TAKRIF MELAYU
Menurut Perlembagaan Malaysia, Melayu ialah orang yang
lazimnya orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya
Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama
ada di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari merdeka dan telah
bermastautin di Persekutuan atau Singapura ataupun ia adalah keturunan
seseorang yang tersebut. Pengertian dalam perlembagaan itu telah termaktub pada
Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia. Perkara ini telah wujud sejak
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 dahulu.
Dari sudut suku bangsa pula, Melayu
ditakrifkan sebagai orang yang berketurunan suku Melayu dari segi darah
dagingnya, bertutur bahasa atau dialek Melayu dan berkebudayaan serta beradat
resam Melayu. Agama Islam tidak menjadi syarat. Suku Melayu jenis ini terdapat
di Semenanjung Malaysia, termasuklah Selatan Thailand, pantai Sarawak, Brunei,
pantai Sabah, persisir Kalimantan, Indonesia, pantai Timur Sumatera dari
Tamiang hingga ke Palembang dan Bengkulu, di Kepulauan Riau-Lingga serta
Bangka-Belitung.
Terdapat juga pengertian lain dari segi
suku bangsa, iaitu syarat beragama Islam itu adalah wajib tetapi syarat
keturunan darah suku Melayu ditiadakan. Hal ini bermakna sekiranya terdapat
suku lain memeluk Islam, misalnya orang daripada suku bangsa Cina dan tinggal
dalam kalangan orang Melayu, orang tersebut menjadi orang Melayu. Pertukaran
agama menjadi Islam ini dikatakan masuk Melayu. Perkara ini pernah berlaku di
Sarawak, Tanah Melayu dan Sumatera Timur. Terdapat juga definisi Melayu yang
didasarkan kepada daerah atau negeri seperti orang Melayu Johor, orang Melayu
Kelantan, orang Melayu Kedah dan sebagainya.
Selain itu, Melayu dari segi pengertian
yang diberikan oleh UNESCO (United
Nations Educational, Scientific and Cultural Organization) pula merujuk
kepada satu keluarga bangsa yang mempunyai satu keluarga yang sama, bentuk
fizikal tubuh badan yang hampir sama, berkulit sawo matang, rambut lurus dan
tinggi yang sederhana dan mereka adalah penduduk asli di satu kawasan yang
sangat besar, iaitu dari Madagaskar di pantai timur benua Afrika, di barat
hingga ke Pulau Paskah (Easter Islands), di Lautan Pasifik yang berhampiran
dengan Republik Chile di timur, kemudian dari Kepulauan Hawaii dan Taiwan di
utara hingga ke Pulau New Zealand di selatan. Oleh itu, Melayu adalah satu
kelompok bangsa yang sejak beberapa lama dahulu dikenali sebagai
Malayo-Polynesia (Melayu-Polinesia) atau Austronesia yang sering digunakan
sekarang. Hal ini menjelaskan bahawa Melayu merangkumi pelbagai suku kaum
seperti Aceh, Batak, Lampung, Sunda, Jawa, Bugis, Filipino dan lain-lain.
Pada zaman kesultanan Melaka, identiti
Melayu hanya terbatas dalam kalangan keturunan kerabat diraja yang berasal dari
Bukit Siguntang. Walau bagaimanapun, keterikatan ini longgar pada masa-masa
berikutnya dan seterusnya menghilang sejak abad ke-17 akibat daripada
kemunculan kerajaan warisan Melaka dan kerajaan Islam baru, perdagangan
antarabangsa dan lain-lain. Kelonggaran keterikatan identiti Melayu ini turut
berpunca daripada kedatangan orang-orang Sumatera dan Jawa dalam jumlah yang
besar pada abad ke- 19.
Selain itu, muncul era baru dalam
pembinaan entiti Melayu dalam rangka lebih luas di peringkat Nusantara selepas
kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada tahun 1699. Dalam Sejarah Siak,
munculnya Raja Kecil Siak yang menampilkan dirinya sebagai putera Sultan Mahmud
Mangkat Dijulang. Oleh itu, masyarakat di Sumatera terutamanya di kawasan Riau
menganggap mereka adalah bangsa Melayu kerana raja mereka yang bernama Raja
Kecil Siak dianggap putera kepada Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Makam Sultan
Mahmud Syah berada di Rokan, Riau dan dijadikan sebagai tanda atau bukti dalam
kalangan masyarakat daerah tersebut bagi mengesahkan mereka adalah orang
Melayu.
