitu generasi ke-12. Lelaki tersebut juga
membawa naskhah Hikayat Hang Tuah dan dua gelang bertatah batu petir. Namun, Profesor Emeritus Datuk Khoo Kay Kim, iaitu seorang tokoh sejarah pula berpendapat walaupun ada Hikayat Hang
Tuah yang boleh dirujuk tetapi naskhah itu tidak dianggap ‘historiografi’ yang
tepat kerana digarap dalam pelbagai versi yang sukar ditentukan versi mana yang
dijadikan rujukan tepat kepada pengkaji sejarah.
Oleh itu, hingga ke
hari ini kewujudan Hang Tuah yang diceritakan melalui Hikayat Hang Tuah dan
Sejarah Melayu ini dipersoalkan kesahihannya.
Artikel 3
Tajuk:
Hikayat Hang Tuah Kemuncak Sastera Klasik
Penulis :
Mazlan Nordin
Sumber :
Utusan Malaysia
Artikel yang bertajuk ‘Hikayat Hang Tuah Kemuncak Sastera Klasik’ ini
telah ditulis oleh Mazlan Nordin dan telah tersiar dalam akhbar Utusan Melayu.
Penulis telah menceritakan mengenai kisah sultan tidur di riba Hang Jebat.
Penulis telah memetik beberapa perenggan Hikayat Hang Tuah yang menceritakan
perihal sultan dan Hang Jebat. Hal ini, berlaku kerana sultan dan dayang-dayang
telah mendengar Hang Jebat membaca hikayat dan terlalu merdu suaranya. Oleh
itu, sultan sangat suka mendengarnya sehingga tertidur di atas riba Hang Jebat.
Berikut merupakan petikan Hikayat Hang Tuah yang telah penulis ambil sebagai
bukti bahawa sultan pernah tidur di atas riba Hang Tuah:
Maka raja pun keluar duduk di bendul dihadap oleh
segala biduanda. Maka Hang Jebat pun datang menghadap. Maka disuruhnya oleh
raja membaca hikayat, kerana ia tahu
membawa suara bagai-bagai, tambahan suaranya terlalu baik. Maka Hang Jebat pun
membawa hikayat, terlalu nyaring suaranya lagi merdu.
Maka
segala dayang-dayang dan perwara dan gundik raja sekaliannya pun duduk mengintai
di balik dinding, mengintaikan Hang Jebat membaca hikayat itu. Maka segala
gundik raja pun berahilah akan Hang Jebat. Maka raja pun terlalu suka cita
mendengar Hang Jebat membaca hikayat itu, suaranya terlalu manis seperti buluh
perindu, kerana Hang Jebat pandai mengadakan
suara memberi sekalian mendengar dia pilu dan rawan, barang siapa mendengar dia menjadi kasih hatinya.
Maka raja pun beradulah di ribanya Hang Jebat. Maka Hang Jebat pun berhenti
daripada membaca itu lalu bernyanyi pula mengulit raja beradu itu, terlalu
sekali merdu suaranya. Maka raja pun tidurlah di riba Hang Jebat terlalu
nyedar.
Di samping itu, penulis juga menceritakan mengenai perihal Hang Tuah.
Hang tuah merupakan seorang hulubalang yang berani, taat setia dan berkhidmat sepenuh tenaganya untuk
sultan. Hikayat Hang Tuah dikatakan sebagai kemuncak sastera klasik kerana
hikayat ini merupakan satu-satunya karya sastera yang ditulis pada sekitar
kurun ke-13 dan kurun ke-14. Hikayat ini tidak menceritakan mengenai perihal
raja atau sultan tetapi memperihalkan mengenai seorang rakyat yang begitu taat
kepada sultannya. Oleh itu, hikayat ini diangkat sebagai kemuncak karya sastera
klasik pada zamannya.
Artikel 4
Tajuk : Bahasa Warna
dalam Hikayat Hang Tuah
(Dewan Bahasa : Raja
Masittah Raja Ariffin)
Artikel ini dipetik dalam Dewan Bahasa
pada Mac 2009. Artikel ini berkisarkan tentang warna bahasa yang terdapat dalam
Hikayat Hang Tuah yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, pada tahun
1968 yang diselenggarakan oleh Kassim Ahmad. Warna memang kaya dengan makna dan
simbol yang tersembunyi. Simbol dan metafora membantu kita memahami bahasa dan
bentuk pertuturan sehari-hari. Misalnya, warna merah dikaitkan dengan sifat
agresif, semangat perjuangan yang berkobar-kobar, keberanian, dan sebagainya.
Dalam HHT, warna merah digunakan bagi merujuk kepada batu permata, bunga,
tempat, serta keadaan tubuh dan wajah yang marah.
Selain
itu, gabungan warna merah dan putih menghasilkan warna merah muda, merah jambu
atau merah samar. Warna merah samar melahirkan sifat penyayang, mengambil berat,
kelembutan, dan seumpamanya. Manakala, warna merah tua atau kesumba yang
terdapat dalam hikayat Hang Tuah merujuk kepada warna bibir dan pakaian.