Identiti ‘Melayu’ diguna pakai apabila
berlakunya perkembangan umum perdagangan yang menyebabkan pelbagai bangsa
termasuk dari China, India, Eropah dan Arab berkumpul di Nusantara. Mereka
memerlukan satu identiti agar dapat dibezakan daripada bangsa-bangsa tersebut
semasa berada pada peringkat antarabangsa. Dari situlah mereka memilih untuk
mengidentitikan diri sebagai Melayu atas dua sebab iaitu yang pertama, mereka
beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat kebudayaan Nusantara.
Sebab yang kedua pula ialah nama Melayu sudah mempunyai prestij kerana
mempunyai empayar terkenal iaitu Kesultanan Melayu Melaka.
ETIMOLOGI MELAYU
Etimologi merupakan kajian asal usul
dan sejarah sesuatu perkataan. Terdapat beberapa kajian dijalankan untuk
mengetahui etimologi perkataan ‘Melayu’. Selain itu, terdapat beberapa bahan
bukti yang ditemui bagi menentukan etimologi Melayu. Antaranya ialah penemuan
batu bersurat, patung, catatan, nama tempat atau kawasan dan sebagainya. Hasil kajian yang diperolehi saling mempunyai perkaitan antara satu sama
lain. Antara pendapat mengenai etimologi Melayu adalah menurut Noriah Mohammed (1999) , istilah Melayu
merujuk kepada kerajaan Melayu. Penggunaan istilah ‘Melayu’ pada peringkat awal
sekitar tahun 100 hingga 150 Masihi apabila M. Ptolemy telah menggunakan
istilah maleu-kolon dalam bukunya yang bertajuk Geographike Sintaxis.
Menurut Gerini, istilah tersebut berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu malaikurram
atau malayakolam yang merujuk kepada sebuah tempat yang terletak di utara
semenanjung Malaysia iaitu Tanjung Kuantan.
Selain itu, terdapat istilah Malaya
dvipa dalam sebuah kitab Hindu purba yang ditulis pada zaman Gautama.
Istilah Malaya dvipa bermaksud tanah yang dikelilingi air. Para pengkaji
beranggapan istilah tersebut merujuk kepada Pulau Sumatera. Selain itu, menurut
catatan seorang rahib Budddha yang bernama I-Shing, terdapat sebuah kerajaan
yang dikenali sebagai Mo-Lo-Yu. Beliau telah menemui kerajaan tersebut
semasa dalam perjalanan dari Canton ke India kira-kira pada tahun 675 Masihi.
Kerajaan tersebut merupakan salah satu daripada jajahan takluk kerajaan
Sriwijaya yang berpusat di Palembang. Catatan I-Shing menyatakan terdapat
utusan Mo-lo-yu yang dihantar ke negara China untuk mempersembahkan
hasil bumi mereka kepada raja China. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai
bahasa pengantar dan bahasa rasmi kerajaan Sriwijaya. Dalam kerajaan Sriwajaya,
bahasa Melayu yang dituturkan ketika itu ialah bahasa Kun-Lun, iaitu
bentuk bahasa Melayu terawal yang dikenali sebagai bahasa Melayu kuno.
Di samping itu, terdapat sebuah
penemuan perkataan ‘Melayu’ di belakang sebuah patung yang dijumpai di Padang
Rocore yang terletak di Sungai Batanghari, Sumatera Selatan. Penemuan berkenaan
bertarikh 1286 Masihi. Selain itu, dalam buku Sejarah Melayu, terdapat bukti
yang menunjukkan perkataan Melayu dikaitkan dengan sebatang sungai iaitu Sungai
Melayu yang terletak di Palembang. Terdapat juga pengkaji yang berpendapat
bahawa perkataan ‘melayu’ dipinjam daripada perkataan Jawa kuno, mlayu. Perkataan
mlayu bermaksud ‘mengembara’ dan sesuai dikaitkan dengan orang Melayu
yang hidup berpindah-randah dari Yunan ke kawasan selatan. Terdapat juga
penemuan perkataan Melayu pada batu bersurat. Terdapat penemuan perkataan Malayapura
yang bermaksud kota Melayu atau kerajaan Melayu pada Batu Bersurat Bukit
Gombak Satu di Sumatera barat. Seterusnya, Abdullah Jumain telah membuat satu
kesimpulan mengenai perkataan Melayu. Beliau berpendapat bahawa istilah Melayu
bermula dengan nama sebuah daerah di Jambi dan berkembang pada zaman Sriwijaya.
Seterusnya, menurut Zuber Osman,
perkataan Melayu berasal daripada perkataan ‘Himalaya’ yang telah disingkatkan
kepada ‘Malaya’ dan kemudian menjadi Melayu. Seterusnya, terdapat juga pengkaji
bahasa yang berpendapat perkataan ‘Melayu’ berasal daripada perkataan
‘Malaiyurpura’. Penggunaan perkataan ini
terdapat pada prasasti Bukit Gombak yang dijumpai di Sumatera Barat.
Perkataan Malaiyurpura bermaksud kota malaiyur atau kota gunung. Perkataan Melayu
bermula daripada perkataan malaiyur, seterusnya berubah kepada perkataan
malaiyu, perkataan malaiyu pula berubah kepada perkataan malayu dan akhir
sekali perkataan malayu berubah kepada perkataan melayu.
Seterusnya, terdapat pendapat yang mengatakan
perkataan ‘Melayu’ berasal daripada perkataan ‘pamalayu’. Perkataan ‘pamalayu’
merujuk kepada sebuah peristiwa iaitu peristiwa serangan ke atas sebuah wilayah
yang terletak di Sumatera Barat oleh Raja Kertanegara. Raja Kertanegara
merupakan raja yang berasal dari Singhasari Jawa Timur. Perkataan Pamalayu
bermaksud Ekspedisi Malayu, iaitu penyerangan dan seterusnya penguasaan
terhadap negeri Malayu. Seterusnya, terdapat juga pendapat yang mengatakan
bahawa perkataan Melayu berasal daripada Malayu. Malayu merupakan sebuah
kerajaan yang berpusat di Muara Jambi. Kerajaan ini wujud pada abad ke-7,
kira-kira pada tahun 644 Masihi. Kerajaan ini pernah dilawati oleh I Tsing pada
tahun 671 Masihi. Nama bagi kerajaan ini berasal daripada nama sebuah sungai
yang terletak di situ, iaitu Sungai Malayu.
Bahasa Melayu juga telah mengalami
tahap perkembangan dan etimologi yang dapat dibuktikan dengan penemuan beberapa
bahan bukti. Antara bahan bukti kewujudan bahasa Melayu adalah melalui penemuan
batu bersurat. Menurut Amat Juhari Moain, bahasa Melayu berkembang melalui
beberapa zaman. Perkembangan bahasa Melayu terbahagi kepada lima zaman iaitu
zaman bahasa Melayu Purba, zaman bahasa Melayu kuno, zaman bahasa Melayu
klasik, zaman bahasa Melayu Pramoden dan zaman bahasa Melayu moden.
Seterusnya, bahasa Melayu purba telah
wujud pada zaman prasejarah. Akan tetapi, tidak ada bahan bukti sejarah yang
bertulis pada masa itu. Seterusnya, bahasa Melayu kuno bermula pada abad ke -4
Masihi. Terdapat penemuan sebuah prasasti berbahasa Melayu di Dong Yen Chau, di
teluk Tourane, Vietnam bertarikh kira-kira pada abad ke-4 Masihi. Selain itu,
terdapat juga beberapa prasasti berbahasa Melayu yang lain yang telah ditemui. Antaranya ialah prasasti yang
dijumpai di Kedukan Bukit, Talang Tuwo, Telaga Batu, Kota Kapur, Karang Berahi
dan sebagainya. Seterusnya, bahasa Melayu klasik pula bermula dari awal ke-14
Masihi sehingga ke akhir abad ke-18 Masihi. Zaman permulaannya ditandai dengan
prasasti Terengganu yang bertarikh pada 702 Hijrah bersamaan dengan 1303
Masihi. Antara perbezaan bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu kuno adalah
terdapat penggunaan tulisan jawi, iaitu tulisan Arab berbahasa Melayu dalam
bahasa Melayu klasik.