Warna
kuning dianggap warna yang menunjukkan sifat yang sangat kreatif dan berdaya
intelektual. Warna ini juga merupakan simbol kebijaksanaan, kegembiraan dan
keriangan. Dalam HHT, warna kuning digunakan terutamanya untuk pakaian diraja
mahupun pakaian yang dianugerahi sultan kepada laksamana selain penggunaannya
pada tempat dan bahagian-bahagian tertentu bangunan. Di samping itu, terdapat
juga warna jingga atau oren yang dilihat sebagai bertenaga yang dapat
merangsang minat dan kreativiti, dan dikaitkan dengan semangat dan ketahanan
diri. Warna emas atau keemasan pula melambangkan kemewahan, sihat dan selalu
bersifat optimis dan kejayaan seperti yang terdapat dalam hikayat yang dikaji.
Warna hijau pula dalam HHT banyak merujuk kepada pakaian, haiwan dan tubuh
badan.
Warna
ungu merupakan warna yang amat digemari dalam kalangan artis dan seniman.
Terdapat juga kajian yang mengatakan bahawa warna ungu sebagai simbol magis dan
misteri. Warna putih pula melambangkan ketulenan dan kesucian. Warna putih
paling banyak disebut di dalam HHT berbanding dengan warna-warna yang lain.
Selain kuda, buah kelapa, batu, benang, dan pakaian, warna putih digunakan
untuk lembu dan buaya yang simbolik sifatnya.
Terdapat
juga penggunaan warna hitam yang kerap dikaitkan dengan upacara sihir,
kegelapan, perkabungan dan dunia jenayah dalam sesetengah budaya. Dalam HHT,
warna ini digunakan untuk batu, dan bahagian rumah seperti tangga dan papan.
Seterusnya
terdapat juga penggunaan warna kelabu yang melambangkan rasa sedih, berduka
cita dan sebagainya yang menyatakan kurang pergerakan, emosi dan mengenal pasti
cirri dan watak.
Demikianlah,
terdapat pelbagai bahasa warna dalam Hikayat Hang Tuah ini. Warna-warna ini
memberikan makna yang sejagat dan juga batas atau sempadan silang budaya dengan
menyampaikan mesej yang menjangkau etnik dan bangsa. Pada umumnya, warna dapat
memberikan maksud yang tertentu.
4) Koleksi
Artikel Karya Agung : Kitab Bustan al-Katibin
Pada
tahun 1850 Masihi, di Melayu muncullah kitab yang monumental yang ditulis Raja
Ali Haji yang ditulis dalam bahasa Arab Melayu yang berjudul Bustan al-Katibin. Menurut Prof. Hashim
bin Musa dari Universiti Malaya, kitab ini merupakan tulisan paling awal
tentang bahasa Melayu yang disusun oleh orang Melayu. Lapan tahun kemudian
(1858 M), Raja Ali Haji juga menulis tentang bahasa Melayu, iaitu Pengetahuan Bahasa; Kamus Loghat Melayu
Johor, Pahang, Riau, dan Kingga. Terang Prof Hashim yang memberi pengantar
dan memperkenalkan kitab ini :
“Sesungguhnya karya-karya tentang bahasa
Melayu oleh Raja Ali Haji ini merupakan warisan yang amat berharga yang menjadi
penyambung kepada tradisi pengajian bahasa dalam Islam yang bermula sejak zaman
awal Islam lagi,”.
(Bustan
al-Katibin, Raja Ali Haji, 2005: xiii)
Dalam Islam, memang ada keterkaitan
yang dalam antara pemahaman bahasa atau ilmu dengan pentauhidan kepada Allah. Ungkap
Prof. Hashim lagi,
“Dalam Islam, pengajian bahasa khususnya
bahasa Arab dan bahasa penganut Islam yang lain, merupakan ilmu alat untuk
mencapai makrifat iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan, memperteguh
keimanan dan ketakwaan, dan menyemai adab kesopanan yang mulia, yang
mengandungi antara lain ilmu-ilmu nahwu (sintaksis), saraf (morfologi), qawaid
(bahasa), mantiq (logika), balaghah (retorik), istidlal (pendalilan), kalam
(penghujahan) dan sebagainya.”
Dalam kitabnya Bustanul Katibin ini, Raja Ali Haji memulai dengan Muqaddimah
dengan judul Fi Fadhilati al ilmi wal
aqli (Kelebihan ilmu dan akal). Pertamanya, ia mengutip hadis Rasulullah
yang terkenal :
“Barangsiapa dikehendaki Allah kebaikan, maka
ia diberi pemahaman kepada ilmu agama (ad-diin).”
Kemudian Raja Ali Haji menyatakan :
“Adapun kelebihan akal itu seperti kata
hukama husnu hilyah, ertinya akal itu sebaik-baik perhiasan. Dan lagi kata
hukama al fadhlu bil aqli wal adabi la bil ahli wan nasabi, ertinya kelebihan
itu (pada) akal dan adab dan tiada (bukan) sebab bangsa dan asal.” Maka
terangnya,
“Jikalau beberapa pun bangsa jka tiada ilmu
dan akal dan adab, ke bawah juga jatuhnya, yakni kehinaan juga diperolehnya.”