Selain itu, pada zaman bahasa Melayu
klasik, bahasa Melayu banyak dipelajari oleh orang bukan Melayu seperti orang
Cina, India, Arab, Farsi, Portugis, Belanda, Itali dan sebagainya. Penguasaan
bahasa Melayu oleh orang asing ini adalah bertujuan untuk perniagaan,
perhubungan antara negara dan raja, dan pengembangan ajaran agama terutama
agama Islam dan Kristian. Zaman bahasa Melayu klasik merupakan zaman yang lebih
maju dan membangun berbanding zaman bahasa Melayu kuno. Pada zaman tersebut,
perkembangan ilmu pengetahuan dan kegiatan intelektual bahasa Melayu telah
mencapai tahap yang tinggi. Selain itu, bahasa Melayu juga telah menjadi bahasa
utama di Asia Tenggara.
Seterusnya, pada zaman bahasa Melayu
pramoden, perkembangan bahasa Melayu semakin pesat. Hal ini demikian kerana
penjajah barat memperkenalkan beberapa alat teknologi moden. Kegiatan menulis
dalam bahasa Melayu telah sudah mula memasyarakat dan merakyat. Seterusnya,
pada zaman bahada Melayu moden, negeri-negeri dan kesultanan Melayu telah
menggunakan bahasa Melayu yang sepenuhnya dalam urusan pemerintahan. Selain
itu, sekolah-sekolah Melayu juga dibuka dengan lebih banyak lagi berbanding
dengan zaman-zaman sebelumnya.
Perubahan-perubahan yang berlaku dalam
kelima-lima zaman dapat membuktikan bahawa bahasa Melayu merupakan sebuah
bahasa yang unggul dan hebat. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu sentiasa
mengalami perubahan yang positif seiring dengan peredaran zaman. Selain itu,
bahasa Melayu juga merupakan sebuah bahasa yang mudah difahami dan dikuasai
oleh pelbagai bangsa.
ASAL USUL MELAYU
Asal usul bermaksud
“salasilah” atau “keturunan” atau “susur galur”. Asal usul Melayu merujuk
kepada kajian tentang salasilah atau keturunan bangsa Melayu. Walaupun sudah
ada beberapa kajian dilakukan terhadap asal usul bangsa Melayu, namun kata
sepakat para pengkaji belum tercapai. Setakat ini ada dua pandangan yang
dikemukakan. Pandangan yang pertama menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal
daripada utara (Asia Tengah) manakala pandangan yang kedua pula menyatakan
bahawa bangsa Melayu memang sudah sedia ada di Kepulauan Melayu atau Nusantara
ini.
Terdapat
dua hipotesis yang diutarakan oleh ahli arkeologi dan ahli linguistik untuk
mendapatkan kepastian tentang tempat asal penutur bahasa Melayu. Hipotesis yang
diutarakan oleh pengkaji-pengkaji tersebut iaitu kawasan Asia Tengah dan
kawasan Nusantara. Menurut teori kawasan Asia Tengah menyatakan bahawa orang
Melayu berasal dari Selatan China. Ada juga yang berpendapat bahawa mereka
datang dari Indo-China atau Yunan atau Burma. Perpindahan kelompok dari utara
ke selatan ini berlaku dalam dua kumpulan iaitu kumpulan Melayu Proto dan
kumpulan Melayu Deutro.
Selain
itu, ada juga kajian mengenai asal usul bahasa Melayu menyatakan bahawa
terdapat dua kelompok nenek moyang orang Melayu. Kelompok pertama nenek moyang
orang Melayu dikatakan datang dari Yunan, China. Mereka mengembara ke Nusantara
sejak SM 2,500 dan menjadi penduduk asal Nusantara. Orang yang datang dari
Yunan ini dipanggil Melayu Proto atau Melayu Kuno. Kemudian, kira-kira tahun SM
1500, kelompok kedua pula datang ke Nusantara dari Asia Tengah. Mereka
dipanggil orang Melayu Deutro atau Melayu Moden. Mereka menduduki daerah-daerah
yang subur di pinggir-pinggir pantai Nusantara. Ini menyebabkan orang-orang
Melayu Proto tadi terdesak berpindah ke gunung-gunung dan hutan-hutan rimba di
pedalaman. Orang-orang Melayu Proto ini berpecah-pecah menjadi beberapa
kelompok, iaitu orang-orang Jakun, Orang Laut, Orang Kanak, Temuan, Biduanda
dan beberapa kelompok lain.
Hipotesis penghijrahan kelompok Melayu Proto dikemukakan oleh
P. Sarasin dan F. Sarasin pada tahun 1892. Teori tersebut diperkukuhkan lagi
dengan kajian yang dilakukan oleh Von Heine Geldern pada tahun 1932. Beliau
telah membuat kajian tentang beliung-beliung batu bersegi panjang yang ditemui
di sungai Hwang Ho, Sungai Yangtze, Sungai Salween, Sungai Irrawady dan Sungai
Brahmaputra. Bentuk dan jenis-jenis beliung batu tersebut didapati mempunyai
persamaan dengan beliung-beliung yang dijumpai di Nusantara. Beliau percaya
beliung-beliung tersebut telah dibawa oleh orang Asia Tengah ke Kepulauan
Melayu.
Selain itu, persamaan dari segi alat perkakas dan peralatan
yang lain seperti kapak batu, kapak persegi bujur, tulang mawas, hasil kerja
tangan seperti tembikar, pasu, tempayan, tikar dan lain-lain. Manakala
persamaan dari segi kebudayaan Hoa-binh dan Dogson yang ditemukan di daerah
Vietnam dan juga di daerah-daerah lain di Asia Tenggara seperti yang telah
diteliti dan dikaji oleh Robert Von Heine Geldern.
Walau bagaimanapun, hipotesis ini menimbulkan beberapa keraguan
iaitu pengkaji bahasa yang menolak hipotesis ini mengatakan bahawa teori
beliung Von Heine Geldern tidak boleh diterima. Artifak yang ditemui bukan
sahaja terdapat di Asia Tengah tetapi juga terdapat di Eropah dan Amerika.
J. H. C. Kern pula ialah seorang ahli filologi Belanda yang
pakar dalam bahasa Sanskrit dan pelbagai bahasa Austronesia yang lain telah
membuat kajian berdasarkan beberapa perkataan yang digunakan sehari-hari.
Perkataan yang dikaji antaranya ialah nama tumbuh-tumbuhan, haiwan dan nama
perahu. Beliau mendapati bahawa perkataan yang terdapat di Kepulauan Nusantara
ini juga terdapat di Madagaskar, Filipina, Taiwan dan beberapa buah pulau di
Lautan Pasifik. Antara perkataan tersebut ialah padi, buluh, rotan, pisang dan
ubi. Berdasarkan senarai perkataan yang dikaji itu, Kern berkesimpulan bahawa
bahasa Melayu berasal daripada satu induk yang ada di Asia.
Di samping itu, pengkaji budaya dan adat resam J. R. Logan
berpendapat terdapat persamaan antara adat resam orang Melayu dengan adat resam
masyarakat kaum Naga di Assam, Burma iaitu di daerah Burma dan Tibet. Beliau
membuat kesimpulan Asia Tengah merupakan tempat nenek moyang bangsa Melayu.
Persamaan adat resam ini berkait rapat dengan bahasa yang digunakan mereka. Beliau
mengambil kesimpulan bahawa bahasa Melayu tentulah berasal dari Asia. G. K.
Nieman dan R. M. Clark yang membuat kajian berdasarkan adat resam juga
bersependapat dengan J. R. Logan.
Dua
orang sarjana Melayu, iaitu Slametmuljana dan Asmah Haji Omar juga menyokong
pendapat tersebut. Slametmuljana yang membuat penyelidikannya berdasarkan
perbandingan bahasa, sampai pada suatu kesimpulan bahawa bahasa Austronesia
yang dalamnya termasuk bahasa Melayu, berasal dari Asia. Asmah Haji Omar
membuat huraian yang lebih terperinci lagi. Beliau berpendapat bahawa
perpindahan orang Melayu dari daratan Asia ke Nusantara ini tidaklah sekaligus
dan juga tidak melalui satu laluan. Ada yang melalui daratan, iaitu Tanah
Semenanjung, melalui Lautan Hindi dan ada pula yang melalui Lautan China.