Di sini, Raja Ali Haji mengaitkan
hubungan yang erat antara ilmu, akal dan adab. Ertinya agar akal dan adab
seseorang, masyarakat atau bangsa menjadi baik (menjadi unggul), maka mesti
diberi ilmu yang benar.
Tajuk
:
Adab Menuntut Ilmu Dalam Sistem Pendidikan Negara, Elak Gejala Sosial
Penulis
: Nazmi Yaakub
Sumber : Berita Harian (Sesi Bicara Karya Agung,
Bustan ai-Katibin atau Kitab Pengetahuan Bahasa - Perkaitannya dengan
Isu Bahasa dan Budaya Meiayu Semasa)
Artikel
ini membicarakan tentang cadangan kepada Kementerian Pelajaran agar memasukkan
adab menuntut ilmu dalam sistem pendidikan negara ini dengan mengambil panduan
daripada karya agung, Bustan al-Katibin
atau Kitab Pengetahuan Bahasa. Prof Dr Hashim Musa, mencadangkan
perkara terbabit kerana teks klasik karya Raja Ali Haji itu meletakkan
pengajian bahasa Melayu berdasarkan tradisi pengajian Islam, sekali gus
menghubungkan pelajar dengan nilai agama serta moral.
Pengajian bahasa khususnya Arab yang
kemudian yang turut diterapkan dalam bahasa Melayu, dianggap ilmu alat untuk
mencapai makrifat, iaitu memperteguhkan keimanan dan ketakwaan, selain menyemai
adab kesopanan yang mulia. Pendidikan mengenai adab menuntut ilmu seperti yang
ditekankan dalam Kitab Pengetahuan Bahasa
itu, penting diterapkan dalam sistem pendidikan kerana boleh menjadi
penyelesaian dan jawapan kepada gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat
kini.
Cabaran dan krisis pendidikan kita
timbul akibat kecelaruan ilmu apabila kita tidak lagi menekankan hakikat ilmu
yang benar sehingga kekaburan terhadapnya menyebabkan kita hanya berjaya
melahirkan pekerja mahir dan cekap, tetapi jahil mengenai hakikat kebenaran.
Hal ini juga timbul kesan daripada ketiadaan penyemaian dan pemupukan adab
sehingga melahirkan manusia kurang adab, rendah budi bahasa dan pekerti serta
luntur nilai murni dan akhlak mulia. Prof Hashim yakin bahawa gejala sosial
yang tidak dapat dibendung itu, diburukkan pula dengan kemelut politik yang
tidak menentu dan membingungkan rakyat, sekali gus mencabar kestabilan dan
perpaduan negara bangsa. Hakikatnya banyak gejala sosial yang berlaku dalam
masyarakat kini ada kaitan dengan alam persekolahan dalam bentuk gejala ponteng
sekolah, samseng, percurian, kebiadapan, lucah, bacul, tidak hormat dan patuh
kepada guru serta peraturan.
Sistem pendidikan kini gagal menyemai dan
memupuk budi bahasa, akal budi yang tinggi, adab sopan, akhlak dan budi pekerti
mulia dalam kalangan generasi muda. Perkara itu dikatakan berpunca daripada
kegagalan sistem pendidikan dalam mengutamakan penyemaian dan pemupukan ilmu
yang benar dan bermanfaat, sebaliknya tumpuan diberikan kepada ilmu kemahiran
dan maklumat. Pendidikan adab sopan, budi pekerti dan akhlak mulia terus
diabaikan, sedangkan pendidikan itu penting dalam melahirkan generasi berdaya
usaha, juang dan tahan. Inilah cabaran dan krisis masa kini yang melanda
masyarakat kesan daripada keadaan kita yang tersisih daripada tradisi
pendidikan warisan sedangkan terbukti berfungsi untuk membina tamadun bangsa
yang tinggi.
Khalayak bicara diberitahu, Kitab Pengetahuan Bahasa mendahulukan
tujuh perkataan yang menjadi kata kunci bagi seluruh ilmu pengetahuan iaitu
Allah; an-Nabi atau Nabi Muhammad saw; al-Ashab (sahabat Rasullullah); al- Ahbar
(ulama); al-Insan (manusia); al-Awwal (dunia) dan al-Akhirat (akhirat). Tujuh
asas konsep ilmu dalam bahasa Melayu itu perlu dipelajari, difahami dan
diyakini bangsa Melayu apabila mempelajari bahasanya agar mereka dapat
menerangkan kedudukan diri sebagai insan dalam konteks hubungan dengan Allah,
dunia dan akhirat serta manusia. Hierarki kejadian dan penciptaan alam semesta
pula dikatakan terkandung dalam konsep kosmologi, manakala martabat ilmu pula
berada dalam konsep apisetmologi, iaitu al-Nabi, al-Ashab dan al-Ahbar.
No comments:
Post a Comment