Namun, beliau menolak pendapat yang mengatakan bahawa pada mulanya asal bahasa
mereka satu dan perbezaan yang berlaku kemudian adalah kerana faktor geografi
dan komunikasi. Dengan demikian, anggapan bahawa bahasa Melayu Moden merupakan
perkembangan daripada bahasa Melayu Klasik, bahasa Melayu Klasik berasal
daripada bahasa Melayu Kuno dan bahasa Melayu Kuno itu asalnya daripada bahasa
Melayu Purba merupakan anggapan yang keliru.
Para pengkaji yang tidak bersetuju dengan hipotesis yang
menyatakan kelompok Melayu berasal dari Asia Tengah telah mengemukakan satu
lagi hipotesis. Mereka berpendapat orang Melayu tidak datang dari luar tetapi
memang telah wujud di Nusantara. Bukti yang pertama berdasarkan kajian bahasa
yang merujuk kepada keakrabatan antara bahasa Austronesia. Menurut William
Marsden, bahasa Melayu mempunyai keakrabatan dengan bahasa Polinesia, Melanesia
dan Mikronesia. Persamaan dapat dilihat dari segi bentuk kata dan struktur
bahasa.
Bukti yang kedua ialah berdasarkan kajian kebudayaan. Seorang
sarjana Inggeris, John Crawfurd mendapati tanah asal orang Melayu ialah
Sumatera dan Jawa kerana kedua-dua kawasan menunjukkan perkembangan kebudayaan
yang sangat menonjol berbanding dengan kawasan-kawasan lain di Nusantara. Bukti
yang ketiga ditinjau dari sudut geografi. Dari Zaman Pilosen hingga Zaman
Pleistosen, Nusantara merupakan sebuah daratan yang luas yang dikenali sebagai
Pentas Sunda manakala Pentas Sahul ialah Australia dan New Guinea. Pencairan
glasier telah menyebabkan beberapa wilayah terpisah dan berlaku juga
perpindahan kelompok masyarakat dari satu daratan ke satu daratan. Hal ini
membuktikan perpindahan manusia bukan dari Asia Tengah tetapi penduduk asal
Nusantara.
John Crawfurd membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di
Sumatera, Jawa, Kalimantan dan kawasan Polinesia. Beliau berpendapat bahawa
asal bahasa yang tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau
Jawa dan bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera. Beliau juga menambah hujahnya
dengan bukti bahawa bangsa Melayu dan bangsa Jawa telah memiliki taraf
kebudayaan yang tinggi dalam abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat
dicapai setelah mengalami perkembangan budaya beberapa abad lamanya. Beliau
membuat kesimpulan bahawa orang melayu itu tidak berasal dari mana-mana tetapi
merupakan induk yang menyebar ke tempat lain.
KONSEP
KARYA AGUNG
Karya
agung merupakan karya-karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu,
falsafah, budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca.
Unsur dalam karya ini merangkumi mutu, nilai ketamaunan dan nilai kemanusiaan
di dalam karya tersebut. Dunia ketamadunan Melayu telah memperlihatkan,
terdapat banyak karya-karya agung yang telah dihasilkan.
Karya-karya
ini melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan
identitinya yang tersendiri. Karya agung dapat membuatkan kita mengenali dan
mengetahui sejarah dan kehebatan tamadun-tamadun dunia seperti tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa
yang lain. Melalui penghasilan karya seni, pemikiran, falsafah, sastera yang
dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka mampu
meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman. Hasil kepengarangan
ini dipelajari, dijadikan panduan, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan
berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke
zaman ini.
Karya
–karya agung sudah pasti merupakan karya yang berpengaruh yang
sekurang-kurangnya membuat orang berhenti dan berfikir tentang diri mereka,
tentang lingkungannya dan alam kehidupan keseluruhannya. Karya-karya agung
ialah karya yang mengusik ketenangan dan menyedarkan kita. Lebih penting lagi,
karya agung mengajak kita untuk mengenal dan memahami tradisi atau tamadun
bangsa yang dipancarkan melalui karya agung itu. Dalam semua tradisi bangsa dan
agama, karya agung merupakan “representatif” pada kehebatan sesuatu tradisi.
Dalam tradisi Islam misalnya, ada Ihya’ Ulumuddin , tradisi Hindu dengan
Bhagavaddita, dan tradisi Kristian dengan Summa Teologica. Dalam tradisi bangsa
pula, bangsa Farsi memiliki Shahnameh, bangsa Eropah pula dengan Divine Comedy
dan karya-karya William Shakespeare.
Karya
agung merupakan karya-karya hebat yang mampu meninggalkan kesan seni, ilmu,
falsafah, budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca.
Unsur dalam karya ini merangkumi mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan
di dalam karya tersebut. dalam karya agung, terkandung pelbagai rencah
kehidupan yang berkait dengan hidup manusia. Penceritaan dalam karya agung
melibatkan unsur emosi, penderitaan, tangisan, kesengsaraan, pengajaran,
maklumat dan sebagainya. Pembaca dapat menyelusuri segala aspek ini apabila
membaca karya agung. Penulis juga membawa kita mengalami pengalaman orang lain
di dalam sesuatu karya agung.
Karya
agung Melayu ialah karya yang dapat melambangkan keunggulan daya cipta seniman,
penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealism,
nilai, pandangan hidup, adat, budi, dan kesedaran moral dan visi bangsa dan
masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga
kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif
bangsa Melayu. Pelbagai persoalan kehidupan dan masyarakat terangkum indah
dalam sesuatu karya.
Karya
agung Melayu juga bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau
dilisankan dalam bentuk pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain dalam bahasa
Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu
ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu,d atau orang Melayu
Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang
menghasilkan karya itu. Persoalan sempadan geografi dan etnik tidak timbul,
tidak kira di manakah daerah asalnya di dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan
dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan
kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun menurun.
Buku
Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan (2000) yang
mengutarakan perbahasan dan pengertian tentang karya agung Melayu telah
mentakrifkan karya agung sebagai karya yang berjaya meninggalkan kesan seni,
budaya dan pemikiran yang luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa.
Karya itu dianggap sebagai warisan bangsa dalam erti kata ia mewakili minda dan
pengalaman bersama (kolektif) bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana yang
dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradisi atau konsep ilmu,
adat, bahasa, seni dan pekerti, budaya dan sosial yang membentuk citra atau
identiti ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya agung
Melayu.
Malah
terdapat karya agung Melayu tradisional yang dijadikan penetapan penentuan
karya agung Melayu yang dianggap sebagai hasil kreativiti seni persuratan dan
penceritaan, dan sebagai pembentuk tradisi atau tamadun bangsa sehingga
kesannya kekal dalam kesedaran kebangsaan bangsa Melayu sepanjang zaman. Untuk
itu, beberapa karya kesusasteraan Melayu tradisional diterbitkan dalam edisi
mewah yang menepati ciri-ciri karya agung seperti Sulalat-al-Salatin, Hikayat
Merong Mahawangsa, Tuhfat-al-Nafis dan Hikayat Hang Tuah. Ciri-ciri yang
dimaksudkan adalah lambang atau pesanan yang disampaikan oleh karya itu ialah
nilai seni budaya dan falsafah atau pandangan hidup bangsa, nilai ilmu iaitu
teknik kepengarangan dan seni bahasa. Semua karya ini memperlihatkan tahap
keunggulan kreativiti, seni persuratan dan nilai budaya tinggi.
Secara keseluruhan, kajian tentang takrif Melayu,
etimologi Melayu, asal-usul Melayu dan konsep karya agung dapat memperjelas
tentang bahasa Melayu sama ada secara langsung atau tidak langsung. Hal ini
demikian kerana melalui keempat-empat perkara tersebut, kita akan dapat
mengetahui tentang makna Melayu, sejarah perkembangan, asal-usul, bahan-bahan
bukti dalam sejarah bahasa Melayu, susur galur bahasa Melayu, karya-karya agung
dalam bahasa Melayu dan sebagainya. Seterusnya, melalui takrif Melayu, kita
dapat mengetahui tentang apakah yang dimaksudkan dengan Melayu, perkaitan
antara tempat asal orang Melayu, pendapat tokoh-tokoh dan badan-badan tertentu
tentang Melayu dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment